HORIZON

Meneroka keindahan wilayah selatan Maghribi

Meneroka keindahan wilayah selatan Maghribi


PELBAGAI barangan cenderamata boleh didapati di pelabuhan Essacuira.


PADA petang hari terakhir di Maghribi, saya berpeluang merenung sejenak pengalaman menarik yang dilalui selama seminggu berada di negara itu.

Saya dan beberapa orang teman berpeluang menjelajah selatan Maghribi dan kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain sebelum tiba ke destinasi terakhir.

Sepanjang berada di negara yang terletak di benua Afrika itu, saya selalu berkata dalam hati, ini adalah tempat kegemaran saya. Setiap hari banyak tempat indah yang dilawati.

Bagaimanakah perasaan kagum terhadap Maghribi muncul dalam diri saya sebaik turun dari pesawat? Saya duduk bersama kumpulan rombongan di atas bumbung hotel yang menghadap ke arah Medina di Marrakech.

Pada waktu makan malam terakhir, kami dihidangkan sajian tajine yang mempunyai aroma pedas tetapi cukup menyelerakan.

Tajine adalah sajian daging bersama sayur-sayuran yang dimasak dengan api perlahan. Ia dimasak dan dihidangkan dalam tembikar kecil yang dilengkapi dengan tudung tinggi berbentuk kon.

Ketika sedang menikmati hidangan, kedengaran bunyi muzik tempatan dari gerai di bawah, sekali gus memecah keheningan malam.

Setiap kali lagu berubah, kami akan ketawa kerana ia mengingatkan kembali kenangan kami ketika melalui Pergunungan Atlas.

Sewaktu perjalanan ke pergunungan itu, pemandu kami, Tahar telah memperkenalkan lagu daripada band kegemarannya di Maghribi.


MAGHRIBI terkenal dengan pengeluaran rempah.


Dalam helai tawa itu, muncul persoalan mengenai perkara paling menarik yang dilalui sepanjang penjelajah di selatan Maghribi.

Kemudian perbahasan yang panjang bermula, sekali gus membuatkan kami berasa sangat terhibur sepanjang malam itu.

Adakah makanan paling menarik? Kami telah merasai keenakan tajine kukus dan kepingan daging kambing ketika makan malam.

Kami juga berpeluang merasai keenakan barbeku ikan segar yang dipilih sendiri di tepi jalan sekitar pelabuhan Essaouira.

Kami turut melawat oasis terbesar di Maghribi dan meneroka lorong-lorong yang sempit serta berlari antara ladang dipenuhi buah-buahan segar.

Akhirnya kami memilih, menonton aksi cef menghidangkan tajine sebagai perkara paling menarik di Maghribi.

Begitupun, dalam benak fikiran saya tetap memikirkan pengalaman kami melihat salji pertama pada musim sejuk di Pergunungan Atlas sebagai paling menarik.

Daripada aspek dalam bas, kami menyaksikan turunnya salji yang mengubah landskap daripada bukit-bukit kering kepada pergunungan salji. Ia sangat indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Hidup nomad


Kereta keldai cukup popular di perkampungan Araoumd.


Saya juga masih belum dapat melupakan detik menunggang unta menuju ke kawasan padang pasir Sahara.

Kami telah berkhemah di Sahara dengan tidur bersama-sama sambil berbaring di atas pasir melihat bintang-bintang di langit.

Kami menghabiskan masa pada malam itu dengan menghirup teh sambil mendengar jurupandu kami bercerita.

Dia menceritakan kepada kami pengalaman hidup nomad di padang pasir. Ketika berumur lapan tahun, baru dia sedar bahawa dunia ini masih luas. Saya tiba-tiba menyedari betapa bertuahnya kami.

Keesokan harinya, kami berlumba lari ke atas bukit pasir untuk melihat matahari terbit. Kami duduk di situ selama beberapa minit untuk menikmati panorama.

Mengunjungi Projek Yayasan Intrepid bagi membantu orang kelainan upaya mempelajari kemahiran baharu merupakan satu detik yang sangat menarik. Projek itu berlangsung di Ait Benhaddou yang menawarkan panorama luar biasa.

Menginap di Araoumd iaitu sebuah perkampungan kecil di pergunungan yang menghadap Gunung Taubkal (gunung tertinggi di Afrika Utara) turut menjengah dalam fikiran.

Kami memilih untuk berjalan ke kampung itu sambil diiringi seekor keldai yang membawa beg. Ketibaan kami ke kampung itu disambut dengan teh pudina dan pemandangan luar biasa.

Pada sebelah malam, kami duduk di depan unggun api sambil bercerita. Lawatan kali ini juga membawa kami menjelajah ke pelabuhan Essaouira.

Di sini, kami kagum melihat jalan-jalan berliku yang sempit selain pasar yang meriah.

Pelabuhan ini juga merupakan tempat paling sesuai membeli barangan cenderamata untuk dibawa pulang. Anda perlu pandai tawar-menawar bersama para peniaga.

Sepanjang di selatan Maghribi, saya dapat merasai sendiri keramahan penduduknya. Mereka membantu memudahkan pengembaraan kami. Saya pasti akan kembali ke Maghribi suatu hari nanti.

Process time in ms: 16