DUNIA

Kebakaran hutan ancam Portugal

Kebakaran hutan ancam Portugal

SEORANG anggota bomba berusaha memadamkan api dekat perkampungan Pucarica di Abrantes kelmarin. - AFP


ABRANTES, Portugal – Lebih 2,600 anggota bomba bergelut untuk memadamkan 62 kebakaran hutan yang marak di seluruh Portugal kelmarin, kata beberapa pegawai ketika cuaca panas terik kembali melanda.

“Keadaan cuaca menjadi ‘amat sesuai untuk kebakaran hutan berlaku’. Cuaca panas kering ini diramal berterusan hingga esok dengan angin kuat serta dan suhu mencecah 39 darjah Cel­sius,” kata jurucakap agensi pertahanan awam, Patricia Gaspar pada satu sidang akhbar.

Maghribi telah menghantar sebuah pesawat bom air dan jiran Portugal, Sepanyol mengerahkan dua pesawat serupa bagi membantu mengawal kebakaran, tambahnya.

Kebakaran kali ini berlaku selepas sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan lebih 250 lagi cedera dalam kebakaran besar di Pedrogao Grande, tengah Portugal yang marak selama lima hari.

Sebanyak 11 kebakaran hutan masih marak setakat pukul 11 malam (waku tempatan) kelmarin, manakala selebihnya beransur dikawal, kata agensi pertahanan awam berkenaan di laman webnya.

Seramai 800 anggota bomba dengan bantuan 250 jentera berada di lokasi kebakaran terbesar di sebuah hutan dekat bandar Abrantes, tengah Portugal.

“Api merebak hingga ke pinggir bandar ini, kata Datuk Bandar Abrantes, Maria do Ceu Albuquerque.

Pihak bomba pula berkata, udara ke­ring dan angin kuat yang kerap berubah arah telah menyukarkan usaha untuk mengawal api.

Satu lagi kebakaran besar dilaporkan dekat perkampungan Mealhada, utara Portugal. Api marak memaksa lebuh raya A1 yang menghubungkan dua bandar terbesar Portugal, Lisbon dan Porto ditutup.

Kebakaran berhampiran bandar Grandola, selatan Portugal pula memaksa penutupan laluan kereta api yang menghubungkan Lisbon dengan wilayah Algarve. Rantau itu merupakan antara destinasi pelancongan popular di Eropah. – AFP

Process time in ms: 31