TERKINI

E8 serbu Pusat Perniagaan Nilai 3

E8 serbu Pusat Perniagaan Nilai 3

13/08/2017 9:41pm


Operasi selama empat jam bermula pukul 2 petang itu bertujuan mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa khususnya yang bergerak di Pakistan dan Afghanistan.


NILAI - Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat di sini digempur oleh Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman petang tadi bagi mengesan kehadiran warga asing yang disyaki mempunyai elemen pengganas IS wilayah Khorasan terutama dari Pakistan dan Afghanistan.

Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi bersepadu itu merupakan yang ketiga dijalankan selepas serbuan sama di Cyberjaya dan Masjid India masing-masing pada Rabu dan Ahad lalu.

Menurut beliau, serbuan dijalankan dengan kerjasama Unit Udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Unit Tindakan Khas, Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Forensik, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Tujuan utama operasi ini dijalankan di kawasan Nilai 3 kerana komposisi pekerja-pekerja asing yang ada dari Pakistan dan Afghanistan.

"Kita bimbang sekiranya ada elemen-elemen IS wilayah Khorosan yang melibatkan Pakistan dan Afghanistan cuba menyusup masuk berlindung dengan pekerja-pekerja asing dari dua negara tersebut yang bekerja di Nilai 3," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Operasi selama empat jam bermula pukul 2 petang itu bertujuan mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa khususnya yang bergerak di Pakistan dan Afghanistan.

Selain itu, serbuan turut mengambil tindakan ke atas warga asing yang disyaki memiliki dokumen palsu dan memiliki dokumen yang dilaporkan hilang.

Ayob Khan berkata, operasi fasa ketiga itu melibatkan jumlah pegawai dan anggota paling besar iaitu 321 daripada pelbagai agensi penguat kuasa. Sebanyak 1,018 premis di Nilai 3 diperiksa dalam operasi ini.

"Jumlah warga asing yang ditahan akan dimaklumkan selepas operasi bersepadu tamat dan mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk siasatan lanjut," jelasnya. - K! ONLINE

Process time in ms: 32