RENCANA UTAMA

Cipta rekod berjalan atas tali

Cipta rekod berjalan atas tali


SEABROOK mula menceburkan diri dalam sukan ekstrem slacklining kira-kira lima tahun lalu.


LELAKI itu menjerit sekuat hati tatkala dia berada di atas ketinggian 290 meter dari aras tanah. Sekali sekala dia mendengus dan ada masa ketawanya pecah bergema memecah kesunyian di puncak gunung Stawamus Chief di Squamish, British Columbia, Kanada.

Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, lelaki itu, Spencer Seabrook terus mendepakan kedua-dua belah tangan bagi mengimbangi tubuhnya.

Langkah kakinya turut diatur kemas dan berhati-hati. Manakan tidak, ajal menantinya jika dia tersilap percaturan. Seabrook berdepan maut apabila dia melakukan aksi berjalan di atas tali atau slacklining tanpa sebarang alat keselamatan.

Bagaimanapun, aksi lagak ngeri yang dilakukan pada 2 Ogos 2015 itu berjaya memecahkan rekod dunia untuk berjalan di atas tali secara solo tanpa abah-abah.

Hampir terjatuh

Kejayaan Seabrook telah mengetepikan rekod terdahulu yang juga dicatat secara solo oleh Andrew Lewis pada tahun 2011 dengan jarak sejauh kira-kira 54.8 meter.

Lelaki yang berasal dari Ontario, Kanada itu melakukan aksi berjalan di atas tali sejauh 64 meter merentasi jurang North Gully yang sememangnya menjadi destinasi popular bagi peminat sukan ekstrem tersebut.

Bagi Seabrook, ia bukanlah kali pertama dia melakukan aksi sedemikian di gunung batu granit itu. Pada tahun 2014, dia pernah dirakam melakukan aksi sama di lokasi berkenaan.

“Ia sebagai satu bentuk latihan supaya saya dapat melakukan aksi ini semula. Saya boleh melakukannya dengan abah-abah atau sekadar mengikat tali di sekeliling pinggang atau pergelangan kaki, namun ia tidak sama.

“Berjalan di atas tali tanpa sebarang alat keselamatan memberikan suatu kepuasan dalam bentuk kebebasan,” katanya seperti dipetik portal The Guardian.

Ditanya sama ada berasa takut atau tidak, Seabrook memberitahu, perasaan takut sepatutnya perlu dikawal dan bukan dibiarkan menguasai diri.

“Perasaan takutlah yang membuatkan anda fikir untuk terus hidup. Apabila berasa gentar, seluruh deria akan menjadi lebih peka, sekali gus membuatkan anda lebih yakin dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling,” ceritanya.

Mengakui beberapa kali hampir terjatuh, Seabrook memberitahu, bahagian permulaan termasuk berdiri dan mengimbangi badan sebelum memulakan langkah adalah yang paling mengerikan dalam aksinya.


BERJALAN di atas tali tanpa sebarang alat keselamatan memberikan suatu kepuasan dalam bentuk kebebasan kepada Seabrook.


“Apabila saya melangkah, ia semakin mudah kerana pergerakan saya berdasarkan memori otot menerusi latihan yang dijalani sebelum ini.

“Semua bunyi yang dikeluarkan termasuk menjerit, mendengus dan ketawa adalah reaksi semula jadi. Ia merupakan cara saya melepaskan tekanan,” jelasnya.

Tambah ketinggian

Seabrook mula menceburkan diri dalam sukan ekstrem itu kira-kira lima tahun lalu. Seawal usia 18 tahun, dia sudah berkecimpung dalam sukan lasak seperti bermain papan selaju, papan luncur salji dan paintball.

Minatnya terhadap sukan ekstrem terus bercambah apabila menceburkan diri dalam aktiviti memanjat gunung batu sebelum terlibat dalam slacklining.

“Saya berlatih dengan berjalan di atas tali yang diikat di antara dua tiang besi di taman permainan sebelum mencabar diri dengan berjalan di atas tali yang direntasi di antara dua batang pokok.

“Saya terus memberikan komitmen terhadap sukan ini dengan berlatih setiap hari dan menambah ketinggian bagi mencapai matlamat yang diingini.

Menurutnya, untuk melakukan aksi itu secara solo, seseorang tidak boleh berasa takut terutamanya apabila sudah berada di udara.

Dia merancang untuk melakukan lebih banyak aksi sedemikian pada masa akan datang.

“Saya juga mahu mencabar diri dengan menambah ketinggian antara tujuh hingga lapan meter melebihi rekod yang dicipta ini,” katanya.

Process time in ms: 3359