INFINITI

Ruang kerja berteknologi tinggi kakitangan MAB

Ruang kerja berteknologi tinggi kakitangan MAB

WILFRED MADIUS (barisan kedua, lima dari kiri) bergambar pada Majlis Perasmian iSpace Inovation Lab di Bangunan Pengurusan Penerbangan Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor baru-baru ini.


RUANG pejabat yang dipenuhi meja, komputer dan kertas-kertas kerja jelas kelihatan sebaik melangkah masuk ke ruang terminal Bangunan Pengurusan Penerbangan Antarabangsa Kuala Lumpur.

Keadaan itu tidak ubah seperti pejabat-pejabat lain yang menjadi satu ruang tipikal bagi kebanyakan pekerja mereka.

Namun, andaian itu berubah sama sekali sebaik memasuki ruang hadapan bangunan tersebut. Satu kawasan yang lebih moden dengan pelbagai kelengkapan berteknologi terkini memenuhi ruangan itu.

Di bahagian hadapan pula diletakkan Solution Cafe yang berfungsi sebagai meja bantuan.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Strategi Teknologi Maklumat dan Tabir Urus Malaysia Airlines Berhad (MAB), Abdul Rahman Mohamed, ruang itu merupakan sebuah makmal inovasi yang pertama bagi kegunaan kakitangan MAB.

“Dikenali dengan nama iSpace Inovation Lab, ruang ini dibangunkan sebagai perubahan kepada strategi syarikat untuk menaik taraf sistem sedia ada kepada satu sistem yang lebih canggih sama seperti syarikat-syarikat lain.

“Dengan idea yang lebih baik, kawasan yang dahulunya berfungsi sebagai kawasan operasi ini mendapat beberapa sentuhan baharu seperti sudut membaca, permainan, rekreasi dan ruang isterehat serta bilik mesyuarat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas Majlis Perasmian iSpace Inovation Lab di Bangunan Pengurusan Penerbangan Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Bangunan itu dihubungkan melalui terowong pejalan kaki dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

iSpace Inovation Lab telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Tambah Abdul Rahman, ruang-ruang itu boleh digunakan sepenuhnya oleh kakitangan MAB pada bila-bila masa. Antara ruang yang menjadi perhatian adalah ruang rekreasi yang dilengkapi dengan permainan foosball.

Transformasi digital


Ruang permainan foosball.


Selain itu, ruang istirehat membolehkan pekerja bersantai mengikut keselesaan masing-masing. Tidak ketinggalan beberapa buah basikal senaman bagi pekerja yang ingin menghilangkan rasa mengantuk atau memperoleh tenaga.

“Makmal ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MAB ke arah transformasi digital untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, syarikat penerbangan dan kecekapan operasi secara keseluruhannya.

“Makmal ini juga akan menjadi platform untuk menggabungkan pelbagai aspek pengalaman digital bersama beberapa rakan kerjasama,” terangnya.

Selain kakitangan MAB, syarikat itu turut mengalu-alukan organisasi yang ingin menjalankan kajian tentang inovasi baharu di iSpace Inovation Lab.

Dengan kemudahan seluas 8,300 kaki persegi (771 meter persegi) dan kapasiti untuk menempatkan 100 orang, iSpace Inovation Lab diharap dapat mewujudkan ruang kerja yang lebih ringkas dan moden.

Abdul Rahman turut menjelaskan, bagi pelan jangka panjang projek iSpace Inovation Lab, mereka ingin memindahkan semua kaedah kerja yang melibatkan inovasi dan teknologi secara alam maya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew pula berkata, iSpace Inovation Lab merupakan aset penting bagi syarikat dan pemangkin dalam memupuk ekosistem inovatif terutamanya untuk bakat sedia ada demi masa depan syarikat.

“Dengan persekitaran kerja yang ringkas dan moden, saya yakin kami mampu menarik serta memupuk banyak bakat dalaman serta luaran melalui inovasi,” tuturnya.

“Pada masa ini, saya gembira untuk berkongsi bahawa 70 peratus daripada keseluruhan transformasi teknologi maklumat yang kami rancang hampir selesai. Transformasi ini bermula pada Mac 2016 dan dijangka siap menjelang Jun 2018.

Tambah Bellew, kejayaan pelaksanaan teknologi maklumat adalah kunci kejayaan MAB terutamanya dalam meningkatkan pengalaman pelanggan terhadap syarikat penerbangan dan kecekapan operasi secara keseluruhan.

“Ia meliputi tiga fasa utama, pertamanya pendigitan aset dan proses yang menyaksikan penghijrahan Pusat Data syarikat penerbangan ke platform awanan bagi suku pertama 2016.

“Kedua, menggantikan dan membina penyelesaian serta keupayaan perniagaan baharu untuk membolehkan pendigitan semua produk dan proses perniagaan teras.

“Ketiga, menyediakan pengalaman yang lebih memberangsangkan dan tangkas kepada pelancong. Bermula daripada tempahan tiket, kemudian pembelian bagasi, makanan, menguruskan mata kesetiaan dan tawaran untuk memenuhi keperluan individu mereka,” ujarnya.

Fasa terakhir pula akan mewujudkan platform bagi inovasi dan pembezaan yang berterusan untuk membentuk sebuah syarikat penerbangan digital baharu. Ia termasuk penambahbaikan terhadap aplikasi MAB bagi memudahkan lagi pelanggan dan pengguna serta beberapa aplikasi baharu.

Bernilai tinggi

Dalam pada itu, Wilfred Madius pula memaklumkan, Malaysia semakin ke arah negara bernilai tinggi.

Katanya, melalui penyelesaian yang inovatif, mana-mana syarikat boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti keseluruhan. Malah, pada masa yang sama dapat mewujudkan perbezaan dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Perkara itu penting bagi menyokong transformasi keseluruhan sistem pengeluaran, pengurusan, dan tadbir urus bagi sesebuah organisasi.

“Menjelang tahun 2020, kami menjangkakan ketibaan sekitar 36 juta pelancong ke Malaysia dan terdapat permintaan yang semakin tinggi bagi syarikat penerbangan untuk menyediakan produk serta perkhidmatan yang inovatif kepada pelanggan.

“Dengan penawaran produk yang betul, diperkayakan dengan digitalisasi, saya yakin bahawa MAB akan dapat memudahkan tuntutan pelanggan yang semakin mahir dengan teknologi,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan pengetahuan asas dalam inovasi dan teknologi, kedua-dua elemen itu akan terus menjadi agenda dalam pembangunan negara.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 47