GENK

Item koleksi terhad hobi lumayan

Item koleksi terhad hobi lumayan

DARI kiri: Bello, Mohd. Hariz dan Qamal Fiqri menunjukkan sebahagian koleksi pakaian jalanan yang dimiliki mereka.


FESYEN pakaian jalanan bukan sesuatu yang asing dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Mengaplikasikan konsep kasual dan selesa, fesyen ini terarah kepada pemakaian jean, baju-T, topi besbol dan kasut sniker.

Ia dikatakan bermula di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) yang terkenal dengan aktiviti luncur air sekitar lewat 1970-an dan awal 1980-an.

Seorang bekas peluncur air, Shawn Stussy kemudiannya telah mengembangkan fesyen ini menerusi pengenalan koleksi pakaian yang memaparkan logo syarikatnya dalam pelbagai corak dan warna.

Fesyen yang menggabungkan elemen seni, sukan luncur dan hip-hop itu pantas menarik perhatian sebelum berkembang ke seluruh dunia.

Di Malaysia, fesyen ini berkembang sekitar tahun 90-an melalui kemunculan kumpulan-kumpulan muzik hip-hop popular seperti 4U2C, KRU dan Krash Kozz.

Biarpun telah mengalami pelbagai transformasi akibat perubahan zaman namun fesyen ini terus bertahan dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Seorang peminatnya, Muhd. Huzaimei Abdullah Shadi, 29, berkata, segmen pakaian jalanan kini dikuasai beberapa jenama terkenal seperti Supreme, Bape, Champion, Stussy dan Mastermind.

Sementara itu, katanya, kasut pula sering dikaitkan dengan jenama-jenama seperti Nike, Adidas, Air Jordan dan Vans.

“Saya meminati konsep pakaian jalanan kerana ia ringkas dan santai. Lagipun, ia sesuai dengan personaliti diri saya serta boleh digayakan dengan apa juga acara atau majlis,” katanya ketika ditemui Kosmo! di premis perniagaannya, Bello & Co. Barbershop di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Mesra disapa Bello, lelaki itu memberitahu, dia juga turut mengumpul topi besbol, salah satu daripada aksesori penting fesyen berkenaan sejak lima tahun lalu.

Katanya, kebanyakan topi besbol yang dikumpul merupakan jenama New York dan Obey.

“Selepas topi, saya beralih pula kepada kasut. Kini, saya lebih bertumpu kepada apa sahaja item atau koleksi yang berkaitan jenama Supreme.

“Menariknya, jenama ini hanya dijual sebanyak empat kali setahun dengan butik yang terhad di seluruh dunia. Di Asia, hanya terdapat dua butik jenama Supreme iaitu Tokyo dan Hong Kong.

“Tidak hairanlah, ia sering menjadi rebutan pengumpul jenama ini kerana harganya mampu mencecah ribuan ringgit sekiranya dijual semula di pasaran,” ujarnya.

Peminat tegar

Populariti Supreme, katanya, turut mendorong ikon-ikon fesyen dunia seperti Nike, Adidas, Air Jordan sehingga kepada Louis Vuitton (LV) berkolaborasi untuk mengeluarkan pelbagai aksesori eksklusif.

Misalnya, Julai lalu, butik LV di Singapura telah diserbu lebih 5,000 peminat tegar Supreme yang mahu mendapatkan koleksi LV-Supreme yang dijual.

“Bayangkan, saya berada di sana hampir seminggu untuk beratur dan mendapatkan nombor giliran kerana jualannya terhad kepada 350 pelanggan terawal sahaja.

“Saya bernasib baik kerana menjadi pelanggan ke-10 dan menghabiskan sekitar RM20,000 untuk membeli beberapa koleksi terbaharu seperti dompet dan cermin mata.

“Secara keseluruhan, semua koleksi Supreme simpanan saya dianggarkan mencecah RM40,000 hingga RM50,000 di pasaran,” katanya yang turut memiliki perniagaan aksesori telefon dan alat tulis.

