STAILO

Misi tonjol fesyen Muslimah sebenar di New York

Misi tonjol fesyen Muslimah sebenar di New York

IDEA serta konsep rekaan merupakan idea Eja dan suaminya.


SEBATANG pensel yang digenggam wanita berkulit putih mulus itu lincah menari-nari di atas sekeping kertas putih sehingga terbit satu lukisan berbentuk figura gadis tinggi lampai.

Wanita berusia 33 tahun, Shah Rizul Irza Zulkiply atau lebih mesra disapa Eja berasa sedikit lega kerana lakaran di atas kertas bersaiz A4 itu merupakan rekaan ke-12 iaitu yang terakhir sepatutnya disiapkan.

Dalam keasyikan menyudahkan kerja-kerja membuat rekaan busana itu, fikiran pemilik butik pakaian Muslimah dengan label Eja Shahril tersebut juga tidak lekang membayangkan bagaimana ilham itu akan direalisasikan kelak sebagai sepasang baju.

Ketika memerah idea bagi menyertai Couture New York Fashion Week di Amerika Syarikat pada 8 hingga 10 September ini, fikiran Eja juga bercampur baur memikirkan sama ada rekaan itu akan diterima atau sebaliknya.

Ini kerana penyertaan itu merupakan satu petanda aras tentang kejayaan yang tidak pernah terbayang olehnya sebelum ini.

Dia tidak pernah terbayang label pakaian dari Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang itu akan dibawa ke pentas fesyen di negara Uncle Sam tersebut.

“Dalam hati saya ketika ini ada dua perasaan yang bercampur baur antara rasa teruja dan takut.

Konsep rekaan


Sebanyak 12 rekaan akan dipertandingkan pada pentas Couture New York Fashion Week.


“Teruja kerana ia satu peluang yang besar dan tidak pernah terfikir sebelum ini bagi membawa rekaan saya ini ke New York.

“Perasaan takut pula apabila membayangkan tentang persediaan yang perlu dilakukan selain memikirkan persepsi mereka di sana terhadap konsep rekaan saya yang menutup aurat,” kata Eja, kepada Kosmo! ketika ditemui di butiknya di Bertam Perdana, Kepala Batas baru-baru ini.

Kepala Batas merupakan satu daerah sedang membangun di utara Seberang Perai yang kaya dengan pemandangan sawah padi yang menghijau.

Lokasi itu menjadi tempat kelahiran butik tersebut pada tahun 2012 dan nama label itu diperoleh daripada gabungan nama timangan Eja dan suaminya, Muhammad Shahril Ismail, 35.

Menurut Eja lagi, biarpun menganggap penyertaan itu sebagai peluang yang tidak harus diabaikan, dia tidak akan sesekali menggadaikan prinsip yang dipegang selama ini iaitu pakaian wanita yang menutup aurat.

Justeru, dia perlu memiliki strategi sendiri agar rekaan yang dibawa itu kelak tidak didiskriminasi sementelah pertunjukan tersebut diadakan di negara yang terkenal dengan segelintir masyarakatnya yang anti-Islam.

“Biar di mana sekalipun, saya akan terus berpegang kepada etika pemakaian yang telah ditetapkan dalam Islam seperti dilabuhkan, longgar dan diseimbangkan dengan trend.

Imej Islam


EJA akan memastikan setiap busananya dipadankan dengan tudung labuh.


“Bagaimanapun, ketika di sana nanti, saya tidak akan terlalu membawa imej Islam dan lebih berhati-hati agar tidak timbul isu rasis kerana kita sedar dengan persepsi masyarakat tempatan yang masih ramai berfikiran Islamophobia.

“Jadi, konsep pakaian itu nanti akan dilihat sebagai pakaian menutup aurat yang boleh diterima oleh semua orang berbanding melabelnya sebagai pakaian Islam.

“Secara tidak langsung juga, jika kita membawa imej yang baik, pasti mereka boleh menerima cara berpakaian yang dituntut dalam Islam. Ini kerana tiada masalah ia dipakai oleh golongan bukan Islam,” katanya yang memperoleh peluang itu selepas disapa wakil penganjur baru-baru ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu menambah, dia tidak sewenang-wenangnya melabelkan sendiri rekaan itu sebagai busana Muslimah, sebelum mendapatkan pandangan daripada pakar agama terlebih dahulu.

“Sebelum ini, kita ada dengar komen-komen masyarakat yang mendakwa terdapat segelintir pereka yang melabelkan busana mereka sebagai pakaian Muslimah tetapi ia tidak selari dengan tuntutan agama kerana terlalu ketat dan tidak labuh.

“Justeru, ia menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang pereka fesyen Islam bagi menonjolkan ciri-ciri pakaian seorang wanita Muslim yang sebenar dengan mendapatkan pandangan ustaz dan ustazah terlebih dahulu.

“Untuk berdakwah di pentas ceramah atau sebagainya, saya mungkin tiada kekuatan itu. Jadi, saya memilih medium fesyen sebagai cara untuk berdakwah,” katanya yang merancang membuka butik kedua di Jakarta, Indonesia tidak lama lagi.

Bercerita mengenai persediaan untuk terbang ke New York pada bulan hadapan, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, dia akan menyediakan 12 rekaan termasuk pakaian yang dipadankan dengan tudung labuh.

“Buat masa ini, peringkat lakaran dan pemilihan material sudah siap. Jadi, selepas ini adalah proses bagi menyiapkan kesemua rekaan musim panas yang terdiri daripada pakaian kasual, formal dan busana perkahwinan itu.

“Sebahagian busana itu akan diberi suntikan elemen pakaian wanita legenda negara iaitu Tun Teja bagi menonjolkan budaya klasik Malaysia.

“Bagaimanapun, saya masih berfikir dan melihat kesesuaian terlebih dahulu sama ada akan memadankannya dengan tudung labuh atau tidak,” katanya yang pernah menyertai Saverah Fashion Show London pada tahun 2015.

Eja berkata, dia begitu bertuah apabila usahanya itu mendapat sokongan banyak pihak termasuk ditaja sebuah syarikat pelancongan, Kembara Kita Holidays Sdn. Bhd., bagi membawa kru ke New York.

“Seramai 21 orang kru akan ke sana nanti.

“Kami akan singgah di Iceland terlebih dahulu pada 31 Ogos ini bagi melakukan sesi fotografi busana-busana berkenaan,” katanya.

Selain Eja Shahril, tiga lagi wakil pereka fesyen dari negara ini turut serta dalam pertunjukan tersebut iaitu Bianco Mimosa, Dache dan Sarah J.

Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 16