PESONA

Pendedahan ibadat haji pada usia muda

Pendedahan ibadat haji pada usia muda

Peserta mengutip batu buatan yang dihasilkan mereka sendiri ketika melontar Jamrah. – AFP


KOMPLEKS Belia dan Kebudayaan di Shah Alam, Selangor pada pagi itu bertukar wajah apabila dibanjiri kanak-kanak lengkap berpakaian ihram melangkah penuh disiplin dalam barisan masing-masing.

Jemaah cilik itu kemudiannya berduyun-duyun menuju ke replika kaabah yang dibina di tengah-tengah padang. Ada yang tiba lebih awal dan telah selesai melakukan ibadat tawaf.

Kedengaran sayup-sayup lafaz kalimah talbiah yang bermaksud: “Ku memenuhi panggilan-Mu ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu.

“Aku memenuhi panggilan-Mu tiada sekutu bagi-Mu, aku memenuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milik-Mu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagi-Mu.”

Itu pemandangan istimewa yang dapat diperhatikan pada program Little Haj 2017 baru-baru ini. Ia disertai 5,684 murid Tadika Little Caliphs (LC) berusia enam tahun.

Program yang diadakan secara serentak itu melibatkan Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) Zon Utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak); Zon Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang); Zon Selatan (Johor) serta Zon Melaka dan Negeri Sembilan.

Little Haj turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan serentak dan terbesar oleh kanak-kanak untuk simulasi haji dengan sijil MBOR disampaikan Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohammad Alex Edward.

Seorang peserta dari Tadika LC Semenyih, Khalish Iman Kamarul Rizwan, 6, bercerita, dia bangun seawal pukul 6 pagi untuk menunaikan solat Subuh seterusnya bersedia menyertai program tersebut.

“Seronok datang ke sini beramai-ramai dengan kawan naik bas. Bahagian yang paling saya suka ialah saie. Cikgu beritahu saie itu berlari anak atau berjalan cepat berulang alik sebanyak tujuh kali dari Safa ke Marwah,” ujarnya ceria ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Latihan


Ketua Pegawai Eksekutif Little Caliphs International Sdn. Bhd., Roslan Nordin (depan dua dari kanan) menerima sijil MBOR dari Mohamad Alex (empat dari kiri) di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


Menurut gurunya, Norzafirah Mohzan yang turut menjalankan peranan sebagai mutawif, murid-murid terlibat telah dilatih selama dua minggu selama dua jam bagi setiap sesi.

Sepanjang tempoh tersebut, murid didedahkan dengan bacaan serta amalan yang perlu dilakukan ketika mengerjakan rukun-rukun haji.

“Tahun lalu simulasi haji hanya dilakukan di kawasan tadika dan saya melihatnya sebagai medan latihan yang baik dalam mempersiapkan peserta dalam program kali ini.

“Secara peribadi, program ini menyuntik semangat ke dalam diri saya dan berazam untuk melaksanakan rukun Islam kelima ini suatu hari nanti,” katanya.

Bagi murid dari LC Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor, Rayyan Zulkarnain Mohamad Akmal, 6, dia teruja dapat melihat replika kaabah dan melakukan rutin jemaah haji seperti tawaf yang biasa disaksikan menerusi video di kaca televisyen.

Ketua Pegawai Akademik Little Caliphs International Sdn. Bhd. merangkap Pengasas Tadika LC, Sabariah Faridah Jamaluddin berkata, objektif pelaksanaan The Little Haj sejajar dengan metodologi pembelajaran secara terus oleh pihaknya.

Dalam hal ini, peserta didedahkan dengan keadaan sebenar iaitu sebelum dan semasa mengerjakan haji bagi memastikan mereka memahami konsep sebenar ibadah berkenaan.

Gambaran jelas


SEORANG peserta melakukan high five bersama gurunya selepas berjaya melengkapkan rutin simulasi haji pada program Little Haj baru-baru ini. – AFP


“Sebelum ini kebanyakan kanak-kanak menghantar ahli keluarga berangkat ke Tanah Suci tanpa memahami tujuan sebenar dan cara mengerjakan haji.

“Disebabkan itu, kami urus setia turut menyediakan kaunter imigresen, tempat wuquf, melontar jamrah serta kawasan bertahalul untuk memberi gambaran jelas kepada peserta,” tuturnya.

Beliau berkata, The Little Haj dijayakan dengan kerjasama 150 operator dan 212 tadika di samping lebih 500 guru yang terlibat sebagai mutawif dan sukarelawan.

Mesra disapa Teacher Fari, beliau menjelaskan, silibus pendidikan tadika LC tidak mempunyai mata pelajaran spesifik untuk kanak-kanak. Dalam hal ini, kesemua subjek digabung jalin dan diintegrasikan dengan ajaran Islam.

“Misalnya, bagi aspek pembelajaran haji ini, murid turut diajar menghasilkan sendiri batu untuk tujuan melontar. Ia melibatkan nilai estetika, seni dan kraf.

“Mereka secara tidak langsung diajar mengenai geografi dengan mengetahui kedudukan Mekah di Arab Saudi, sifat muka bumi, lokasi kaabah, sejarah dan sirah nabi seperti Nabi Ismail serta Nabi Ibrahim.

“Kaedah penyampaian dalam bahasa Inggeris dan Melayu selain pembelajaran dalam bentuk nyanyian turut diselitkan bagi meningkatkan kefahaman murid,” ujarnya menambah program tersebut telah dirangka sejak tiga bulan lalu.

Beliau berkata, pendedahan tarbiah pada usia muda diharap dapat menjadi pendorong dan titik tolak kepada anak-anak untuk mempunyai kesedaran menabung dan menyimpan niat untuk mengerjakan haji.

“Kesemua mereka bakal masuk tahun satu pada masa depan. Pada usia semuda itu mereka sudah faham dan diberi pendedahan mengenai ibadah haji meliputi haji tamatuk, qiran serta ifrad. Mereka juga telah menghafal doa-doa yang diajar.

“Cucu saya sendiri, setiap kali nak berbelanja, dia tak nak kerana mahu simpan duit nak pergi haji. Semangat sebegini yang kita mahukan.

“Ada juga murid-murid yang merayu-rayu meminta dibawa ke Mekah kerana mengatakan sudah tahu cara menunaikan haji,” kongsinya terharu.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 16