DUNIA

Gempa di China, 60,000 pindah

Gempa di China, 60,000 pindah


AFP - PASUKAN penyelamat membawa seorang wanita yang cedera akibat gempa bumi untuk menerima rawatan di sebuah hospital di Jiuzhaigou, wilayah Sichuan, China kelmarin.


CHENGDU – China kelmarin memindahkan hampir 60,000 orang di barat daya kawasan pergunungannya selepas gempa bumi kuat yang membunuh sekurang-kurangnya 20 orang.

Gempa bermagnitud 6.5 pada skala Ritcher yang melanda wilayah Sichuan pada Selasa lalu itu telah mengakibatkan jalan raya di kawasan pergunungan merekah, tanah runtuh, bangunan rosak selain menyebabkan penduduk dan pelancong yang panik melarikan diri ke kawasan terbuka.

Kerajaan wilayah itu berkata, kebanyakan pelancong terkandas di sebuah taman nagara popular berhampiran pusat gempa.

Mereka telah dipindahkan selepas semalaman berada di kawasan terbuka apabila lebih 1,000 gempa susulan melanda seluruh rantau itu.

Penduduk tempatan juga akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat, demikian menurut pihak berkuasa.

Keadaan geografi yang sukar di rantau itu menghalang gambaran jelas tentang tahap sebenar bencana.

Gempa bumi itu telah membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 247 mangsa dengan 40 daripada mereka cedera parah, menurut kerajaan tempatan.

Kerajaan berkata, sebanyak 1,680 rumah di 17 bandar Jiuzhaigou menga­lami pelbagai tahap kerosakan.

Imej di media sosial me­nunjukkan kereta dan bas jatuh ke dalam gaung atau dihempap oleh batu-batu besar yang jatuh dari kawasan bukit sehingga memaksa anggota penyelamat mencari mangsa di celah-celah runtuhan.

– AFP

Process time in ms: 47