GENK

Menjejak flora, fauna di Gunung Nuang

Menjejak flora, fauna di Gunung Nuang


Sebahagian peserta bergambar bersama bendera UM selepas berjaya menawan puncak Gunung Nuang.


KEHIDUPAN harian sebagai mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang berada di tengah-tengah hiruk-pikuk ibu kota kerap kali mendesak mereka untuk mencari ketenangan diri.

Ditambah pula dengan tuntutan keperluan diri dan pelajaran yang tidak berhenti, ramai mahasiswa mula mencari alternatif dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Sebagai langkah untuk sentiasa aktif dalam aktiviti luar, sekumpulan 13 mahasiswa dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah atau turut dikenali sebagai Kolej ke-12 telah menyertai aktiviti mendaki Gunung Nuang yang terletak di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Sebagai puncak tertinggi di negeri Selangor, Gunung Nuang boleh didaki melalui beberapa laluan.

Oleh itu, bagi memudahkan pergerakan, kesemua peserta yang terdiri daripada ahli kelab aktiviti luar yang dikenali sebagai Sierra Underground Backpackers telah memilih untuk memulakan pendakian melalui arah yang lebih hampir dengan kampus UM iaitu melalui Hulu Langat yang terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu kota Kuala Lumpur.

Ketua kumpulan pendakian, Mohammad Muaz Sazlan, 22, berkata, mereka memilih untuk mendaki gunung itu bagi menguji tahap kemampuan diri berdepan dengan situasi sukar, terutamanya trek pendakian yang meliputi pelbagai bentuk muka bumi.

“Kami memilih Gunung Nuang kerana bukan sahaja lokasinya yang hampir dengan UM tetapi keadaan muka buminya yang mampu mencabar kemampuan fizikal.

Meneroka


Seorang pendaki menunjukkan ulat gonggok hutan yang memiliki saiz lebih besar berbanding ulat gonggok biasa.


“Pendakian ke puncak memerlukan kami melepasi jalan balak dan laluan berbatu, malah kami juga perlu merentasi sungai serta mendaki curam.

“Kombinasi bentuk muka bumi yang berbeza ini sememangnya sangat mencabar termasuk bagi peserta yang sudah biasa dengan aktiviti pendakian,” kata pelajar tahun kedua Fakulti Undang-Undang itu.

Jelas Mohammad Muaz lagi, selain dijadikan sebagai aktiviti hujung minggu, kumpulan mahasiswa itu turut mengambil peluang meneroka kawasan persekitaran bagi meneliti spesies flora dan fauna yang hidup di kawasan pergunungan.

Antara spesies serangga yang ditemui dalam habitat tersebut adalah ulat gonggok hutan dan kupu-kupu.

Serangga itu atau nama saintifiknya Trigoniulus corallinus mempunyai saiz yang lebih besar berbanding ulat gonggok biasa dan sering bergerak di celah-celah daun kering serta batang pokok.

“Saya rasa bertuah kerana berpeluang mengikuti ekspedisi ke puncak tertinggi di negeri Selangor ini. Negara kita sebenarnya kaya dengan khazanah alam yang pelbagai dan belum lagi diterokai.

“Ini memberi kesedaran kepada saya untuk menghargai alam sekitar dengan lebih mendalam selepas ini,” kata seorang lagi peserta, Azmiera Zaileen Abdul Aziz, 21, yang juga pelajar tahun pertama Fakulti Sains.

Disebabkan pendakian ke puncak Gunung Nuang memakan masa selama dua hari dalam keadaan santai, kumpulan pendaki itu mengambil keputusan untuk bermalam di pertengahan pendakian sebelum meneruskan pendakian ke puncak pada keesokan harinya.

Menariknya, dengan bekalan makanan yang serba kekurangan, mereka masih mampu menyediakan hidangan makan malam yang enak dan menyelerakan.

Pelajar tahun pertama Fakulti Kejuruteraan, Kamariah Abd. Rahman, 20, pula berkata, ia merupakan kali pertama dia menikmati hidangan yang enak sewaktu menyertai aktiviti mendaki gunung.

Kelainan


Sebahagian peserta bergambar di salah satu lokasi wajib semasa menuju ke puncak Gunung Nuang.


“Kebiasaannya, hidangan yang disediakan sewaktu pendakian serba ringkas sahaja tetapi kali ini agak berbeza kerana kami ingin melakukan kelainan dengan menyediakan hidangan tomyam serta kailan ikan masin untuk dinikmati di atas gunung.

“Saya berhasrat menguasai kemahiran menyediakan pelbagai jenis masakan untuk dicuba pada ekspedisi yang akan datang,” katanya.

Kumpulan pendaki ini merupakan mahasiswa yang aktif dalam aktiviti pendakian. Pada bulan Julai tahun depan, mereka akan mengadakan ekspedisi ke Gunung Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu, Pengetua Kolej Kediaman ke-12 UM, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, selain menumpukan perhatian dalam pelajaran, penghuni di kolej kediaman tersebut juga digalakkan untuk melaksanakan gaya hidup aktif dengan menyertai program serta aktiviti yang memberi impak tinggi kepada pelbagai segmen komuniti mahupun masyarakat.

Malah katanya, kelab Sierra Underground Backpackers merupakan antara yang aktif dalam menjalankan pelbagai aktiviti luar, terutamanya melibatkan pendakian gunung.

“Mereka turut merancang untuk melakukan pendakian ke Gunung Kinabalu yang akan disertai dua orang pelajar dari sebuah sekolah menengah di Tenom, Sabah bagi merealisasi impian anak-anak dari kawasan pedalaman Sabah menjejakkan kaki ke puncak tertinggi di Asia Tenggara itu.

“Aktiviti rekreasi sebegini amat digalakkan dalam kalangan mahasiswa. Bukan sahaja kerana ia merupakan salah satu aktiviti sihat tetapi juga membantu mengasah pelbagai kemahiran kendiri.

“Ia termasuklah kaedah berkomunikasi yang baik, keberanian mencuba sesuatu yang baharu dan semangat bekerjasama dalam menghasilkan objektif yang dipersetujui,” katanya.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 31