HORIZON

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.


SELEPAS membeli tiket untuk menaiki kereta kabel Aiguille du Midi dengan harga 17.5 euro (RM82.25) seorang, Nor Amarlina Ramlee bersama lima rakannya bergegas ke satu lokasi untuk menunggu giliran ke puncak Mont Blanc, Perancis.

Ketika sedang beratur itu, Nor Amarlina dan rakan-rakannya teruja melihat keletah pelancong asing yang membawa pelbagai peralatan mendaki dan meluncur.

Situasi itu membuat Eksekutif Logistik di sebuah syarikat swasta tersebut semakin tidak sabar untuk sampai ke gunung setinggi 3,777 meter (m) dari aras laut yang terletak di Banjaran Alps berkenaan.

Selepas lima minit menunggu, tiba giliran Nor Amarlina dan rakan-rakannya untuk menaiki kereta kabel yang boleh memuatkan seramai 20 orang itu.

Perjalanan ke puncak Mont Blanc mengambil masa selama 15 minit. Sepanjang tempoh itu, dia berpeluang menikmati panorama gunung-ganang yang diliputi salji.

Kereta kabel itu menawarkan dua perhentian iaitu teres pertama pada paras ketinggian 2,317m dan puncak tertingginya, 3,777m dengan kadar bayaran 60 euro (RM301) untuk tiket pergi dan balik.

Nor Amarlina hanya memilih untuk berada di teres pertama Mont Blanc kerana kesuntukan masa selain tidak mahu mengambil risiko.

Teres pertama sudah memadai kerana pengunjung dapat melihat 360 darjah pemandangan paling menarik gunung-ganang diliputi salji dan glasier dari jarak dekat.

“Saya seakan-akan bermimpi kerana berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi di Eropah itu. Sejak di bangku sekolah lagi, saya telah memasang impian untuk menjejakkan kaki di Mont Blanc.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk bermain salji di kawasan pergunungan ini kerana ia pernah menjadi lokasi Sukan Olimpik Musim Sejuk yang pertama pada tahun 1924,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Nor Amarlina dan rakan-rakannya merupakan sebahagian daripada 30 peserta rombongan anjuran kakirempit.com ketika melancong ke selatan Perancis.

Antara tempat yang dilawati ialah Annecy, Chamonix dan Paris selain Geneva, Switzerland selama seminggu pada pertengahan bulan April lalu.

Menariknya, peserta turut dibawa menjelajah ke Mont Blanc dan bandar kecil di kaki gunung tersebut iaitu Chamonix dan Montenvers Mer de Glace serta Gua Ais.

Kakirempit.com merupakan sebuah syarikat yang menawarkan pakej percutian ke luar negara yang berkonsepkan semangat kekeluargaan.

Sejak beroperasi pada tahun 2011, syarikat itu telah membawa pelancong menjelajah Iceland, Switzerland, Jerman, Sepanyol, Portugal dan Itali dengan kos serendah RM3,500 termasuk perbelanjaan makanan serta minuman.

Tiket penerbangan perlu ditanggung sendiri oleh peserta kerana ada pelanggan memilih syarikat penerbangan kegemaran dan masa yang bersesuaian.

Untuk ke Mont Blanc, para peserta terpaksa menempuh perjalanan menggunakan kenderaan pelbagai guna selama tujuh jam dari Paris ke Chamonix iaitu kawasan kaki gunung.

Mengembara


SHALINDA bersama suaminya bergambar di bawah pokok di kawasan perkampungan ski di La Clusaz.


Pengasas syarikat kakirempit.com, Mohd. Hanafi Selamat berkata, pihaknya berminat membawa peserta mengembara ke selatan Perancis kerana ia menjanjikan pemandangan memukau serta pengalaman menarik.

Katanya, selain Mont Blanc, tempat menarik yang diketengahkan kakirempit.com kepada para peserta adalah Montenvers Mer de Glace.

Destinasi itu memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat glasier terbesar di Perancis dan meneroka Gua Ais buatan manusia.

“Aktiviti menuruni gua ini sangat mencabar dan ia memerlukan stamina serta tubuh badan yang kuat.

“Ia bagi memastikan setiap peserta dapat menuruni 440 anak tangga yang curam dengan selamat kerana berdepan cuaca sejuk serta angin lintang,” katanya.

Selain itu, seorang peserta kembara, Shalinda Shahzulkarib, 41, berasa bangga kerana dapat berada di perkampungan ski resort di La Clusaz yang terkenal dengan aktiviti ski.

Untuk sampai ke puncak gunung di resort itu, dia dan rakan kembaranya perlu menaiki gondola sambil menikmati keindahan hamparan gunung-ganang yang mengasyikkan.

Mereka turut berpeluang melihat pemandangan gunung-ganang diliputi salji memutih dan lembahnya terdapat sebuah bandar kecil.

“Kemudahan penginapan seperti hotel, hostel dan apartmen serta restoran begitu banyak di sini. Ketika di luar musim sejuk, suasana di bandar ini cukup harmoni dan aman damai.

“Lebih seronok jika berada di sini pada musim sejuk kerana boleh bermain ski. Namun, kedatangan kami ke situ sudah cukup memberi pengalaman unik.

“Dari puncak La Clusaz, kami dapat bayangkan bagaimana pemain-pemain ski profesional meluncur di lereng-lereng gunung,” jelasnya.

Bebola ais


SEBAHAGIAN daripada rakan kembara berada di dalam Gua Ais buatan manusia di Montenvers Mer de Glace buatan manusia.


Sementara itu, salah seorang pengembara cilik, Ilman Naufal Abdul Rahman, 8, berkata, dia begitu teruja mengepal bebola ais di La Clusaz.

Pelajar al-Amin Tropicana School di Sungai Buloh, Selangor itu turut merasai peluang meluncur ais dengan menuruni kawasan pergunungan tersebut.

“Walaupun sejuk, ia bukan satu masalah. Ini kerana saya suka bermain ais. Kalau boleh saya hendak bawa balik bebola ais ini turun ke bawah.

“Kenangan ini akan saya ceritakan pada guru dan kawan,” katanya.

Hasil daripada pengalaman berharga ini, Ilman Naufal telah menyimpan misi untuk meneroka Iceland pada masa depan.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 16