VARIA

Pencari suaka gigih kuasai bahasa Perancis

Pencari suaka gigih kuasai bahasa Perancis

DI kawasan terbuka ini, pencari suaka berusaha mempelajari bahasa Perancis.


KETIKA menelusuri jalan Bassin de la Villette di Paris, kira-kira 50 orang pencari suaka dilihat sedang membaca abjad-abjad yang diajar oleh wanita muda berkulit putih dalam bahasa Perancis.

“Eeww,” teriak Louise, 22, dengan lantang.

Dia ingin memastikan suaranya didengari oleh wanita itu kerana keadaan sekeliling agak bising ekoran kenderaan yang lalu-lalang di kawasan tersebut.

“Ohhh,” datang pula suara daripada sebuah kumpulan yang terdiri daripada pemuda Sudan dan Afghanistan.

Mereka itu sebenarnya sedang bergelut untuk melafazkan perkataan ‘u’ di dalam bahasa Perancis.

Para pendatang itu menghadiri kelas bahasa secara terbuka yang dianjurkan oleh kumpulan sokongan pelarian.

Seorang pesara jururawat yang kini bergelar guru sukarelawan, Pierre Piacentini mengajar pelajar Tahap 2.

Ramai pelajar di dalam kumpulan Piacentini adalah pelajar tetap.

“Mereka berada di sini ketika cuaca panas terik atau hujan. Mereka sangat berdedikasi untuk belajar,” katanya.

Pada abad ke-21 ini, memang agak pelik apabila masih ada pembelajaran yang berlaku di tepi jalan dan di bawah pokok, terutamanya di kawasan ramai orang lalu-lalang. Mereka akan berhenti dan memandang serong.

Diasaskan pada bulan November 2015 ketika krisis migran di Eropah memuncak, Persatuan Penerimaan dan Bantuan untuk Migran (BAAM) berhasrat memberi pemohon suaka sokongan yang tidak diberikan oleh kerajaan sementara tuntutan suaka mereka diproses. Ia termasuk kelas bahasa Perancis.

Masa menunggu

Sebelum ini, Perancis hanya menawarkan pelajaran kepada orang yang sudah menerima status pelarian.

Masalah utama yang berlaku kepada pelarian pencari suaka itu adalah proses permohonan mereka yang mengambil masa panjang.

“Mereka ingin mempelajari bahasa Perancis tetapi tidak boleh,” kata salah seorang pengasas BAAM, Julian Mez.

Presiden Emmanuel Macron yang baru dilantik pada Mei lalu berjanji untuk memendekkan masa menunggu bagi tuntutan suaka daripada 18 bulan kepada enam bulan.

Kata Mez, apabila perubahan masa itu berlaku, pelajar Tahap 2 pada masa kini mungkin sudah tamat belajar.

Dalam pada itu, seorang warga Sudan, Omar, 22, berkata, kira-kira sembilan bulan yang lalu, dia tidak mengetahui apa-apa.

“Kini saya dapat bercakap dalam bahasa Perancis dengan baik,” katanya bangga.

Piacentini menerangkan bagaimana mahu memberitahu kepada doktor tentang pelbagai penyakit yang mungkin mereka alami.

“Belakang saya sakit,” kata Piacentini kepada kelasnya sambil menekan tangan pada bahagian atas punggung.

Kemudian pelajar-pelajar itu mengulangi ayat tersebut secara serentak dan menulis dengan tekun pada buku nota yang diletakkan di atas lutut mereka.

Sementara itu, pada November lalu, pihak polis telah mengusir lebih 3,000 pendatang yang tinggal di kawasan perlindungan rasmi Stalingrad tetapi pendatang dari seluruh Afrika, Timur Tengah dan Asia tetap tiba.

Bagi pendatang yang menyertai kelas bahasa, kebanyakan mereka ingin menetap terus di Perancis dan bukannya menjadikan destinasi itu sebagai transit semata-mata.

Bagi Hissan, 27, yang berasal dari Mesir, dia berkeliaran selama bertahun-tahun di sekitar Eropah sebelum membuat keputusan untuk menetap di Paris.

Kini, dia memperoleh pekerjaan dalam projek pembinaan dan semakin lancar bertutur dalam bahasa Perancis. – AFP

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 15