Sementara itu, Qamal Fiqri Kamal Halili, 29, pula berkata, dia sememangnya menggemari pakaian jalanan sebagai pakaian harian kerana ia lebih ringkas dan nampak bergaya.

“Fesyen ini sememangnya popular dalam kalangan selebriti hip-hop di AS malah beberapa artis tempatan seperti Nabil, Awal Ashaari dan Syarul Ridzwan juga semakin dikenali dengan imej sedemikian.

“Popularitinya menyebabkan ia semakin mendapat tempat dalam industri fesyen di negara ini khususnya kalangan generasi muda,” katanya yang merupakan pereka bentuk kejuruteraan di sebuah syarikat petroleum tempatan.

Beratur


RAMAI pengumpul fesyen pakaian jalanan meraih pendapatan lumayan hasil jualan koleksi peribadi mereka.


Anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu, selain meminati fesyen tersebut dia juga mempunyai hobi mengumpul pelbagai kasut daripada jenama Nike, Air Jordan dan Supreme.

Katanya, disebabkan minat tersebut, dia sanggup ‘berkampung’ selama lima hari di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur tahun lalu kerana tidak mahu terlepas membeli kasut Nike Air Jordan 1 Bred yang baru dilancarkan pada harga RM629 sepasang.

“Ketika itu terdapat sekitar 100 hingga 200 pelanggan beratur menunggu giliran. Saya merupakan antara lebih 30 pelanggan bertuah yang berpeluang memilikinya.

“Sepanjang tempoh itu, saya sempat menggayakannya sebanyak dua kali sahaja sebelum dijual kepada seorang pembeli pada harga RM1,800 awal tahun ini,” ujarnya.

Menurutnya, kasut kesayangannya ialah Nike Foamposite Supreme yang dibeli pertengahan tahun ini pada harga RM3,500 sepasang.

“Sementara itu, koleksi pakaian kesayangan pula merupakan baju hud Supreme yang dibeli sekitar Jun lalu pada harga RM3,500.

“Bagi saya, biarpun harganya agak mahal namun kesukaran untuk mendapatkannya menyebabkan ia berbaloi untuk dimiliki,” katanya.

Bagi Mohd. Hariz Yusuf, 22, dia turut berpengalaman ‘berkampung’ selama dua hari di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur sekitar Ogos tahun lalu untuk membeli kasut Adidas Yezzy V2 yang baru dilancarkan di negara ini.

“Rekaan kasut itu merupakan kolaborasi antara Adidas dan Kanye West, penyanyi hip-hop terkenal dari AS dan difahamkan hanya terdapat sebanyak 20 pasang yang dijual di Malaysia.

“Bayangkan daripada lebih 1,000 pelanggan, saya merupakan salah seorang yang bertuah dan dapat membelinya pada harga RM1,000.

“Sebaik sahaja melangkah keluar dari kedai berkenaan saya telah didatangi seseorang yang kemudiannya membelinya pada harga RM3,000,” katanya yang mengusahakan perniagaan membaik pulih telefon di Bangi dan Shah Alam.

Tambah Mohd. Hariz, selain kasut dia turut mengumpul pelbagai koleksi pakaian jalanan seperti beg, topi, baju-T dan baju hud khususnya daripada jenama Supreme.

“Saya anggarkan keseluruhan koleksi tersebut bernilai lebih daripada RM20,000 termasuk koleksi kesayangan Camp Cap LV Supreme dan topi besbol yang dibeli pada harga RM3,800 daripada seorang pengumpul jenama itu di Singapura.

“Biarpun jenama Supreme agak mahal namun ia bersifat eksklusif dan tidak ramai yang berpeluang memilikinya.” ujarnya.

Katanya, biarpun jenama Supreme agak dominan namun jenama pakaian jalanan seperti Bape dan Champion juga mempunyai keunikan dan peminatnya yang tersendiri.

“Ada yang mahu membelinya untuk bergaya atau menyimpannya sebagai koleksi berharga dan bernilai tinggi. Apapun ia terpulang kepada diri sendiri, tepuk dada tanya selera,” katanya mengakhiri bicara.

Process time in ms: 15