PESONA

Konvensyen interaktif mengimbau sejarah lampau

Konvensyen interaktif mengimbau sejarah lampau


Peminat barangan lama dan antik turut berpeluang mendapatkan koleksi-koleksi baharu pada harga berpatutan.


BUAT julung-julung kalinya, saluran History Channel yang dimiliki A+E Networks Asia menganjurkan konvensyen History Con 2017 di negara ini bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Konvensyen hiburan berskala mega dari 3 Ogos hingga 6 Ogos lalu itu berjaya menarik kehadiran 21,000 pengunjung termasuk pempamer.

Bukan sekadar menampilkan selebriti dalam dan luar negara, malah ia mengetengahkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga meliputi bidang automatif, fotografi, sejarah, seni, budaya tradisional dan gaya hidup.

Seorang pengunjung, Mohd. Amir Sharil Bahari, 44, berkata, tiga anaknya begitu teruja dapat melihat dan merasai pengalaman baharu terutama ketika melawat pameran arkeologi dan artifak oleh Jabatan Muzium Malaysia.

“Anak-anak saya yang berusia tiga hingga enam tahun begitu seronok menggali tanah menggunakan peralatan yang biasa digunakan pengkaji dalam membongkar penemuan penting kehidupan prasejarah.

“Barang yang dipamerkan bukan sahaja boleh dilihat dari jarak dekat, malah boleh disentuh. Sebagai contoh, sebelum ini mereka hanya boleh melihat fosil dari buku teks atau di sebalik cermin muzium sahaja kali ini mereka boleh sentuh dan rasa sendiri.

“Ini membuatkan kanak-kanak lebih relaks dan mudah dikawal. Pada masa yang sama, lawatan sebegini dapat dijadikan medium pendidikan interaktif,” ujar peguam dari Ampang, Selangor itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagi seorang pengunjung dari Shah Alam, Selangor, Ika Eliyana Abdul Rahim, 20, hujung minggu dirasakan lebih bermakna apabila dapat meluangkan masa bersama adik-beradik dan rakan baiknya ke program seumpama itu.

Vintaj


Peniaga perintis kereta klasik, Jags Classic turut mempamerkan barisan kereta klasik dengan reka bentuk unik seperti kereta tahun 1963, Chrysler Imperial Custom Southampton.


Tambahan pula, pelajar kolej itu begitu meminati rancangan Masterchef dan berasa begitu bertuah dapat melihat sendiri aksi hos Masterchef Australia, Matt Preston di hadapan matanya.

“Konvensyen ini menyediakan kejutan dan aktiviti yang tidak disangka-sangka. Saya selalu juga berkunjung ke tapak pameran sebegini tetapi History Con membawa konsep acara yang lebih bervariasi,” tuturnya.

Seorang peserta pameran, Mazlan Abdullah, 53, meluahkan rasa bangga dapat berkongsi koleksi vintaj yang dikumpulnya sejak sekian lama sempena konvensyen itu.

“Koleksi barangan lama menyimpan pelbagai kisah dan sejarah yang menarik untuk dikongsi kepada generasi muda walaupun ia sekadar barangan kecil dan mungkin dianggap tidak menyimpan apa-apa makna bagi sesetengah orang.

“Sebagai contoh, salah satu koleksi yang mempunyai kenangan sentimental buat diri saya ialah tiket bas mini tahun 1975. Ketika itu, perkhidmatan bas mini baru diperkenalkan. Tambangnya cuma 40 sen sebelum dinaikkan kepada 50 sen pada tahun 1991,” imbaunya.

Sementara itu, pengasas Art Market Malaysia, Hazrita Mohd Hatta, yang turut menyertai pameran tersebut menyifatkan konvensyen itu sebagai berjaya terutama dalam memberi inspirasi kepada orang ramai mengimbas sejarah perkembangan negara.

Dalam pada itu, sempena ulang tahun ke-10 penganjuran History Con di Asia, seramai 10 individu berpengaruh dari pelbagai bidang di negara ini dinobat sebagai penerima Anugerah Pencipta Sejarah atas pelbagai sumbangan dan pencapaian mereka.

Antaranya pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim; ikon kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat; jaguh rali kebangsaan, Karamjit Singh serta saintis muda, Faye Jong Sow Fei.

Process time in ms: 78