KESIHATAN

Alami implikasi ganjil akibat ubat kanser

Alami implikasi ganjil akibat ubat kanser

EDWARDS (kiri) menyedari kulitnya semakin cerah semasa sambutan hari lahir anaknya, Reccarnei (kanan).


“AWAK tidak nampak seperti ibu saya,” ujar kanak-kanak perempuan itu perlahan, namun tutur katanya itu sudah cukup untuk membuatkan Paula Edwards, 54, menitiskan air mata.

Edwards yang disahkan menghidap kanser buah pinggang itu tidak menyangka kesan daripada pengambilan sejenis ubat melawan kanser, kulitnya yang gelap itu bertukar menjadi cerah.

Daripada seorang wanita berkulit hitam, Edwards kini tidak ubah seperti wanita kulit putih.

Menceritakan tentang penyakitnya, Edwards memberitahu laman web Mail Online, dia telah disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap akhir pada tahun 2012.

Lebih menyedihkan, doktor turut memberikan tempoh 12 bulan kepada Edwards untuk menjalani kehidupan. Begitu pun, selepas lima tahun, Edwards masih diberikan umur yang panjang untuk melawan penyakit itu.

Sama seperti penghidap kanser lain, Edwards mula menjalani rawatan bagi menyembuhkan penyakitnya termasuk menjalani kemoterapi dan pengambilan beberapa jenis pil.

Wanita yang berasal daripada Loughborough, England itu kemudian diberikan sejenis ubat untuk merawat kanser ginjal. Ubat tersebut bertindak untuk menghalang pembesaran ketumbuhan dalam badan dan perlu diambil secara berterusan.

Kesan sampingan ganjil

Edwards memberitahu, dia sudah dimaklumkan tentang beberapa kesan sampingan daripada pengambilan ubat tersebut.

“Pengambilan secara kerap akan menyebabkan rasa pening, cirit-birit, kulit kering serta menjadi gatal selain terjadinya ruam pada sesetengah bahagian badan.

“Begitu pun, selepas menjalani pembedahan keempat kira-kira setahun lalu, saya menyedari bahawa pil tersebut menjadikan kulit semakin cerah. Saya tidak diberitahu tentang kesan sampingan ini,” ujarnya.




Menurut Edwards, dia seakan-akan sudah kehilangan identiti sebagai wanita kulit hitam. Lebih buruk lagi, ada sesetengah individu menuduhnya menjalani rawatan melunturkan warna kulit untuk kelihatan cerah.

Menyedari hal itu, Edwards segera berjumpa pakar perubatan di Hospital Nottingham City, Nottingham untuk mendapatkan penjelasan.

“Kes saya dirujuk kepada seorang pakar di Amerika Syarikat. Doktor memberitahu bahawa perubahan warna kulit itu mungkin disebabkan oleh kesan sampingan ganjil daripada pengambilan ubat tersebut.

“Kesan sampingan itu boleh berlaku kepada sesetengah individu tetapi saya adalah orang pertama yang dikesan mengalami perubahan warna kulit tersebut akibat ubat berkenaan,” ceritanya.

Beberapa bulan kemudian, Edwards mendapat tahu bahawa pil itu telah menyebabkan perubahan warna kulit kepada seorang pesakit sama dari Asia.

Bagaimanapun, kesan yang dialami pesakit itu tidak seteruk yang terjadi kepada Edwards.

“Ini bermaksud tahap perbezaan perubahan warna kulit kami berbeza. Apa yang terjadi kepadanya tidak sama seperti yang saya alami,” katanya.

Kekurangan melanin

Sebuah jurnal perubatan menunjukkan bahawa perubahan warna kulit dengan menjadikan kulit seseorang lebih cerah merupakan antara kesan sampingan ubat yang dikenali sebagai Votrient itu.

Bagaimanapun, jurnal perubatan tersebut melaporkan ia jarang dialami pesakit berbanding kesan sampingan lain seperti ruam biasa, kulit kering dan darah membeku.

Penyelidikan Kanser Britain berkata, ubat itu boleh menyebabkan vitiligo atau keadaan jangka panjang yang boleh menyebabkan tompokan putih dan pucat muncul pada kulit.

Ia disebabkan oleh kekurangan melanin iaitu pigmen yang memberikan warna pada kulit.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 31