RENCANA UTAMA

Warisi sajian signatur bandar diraja Pahang

Warisi sajian signatur bandar diraja Pahang

Hafiza menerima tempahan membuat puding raja (depan) dan roti naik Pekan (kanan).


MASIH segar dalam ingatan Hafiza Mohd. Nor, 54, saat pertama kali mempelajari masakan tradisi Pekan, Pahang daripada datuk dan neneknya yang merupakan tukang masak istana.

Hafiza atau lebih dikenali sebagai Kak Wok mengakui pada awalnya, ia agak sukar dan memerlukan ketelitian terutama dalam penyediaan bahan-bahan penting sajian-sajian itu.

Daripada bahan-bahan hingga cara pembuatan, wanita berasal dari bandar diraja negeri Pahang itu tekun mempelajari setiap teknik yang diajarkan. Bahkan setiap ramuannya juga dibeli sendiri supaya dia tidak mudah lupa.

“Sejak kecil saya memang suka memasak dan makan sajian istana yang datuk serta nenek sediakan untuk kami ketika bertandang ke rumah mereka.

“Minat untuk belajar timbul selepas menikmati puding raja dan ketika itu saya meminta datuk dan nenek yang merupakan tukang masak istana supaya mengajar cara membuatnya,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu ketika ditemui di rumahnya di Pekan baru-baru ini.

Popular

Ketekunan Hafiza ternyata membuahkan hasil apabila dia hanya mengambil masa seminggu untuk mahir menyediakan sajian-sajian warisan itu. Selain manisan popular seperti puding raja, dia turut mahir membuat kuih-muih istana yang lain seperti temosa raja, opor daging, roti naik Pekan dan penaram udang.

Pekan merupakan sebuah daerah dan bandar diraja di negeri Pahang yang terletak 50 kilometer dari Kuantan. Ia dinamakan bandar diraja kerana merupakan tempat bersemayam sultan dan kerabat diraja Pahang.

Bandar Pekan dikatakan telah wujud sejak abad ke-17 lagi dan menurut laman web www.heritagemalaysia.my, Pekan pernah menjadi ibu negeri Pahang pada tahun 1889 hingga 1898.

Puding raja dikatakan amat digemari oleh golongan istana dan sering dijadikan hidangan istimewa untuk santapan kerabat diraja di istana.

Dipercayai pada sekitar tahun 1960-an, makanan tradisi istana dihidangkan oleh tukang masak istana di istana, bagaimanapun pekerja istana itu tidak dihalang untuk memasaknya ketika mereka di rumah.

Peralihan zaman dan perwarisan resipi antara ahli-ahli keluarga telah menjadikan makanan ini semakin tersebar di sekitar Pahang terutamanya di Pekan sehingga ia popular dalam kalangan rakyat jelata.


Antara bahan-bahan untuk menghasilkan puding raja. Dari atas kiri, gajus, jala emas, prun dan ceri.


Ini berikutan, terdapat ahli keluarga pekerja istana yang mula mengkormersialkan makanan tersebut melalui tempahan sekitar penghujung era 1990-an.

Menurut Hafiza, proses membuat kuih-muih dan manisan istana mempunyai langkah-langkah khusus yang perlu diikuti. Malah, bahan-bahannya juga ada yang hanya terdapat di Pahang sahaja seperti pisang lemak manis Pahang untuk membuat puding raja.

Selain pisang lemak manis, antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat puding raja ialah buah prun, ceri, gajus dan jala emas daripada kuning telur. Ia enak dinikmati bersama kuah pudingnya yang dihasilkan dengan ramuan tertentu seperti susu cair.

“Membuat roti naik Pekan pula memakan masa sehari dan jika musim hujan adunannya akan lambat kembang,” jelasnya.

Digemari sultan

Sehingga kini setelah 25 tahun, Hafiza merupakan antara pengusaha makanan tradisi istana pilihan penggemar dan organisasi kerajaan serta swasta termasuk hotel dari seluruh Malaysia yang ingin mendapatkan sajian berkenaan.

Tidak hanya mendapat permintaan orang ramai, sajian air tangan Hafiza turut ditempah oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dan Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Berkongsi pengalaman sebagai generasi ketiga yang memasak kuih dan manisan untuk keluarga istana, Hafiza memberitahu ia suatu penghormatan yang besar.

“Sultan gemar akan manisan dan kuih-muih istana. Setiap kali baginda mahu makan sajian-sajian itu, pihak istana akan menghubungi saya untuk menempahnya.

“Kadangkala apabila tuanku mahupun puteranya ingin melancong ke luar negara mereka sering menempah roti naik Pekan untuk dibawa bersama,” ujarnya.

Tambah Hafiza, roti naik Pekan buatannya pernah dibawa oleh Tengku Abdullah sampai ke kota London, Britain dan beberapa negara lain.

Hafiza turut mewariskan kemahiran membuat kuih dan manisan istana ini kepada anak-anaknya.

“Kalau generasi baharu tidak mewarisi kaedah pembuatan sajian tradisi ini, siapa lagi?

“Jika sajian ini dilupakan suatu hari nanti, maka generasi akan datang akan terlepas peluang untuk mengetahui betapa meriahnya kepelbagaian jenis makanan kita yang boleh dikatakan lebih enak daripada makanan Barat,” ujarnya.


Suzaina (kiri) nekad untuk memperkembangkan perniagaan martabak mengkasar keluarganya.


Selain manisan dan kuih istana buatan Hafiza, menu martabak mengkasar juga merupakan antara menu tradisi pilihan keluarga Istana.

Di Pekan, martabak mengkasar merupakan antara menu popular terutama buat pelancong dari dalam dan luar negara. Ada pihak bahkan menyifatkan martabak yang tebal dan intinya berlapis-lapis itu sebagai salah satu ikon Pekan.

Mengkasar

Dinamakan sempena nama Kampung Mengkasar di Pekan, sajian ini telah bertapak sejak lebih 30 tahun hasil warisan resipi keluarga turun- temurun.

Pewaris generasi kedua perniagaan jenama Murtabak Mengkasar Haji Din, Suzaina Ahmad Tajudin, 34, memberitahu, sejak kecil dia sudah mula membantu keluarganya berniaga martabak. Secara tidak langsung, dia mempelajari cara membuatnya.

Menurutnya, keistimewaan martabak mengkasarnya adalah ramuan tersendiri daripada resipi asal keluarga. Campuran rempah dan dagingnya pula yang terasa pada setiap gigitan.

“Martabak mengkasar adalah sajian daripada arwah datuk saudara yang mewariskan resipi sajian tersebut kepada ayah saya. Sejak itu, ayah berkongsi rasa martabak ini kepada orang ramai dengan memulakan perniagaan pada tahun 1983.

“Saya membesar bersama perniagaan ini dan ia juga merupakan sebahagian daripada keluarga kami,” katanya.

Suzaina nekad untuk menyambung legasi perniagaan keluarganya. Dia juga berazam untuk mengembangkan ia pada tahap yang lebih tinggi.

Mula mengambil alih perniagaan bapanya sejak tahun 2012, Suzaina telah merencana pelbagai perancangan untuk memasarkan jenama Murtabak Mengkasar Haji Din ke seluruh Malaysia.

Menurutnya selain membuka cawangan tambahan di sekitar Pekan dan Kuantan dia turut merancang untuk memasarkan sajian tersebut dalam bentuk sejuk beku ke seluruh pasaran runcit di Malaysia.

Process time in ms: 31