INFINITI

Kamera digital mengubah dunia fotografi

Kamera digital mengubah dunia fotografi

SHERWYNN (berdiri, tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang dan wakil pemenang pada majlis pengumuman peraduan HACTION! Shot on Lumix GH5 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


“HELLO. Kita dah merdeka belum.” Itulah ungkapan yang dilafazkan oleh watak utama, Amin dalam filem pendek bertajuk Aku Masih Ingat arahan Sherwynn Victor, 21.

Filem pendek dengan tema peperangan pada zaman dahulu itu telah mengangkat nama Sherwynn sebagai pemenang utama pada pertandingan HACTION! Shot on Lumix GH5 baru-baru ini.

Hasil kemenangan itu, Sherwynn membawa pulang set lengkap Panasonic Lumix GH5, aksesori dan wang tunai sebanyak RM8,000.

Mengenai filem pendek Aku Masih Ingat, video berdurasi lima minit itu menceritakan tentang kesukaran perajurit memperjuangkan nyawa mereka demi kemerdekaan negara.

Dalam erti kata lain, Sherwynn ingin mengimbas dan mengangkat nostalgia lama supaya masyarakat pada hari ini tidak melupakan kepayahan pejuang pada masa dahulu.

Menurut anak jati Gombak, Selangor itu, dia mengambil masa selama tiga hari untuk mendapatkan idea tentang penceritaan yang ingin diketengahkan.

Katanya, semasa mendapat tahu mengenai peraduan itu, dia agak sibuk kerana mempunyai tugasan merakamkan penggambaran di luar Kuala Lumpur.

Namun, kerana cintakan dunia perfileman, dia tetap mencari masa untuk melakukan beberapa kajian mengenai kemerdekaan.

Lakar plot


KAMERA Lumix GH5 yang digunakan peserta semasa merakamkan sesi penggambaran.


“Saya memikirkan satu idea yang sebenarnya kita semua tahu (insiden peperangan) tetapi terlupa kerana sudah lama. Jadi, saya ingin angkat kembali memori bersejarah berkenaan.

“Saya lakar satu plot yang mengisah bagaimana tentera pada zaman dahulu berhempas-pulas melawan musuh. Dalam masa yang sama, saya selitkan tentera kita yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Saya ingin masyarakat tahu, walaupun berbeza warna kulit dan agama, masing-masing bersatu untuk membebaskan negara ini daripada penjajah,” katanya pada majlis pengumuman pemenang peraduan HACTION! Shot on Lumix GH5 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sempena menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60, Panasonic Malaysia telah bekerjasama dengan HATCH, saluran YouTube yang dikendalikan oleh Studio8 Media Prima untuk mempersembahkan HACTION! Shot on Lumix GH5.

HACTION! Shot on Lumix GH5 merupakan peraduan filem pendek yang menonjolkan enam orang karyawan filem Malaysia bagi menceritakan kisah kejayaan dan kebanggaan negara sepanjang tempoh enam dekad menerusi lensa kamera mereka.

Kerjasama itu menampilkan kamera Panasonic Lumix GH5 terbaharu sebagai peranti utama dalam pembikinan video yang dihasilkan. Lumix GH5 telah diperkenalkan di Malaysia pada awal tahun ini.

HACTION! berhasrat untuk memberi inspirasi kepada para pembuat filem merakamkan pandangan mereka terhadap kejayaan dan kebanggaan Malaysia.

Bercerita lanjut mengenai kelebihan yang terdapat pada kamera Lumix GH5, Sherwynn yang mempunyai pendidikan Diploma Filem dan Televisyen daripada Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) memaklumkan, dia pertama kali menggunakan kamera berkenaan.

“Semasa proses penggambaran dijalankan di Kemensah Heights, cuaca ketika itu hujan, namun dengan fungsi kalis cuaca yang terdapat pada kamera tersebut serta bantuan daripada rakan-rakan, sesi berkenaan berjalan dengan lancar,” kata anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

Sebelum ini Sherwynn juga pernah menghasilkan filem pendek lain antaranya Terus dan Gopal.

Sementara itu, tempat kedua dimiliki oleh Wong Sai Meng yang membawakan tajuk Pride.

Pride mengisahkan mengenai beberapa cerita berbeza, namun mempunyai pengakhiran yang sama.

