RUANG

Citarasa Inggeris Klasik warnai kediaman suri rumah

Citarasa Inggeris Klasik warnai kediaman suri rumah

BASIKAL lama yang dijadikan hiasan tergantung pada dinding di luar rumah dan dijadikan tempat menyangkut pasu pokok hiasan.


BAGAIKAN berada di taman yang dihiasi dengan kuntuman bunga-bungaan, begitulah perasaan yang dialami oleh kru Jurnal tatkala kaki melangkah masuk ke ruang kediaman milik Intan Rohani Mohamed Ali.

Meskipun tinggal di kediaman yang memiliki keluasan hanya sebesar 70 meter persegi, itu bukan halangan untuk wanita berusia 45 tahun itu menggubah mahligainya dengan sentuhan cukup indah.

Bermula dari luar rumah, Intan agak ‘lokek’ untuk membiarkan kawasan rumahnya terbiar sepi tanpa diberi sentuhan.

Hiasan cendawan buatan tangan yang dihasilkan menggunakan tempurung kelapa dan diletakkan pada sudut tepi di luar rumah menyambut para tetamu yang pasti tidak akan terlepas untuk melirik mata melihatnya dengan lebih dekat.

Begitu juga dengan hiasan jamba­ngan bunga yang tidak terbilang juga diletakkan pada koridor bagi membangkitkan suasana dalam taman.

Mendongak pada bahagian din­ding, sebuah basikal lama turut menjadi antara dekorasi menarik apabila pemiliknya menjadikannya sebagai hiasan kreatif, sekali gus menyuntik sedikit elemen vintaj.

Menerapkan konsep putih sebagai rona utama yang menghiasi dalam rumah, Intan ternyata tidak kisah menggabungkan lebih daripada satu konsep pada tata rias dalam kediaman yang mempunyai tiga bilik itu.

Seperti apa yang bermain di kotak fikiran kru Jurnal, memang tepat apabila Intan cuma mewujudkan konsep suasana rumah ala Inggeris, namun pada sentuhan klasik dan tersendiri.

Gubahan bunga

“Saya memang gemarkan warna putih dan bunga-bungaan dalam menghiasi kediaman,” tutur ibu kepada tiga orang puteri itu.


SUASANA keseluruhan ruang tamu dalam kediaman Intan yang dihiasi dengan gubahan bunga-bungaan.


Maka, tidak hairanlah apabila Intan mempunyai lebih daripada 30 gubahan bunga palsu yang diletakkan pada segenap ruang kediaman miliknya.

Penataan pada dinding dengan sentuhan rona putih polos sudah cukup memberikan keselesaan pada suasana dalam rumah.

Biarpun tampak sedikit sarat, Intan bijak memberi keseimbangan dengan menggunakan tona warna yang tidak keterlaluan.

Gabungan perabot dengan rona se­nada seperti sofa turut berjaya menarik perhatian kru Jurnal lebih-lebih lagi apabila diberitahu terdapat kisah di sebalik perabot tersebut.

Ujar Intan, sofa yang digunakan di rumahnya sudah berusia lebih 30 tahun dan masih digunakan hingga ke hari ini.

“Rangka sofa ini asalnya berwarna coklat dan saya telah mengecatnya dengan warna putih dan hasilnya se­perti yang dapat dilihat,” kata Intan.

Ternyata, perabot-perabot lama jika diolah semula hasilnya cukup memuaskan mata yang memandang. Bakat yang dikurniakan dalam bidang jahitan tidak dipersiakan apabila sarung sofa yang diberi sentuhan hitam dengan corak flora dihasilkan sendiri oleh wa­nita tersebut.

Pencahayaan

Untuk keselesaan bertepatan dengan saiz ruang tamu yang terhad, Intan tidak begitu galak menyusun perabot bersaiz besar pada kediamannya.


INTAN ROHANI


Bagi menjimatkan ruang, keba­nyakan perhiasan disusun kemas pada rak yang dipasang pada dinding. Melihat pada dekorasi-dekorasi yang digunakan, Intan dilihat gemar mengumpul koleksi pinggan mangkuk seramik dengan motif flora yang disusun kemas dalam almari perhiasan.

“Saya beli bukan semata-mata untuk dijadikan perhiasan, sebaliknya memang menggunakannya di rumah.

“Apabila sudah bosan dengan satu-satu koleksi itu, saya akan menyimpannya semula dan menggunakan koleksi lain,” tuturnya.

Bukan itu sahaja, hiasan berbentuk pastri palsu juga menarik perhatian kru Jurnal, apatah lagi apabila mula-mula menjejakkan kaki ke ruang tamu.

Bentuknya yang seakan-akan pastri sebenar cukup menarik minat buat sesiapa sahaja untuk menyentuhnya terutama bagi anak-anak kecil.

Tidak perlu bimbang tentang penataan cahaya, simbahan rona putih yang menyelubungi ruang rumah sudah cukup menjadikan bahagian dalam rumah itu cerah.

Impak daripada cahaya lampu be­rona jingga cukup memberikan pantulan luar biasa, sekali gus menyuntik sedikit elemen mewah pada ruang tamu.

Mengakui dirinya sangat suka dalam bidang hiasan rumah, Intan tidak lelah apabila kerap menukar kedudukan pe­rabot dalam rumahnya apabila perlu.

Kata suri rumah itu, perabot-pe­rabot di dalam rumahnya kerap bertukar-tukar tempat, namun mujur anak-anaknya sering membantu selain turut bertukar-tukar idea.

“Saya tidak mampu membeli sebuah rumah yang besar, namun sekurang-kurangnya saya tetap memiliki sebuah kediaman dan berasa puas apabila dapat mengubahnya mengikut cita rasa yang diinginkan,” tutur Intan menutup bicara.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 31