DUNIA

Doha kecualikan visa

Doha kecualikan visa

AFP - IMEJ fail bertarikh 20 Julai menunjukkan pesawat Qatar Airways berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar.


DOHA – Qatar yang berhadapan krisis diplomatik dengan negara jirannya kelmarin mengumumkan program kemasukan bebas visa kepada rakyat 80 negara bagi merangsang pengangkutan udara dan pelancongan.

“Skim pengecualian visa akan menjadikan Qatar negara paling terbuka di rantau ini,” kata pegawai Jabatan Pelancongan, Hassan al-Ibrahim pada sidang akhbar di Doha.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri, Mohamed Rashed al-Mazroui berkata, rakyat 80 negara itu cuma perlu menye­rahkan pasport untuk masuk ke negara Teluk yang kaya dengan tenaga dan bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia 2022.

Program pengecualian yang berkuat kuasa serta-merta itu memberi kesan kepada negara-negara zon Schengen Kesatuan Eropah (EU), negara-negara Barat lain, Amerika Latin dan Asia.

Lebanon adalah satu-satunya negara Arab yang berada dalam senarai yang disiarkan pada akhir sidang akhbar berkenaan walaupun enam negara Maj­lis Kerjasama Teluk yang dianggotai Qatar telah pun memberikan kebebasan bergerak kepada rakyatnya.

Rakyat 33 negara kini akan dibenarkan untuk menetap di Qatar selama 180 hari, manakala 47 lagi negara selama 30 hari.

Mohamed Rashed berkata, negara berkenaan dipilih berdasarkan pertimbangan keselamatan dan ekonomi atau kuasa beli rakyatnya.

Pengarah syarikat penerbangan Qatar Airways, Akbar al-Baker berkata, syarikatnya merancang untuk meluaskan rangkaian ke 62 destinasi baru dan bakal mendapat manfaat daripada skim itu.

“Pengumuman bersejarah itu dibuat pada masa bersejarah apabila bebe­rapa negara di rantau itu mengambil keputusan menutup sempadan dan mengenakan sekatan udara, Qatar sebaliknya membuka sempadannya,” kata Akbar.

Arab Saudi, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir telah memulaukan Qatar sejak 5 Jun lalu selepas menuduh negara itu menyokong kumpulan pengganas dan berhubung rapat dengan Iran. Qatar bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Empat negara Teluk itu telah menutup sempadan darat dan laut mereka kepada Qatar selain mengenakan sekatan ekonomi dan udara. – AFP

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 32