Kisahnya mengenai bagaimana masyarakat melalui hari-hari mereka dengan melakukan rutin harian seperti pergi ke tempat kerja dan melakukan tanggungjawab masing-masing.

Namun, pada akhirnya, pasti ada sesuatu yang membuatkan individu itu berasa bangga dengan tindakan yang dilakukan.

Misalnya, terdapat seorang pemain gitar yang pergi ke rumah kebajikan untuk menghiburkan penghuni rumah berkenaan. Dengan bakat yang ada, dia mampu membuatkan kanak-kanak di rumah berkenaan berasa gembira.

“Melalui Pride, saya menghasilkan cerita mengenai amalan baik yang telah dilakukan oleh diri kita sendiri, namun kita tidak sedar tentang perkara-perkara baik berkenaan.

“Ramai orang di luar sana yang berasa tidak berguna kerana tidak dapat menabur bakti kepada orang lain walhal sekecil-kecil perkara yang dilakukan, semuanya mempunyai manfaat. Kita harus bangga dengan diri sendiri,” ujarnya yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Hiroyuki Muto berkata, kamera digital telah mengubah dunia fotografi sehingga membolehkan ramai orang menggunakannya.

“Industri kamera sentiasa mencari pembaharuan. Kini, kamera tanpa cermin menjadi trend di Malaysia dengan penerbitan video semakin popular dan standard sinematografi juga menjadi semakin tinggi.

“Bagi kami, perkongsian ini merupakan platform yang terbaik untuk melatih para pembuat filem tempatan menghasilkan cerita yang menarik secara visual. Pada masa sama, mempamerkan keupayaan Lumix GH5,” tuturnya.

Tambahnya, para pembuat filem HACTION! dipilih daripada komuniti penerbit filem bebas yang mewakili gaya dan genre berbeza.

Kebanyakan karya mereka telah menerima pengiktirafan peneraju industri tempatan dan luar negara.

“Setiap pembuat filem dikehendaki menerbitkan sebuah video pendek tidak melebihi lima minit yang menonjolkan keindahan Malaysia serta perpaduan, keamanan dan kesejahteraan sepanjang enam dekad.

“Keenam-enam mereka dibekalkan dengan sebuah kamera Panasonic Lumix GH5 untuk membuat rakaman audio dan visual, dana sebanyak RM4,000 untuk penerbitan dan tempoh selama 30 hari bagi menyempurnakan filem dan menyerahkan cerita pendek mereka,” katanya.

Kreatif


HIROYUKI berucap pada majlis pengumuman pemenang peraduan HACTION! Shot on Lumix GH5 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Panel hakim terdiri daripada para peneraju industri yang terkemuka termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar; Hiroyuki dan pengarah filem serta aktres, Low Ngai Yuen sebagai hakim jemputan.

Setiap filem pendek diadili berdasarkan 70 peratus undian hakim termasuk penceritaan, suntingan, pasca penerbitan, dan sinematografi.

Baki 30 peratus lagi adalah undian daripada orang ramai yang dibuka dari 1 hingga 21 Ogos lalu.

Ahmad Izham berkata, kandungan kreatif sentiasa menjadi komponen utama dalam membina berkaitan jenama dalam kalangan penonton termasuk generasi millennial pada hari ini.

“Masih terdapat banyak cerita menarik yang boleh disampaikan dalam pertandingan ini menggunakan pengalaman sebuah negara yang merdeka selama enam dekad serta kepelbagaian budaya yang ada dalam kalangan rakyat.

“Perkongsian ini merupakan sebuah platform penting untuk meraikan Hari Kemerdekaan ke-60 dengan membantu membangunkan karyawan filem dan pembuat kandungan menerusi peluang menggunakan Lumix GH5,” jelasnya.

Empat lagi peserta yang mengambil bahagian dalam peraduan ini ialah Lo Ka Fat, Aliff Zulklifli, Amanda Nell Eu dan Zul Luey.

Siri HACTION! boleh ditonton melalui laman web, www.youtube.com/wehatchyou, saluran YouTube yang dikendalikan oleh Studio8, Media Prima yang dicipta untuk menghiburkan dan memberi inspirasi kepada penonton generasi millennial.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 31