HORIZON

Ikan hiasan warnai Port Dickson

Ikan hiasan warnai Port Dickson

PUSAT Ikan Hiasan Port Dickson menjadi tarikan pelancongan baharu di Negeri Sembilan.


SEBAIK tiba di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson (PIH PD), Batu 7, Jalan Pantai, Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, kegembiraan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu.

Perasaan teruja mula menyelubungi Aariz Khazim Khairul Nizam selepas melihat kelibat ikan inggu (clown fish) di ruangan lobi di lokasi berkenaan.

Sebagai peminat filem animasi, Finding Nemo terbitan Pixar Animation Studios, dia sangat mengenai haiwan berkenaan.

Aariz Khazim kemudian dipimpin oleh bapanya masuk ke dalam pusat seluas 0.85 hektar itu. Alangkah gembiranya Aariz Khazim apabila turut melihat spesies ikan blue tang atau nama saintifiknya Paracanthurus hepatus di dalam sebuah akuarium di pusat tersebut.

Itulah sebahagian daripada cerita-cerita menarik daripada para pengunjung yang pernah melawat PIH PD.

Seorang pengunjung, Miswanto Paidi, 50, yang datanga bersama keluarganya turut teruja dengan keistimewaan PIH PD.

“Ini kali pertama saya berkunjung ke sebuah pameran berkaitan ikan hiasan. Pada pendapat saya, pameran ini sangat menarik kerana para pengunjung berpeluang untuk menyentuh hidupan marin secara langsung seperti tapak sulaiman dan gamat.

“Jika saya yang dewasa ini pun teruja, saya yakin kanak-kanak pasti lebih gembira tambahan pula, masuk ke sini adalah percuma,” katanya yang juga berasal dari Banda Aceh, Indonesia.

Tambah Miswanto, para pengunjung juga dapat merasai suasana yang kondusif sambil bergambar dengan hidupan marin seperti kuda laut, ikan inggu dan batu karang.

Mula dibuka kepada umum pada Januari tahun lalu, PIH PD memberi peluang kepada orang ramai melihat secara lebih dekat spesies-spesies hidupan marin yang mendiami perairan laut dan pantai Port Dickson.

Menurut Ketua Pusat Ikan Hiasan, Nawar A.Karim, pusat berkenaan berfungsi bagi menggalakkan pembangunan industri ikan hiasan terutamanya ikan hiasan marin, kuda laut dan batu karang sebagai satu bidang baharu di Malaysia.

Konservasi penyu

Katanya, antara tarikan lain yang disediakan di pusat ber­kenaan adalah konservasi penyu karah dan agar.

“Pusat ini juga menyediakan kawasan pembiakan penyu agar dan karah yang di­letakkan di luar bangunan dan pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri cara membiakkan dua spesies berkenaan.

“Kajian pemakanan penyu juga dilakukan bermula daripada penetasan sehingga peringkat dewasa sebelum dilepaskan di perairan laut Port Dickson,” katanya.

Antara kemudahan yang terdapat di pusat berkenaan adalah kawasan pembiakan dan asuhan, galeri pameran, makmal, sistem bekalan dan rawatan air serta ruang pembungkusan dan pemunggahan.

“Tidak rugi datang ke PIH PD yang pertama di negara ini. Pengunjung boleh melihat pelbagai spesies ikan hiasan yang berwarna-warni dan kecantikan ukiran seni terumbu karang.

“Lebih istimewa, pengunjung boleh mendekati dan mengenali satu-satunya haiwan jantan yang boleh mengandung dan melahirkan anak iaitu kuda laut,” tuturnya.

Kuda laut


PENGUNJUNG teruja melihat kecantikan ikan hiasan di Pusat Ikan Hiasan, Port Dickson baru-baru ini.


Jelasnya lagi, umum mengetahui Port Dickson adalah destinasi pelancongan untuk aktiviti bermandi-manda sahaja, tetapi tidak ramai tahu bahawa di sebalik kebiruan air lautnya terdapat hidupan ikan hiasan marin yang berwarna-warni dan sangat cantik.

“Dari aspek hidupan ikan hiasan marin, perairan Port Dickson boleh dikatakan satu-satunya destinasi yang membolehkan pengunjung melihat terumbu karang dan ikan hiasan marin terus dari pantai dan suasananya hampir sama dengan pemandangan jika melakukan aktiviti bersnorkel di kawasan pulau.

“Justeru, melihat kepada keistimewaan ini dan bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan ikan hiasan marin, Jabatan Perikanan Malaysia mengambil inisiatif mewujudkan PIH PD dan sehingga kini, telah menempatkan lebih 40 spesies ikan hiasan marin antaranya volitans lionfish, nurse shark dan blue tang,” ujarnya.

Menyentuh mengenai ternakan spesies kuda laut, Nawar memberitahu, jabatan berhasrat mengembangkan teknologi pembiakan kuda laut jika kajian tersebut berjaya sepenuhnya.

“Sehingga kini, kami berjaya membiakkan sebanyak 40 ekor kuda laut bagi generasi kedua.

“Kami menggunakan induk kuda laut dari Sabah berikutan sukar untuk memperolehnya di sekitar perairan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Ujarnya, sekiranya teknologi pembiakan yang diusahakan di pusat tersebut berjaya, bilangan spesies haiwan itu yang dikaji akan ditambah.

Idea membiakkan kuda laut tersebut telah diilhamkan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan serta disokong sepenuhnya Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan, Dr. Marzuki Hashim bagi mengatasi permasalahan kekurangan populasi spesies tersebut di perairan negara.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Wati Efandy, 53, memberitahu, semua ikan hiasan dan batu karang dipamerkan di dalam pelbagai saiz akuarium menggambarkan seperti suasana sebenar di dalam laut.

Wati menambah, selain bantuan pencahayaan daripada lampu hiasan, akuarium yang menempatkan ikan hiasan itu turut dilengkapi hiasan kreatif seperti habitat asal hidupan berkenaan di dalam laut.

“Suasana itu menjadikan setiap ikan dapat berenang dengan bebas dan mampu mengasyikkan pengunjung yang melihatnya termasuk diri saya.

“Selain itu, kakitangan PIH PD juga memberikan layanan yang mesra serta menawarkan khidmat nasihat mengenai penjagaan akuarium,” katanya.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 31