VARIA

Hidangan RM2 D’Istana Jalamas

Hidangan RM2 D’Istana Jalamas


MOHD. AZHARUDIN bergambar bersama hidangan promosi di Kafe D’Istana Jalamas, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


LONJAKAN harga barangan keperluan asas sejak kebelakangan ini telah mendorong sesetengah pengusaha restoran menaikkan harga makanan.

Malah, terdapat pengusaha restoran yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga terlalu tinggi sehingga membebankan para pelanggan.

Berbeza pula kisahnya dengan Kafe D’Istana Jalamas, Istana Budaya, Kuala Lumpur yang mengambil langkah mengadakan promosi makanan pada harga RM2.

Pemilik restoran, Mohd. Azharudin Bidin, 33, berkata, promosi yang bermula sejak 8 Julai lalu itu bertujuan untuk meringankan beban pelanggan akibat kenaikan kos sara hidup.

Katanya, promosi itu membolehkan pelanggan menikmati pelbagai hidangan pada harga murah, namun rasanya masih setanding dengan restoran lain.

“Menerusi promosi ini, kami berharap dapat membantu menjimatkan perbelanjaan harian masyarakat,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.


Kuantiti hidangan promosi RM2 ini lebih kecil berbanding hidangan biasa.


Promosi

Promosi itu melibatkan 14 jenis hidangan iaitu nasi lemak, bihun sup, soto nasi impit, mi goreng, lontong, mi kari, kuetiau goreng dan nasi goreng.

Pelanggan juga boleh mencuba sajian seperti sago gula Melaka, aneka bubur dan mi rebus.

Bagi menghilangkan dahaga, pelanggan boleh mendapatkan minuman Long Chan dengan harga RM2. Minuman teh tarik, teh O, kopi O, teh O ais dan oren dijual pada harga RM1.

“Kesemua makanan terdiri daripada sajian harian yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Walaupun bahagian lebih kecil, keaslian rasanya masih dikekalkan.

“Disebabkan bahagiannya kecil, pelanggan boleh mencuba beberapa jenis makanan lain. Saya pasti para pelanggan akan berpuas hati,” katanya.

Mengulas mengenai hidangan wajib dicuba pelanggan di kafenya, Mohd. Azharudin memaklumkan, mi rebus daging antara sajian yang mendapat maklum balas positif.

Katanya, hidangan itu dihasilkan daripada resipi mi rebus Muar yang cukup popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Kesemua hidangan promosi itu boleh diperoleh setiap hari kecuali ketika waktu persembahan berlangsung.

Kafe D’Istana Jalamas turut menyajikan pelbagai pilihan lauk untuk makan tengah hari. Ia menjadi pilihan pelanggan yang bekerja di bangunan sekitar Istana Budaya.

Ini kerana kafe itu menawarkan ruang makan yang luas dan selesa selain kemudahan parkir secara percuma. Kafe itu boleh memuatkan sehingga 200 orang pada satu-satu masa.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 47