RUANG

Teres dua tingkat berkonsepkan minimalis Scandinavia

Teres dua tingkat berkonsepkan minimalis Scandinavia

PENGGUNAAN sofa kuning menonjolkan imej ceria kepada ruang menonton televisyen.


HOBI menghias dan berkongsi hasil dekorasi kediaman di laman sosial memberi peluang buat kru Jurnal untuk mengintai kediaman milik pasangan suami isteri Khairul Anam Mohd. Huri, 30, dan Lina Izzati Abd. Rahim, 28, yang terletak di Sungai Jawi, Pulau Pinang.

Biarpun rumah teres dua tingkat yang berkeluasan 222 meter persegi itu baru sahaja didiami sekitar tiga bulan lalu, namun dekorasi dan susun atur keseluruhan ruang kelihatan sangat eksklusif, tidak seperti kediaman kebanyakan individu yang baru berpindah.

Melihatkan keseluruhan sentuhan dekorasi yang dilakukan sendiri oleh Lina, ternyata pasangan itu berjaya meletakkan cita rasa mereka pada kelas tersendiri.

Malah, konsep minimalis Scandinavia yang dipilih oleh pasangan suami isteri itu dilihat bersesuaian dengan usia muda mereka.

“Sebenarnya sudah lama kami ingin menghias rumah kediaman dengan konsep ini.

“Memandangkan pada waktu itu kami masih lagi duduk menyewa, hasrat tersebut terpaksa disimpan terlebih dahulu.

“Disebabkan itu, sebaik sahaja rumah yang dibeli ini siap untuk dihuni, kami suami isteri bersepakat untuk menghias kediaman ini mengikut cita rasa kami,” jelasnya memulakan bicara.

Tambah pemilik perniagaan barangan dekorasi dalam talian, Kayu Deco itu lagi, mereka se­ngaja memilih minimalis Scandinavia untuk digarap pada keseluruhan rumah teres empat bilik tidur itu kerana ia mampu menjadikan ruang tampak kemas dan luas.


RONA kelabu dipilih untuk menghiasi sudut makan.


Rona pastel

Malah, konsep tersebut juga dilihat sentiasa relevan untuk dipraktikkan dan tidak lapuk ditelan zaman.

“Jika kita lihat, Scandinavia selalunya menggunakan rona-rona pastel yang mana warna tersebut dapat menerapkan ele­men tenang dan selesa kepada pemilik.

“Ia juga merupakan warna-warna selamat dan memudahkan proses menghias seperti suai dan padan, selain proses pengubahsuaian pe­rabot dijalankan,” jelasnya.

Melihatkan susun atur ruang yang ringkas dan mempunyai nilai eksklusiviti tersendiri, Lina mengakui, dia tidak me­ngupah mana-mana pakar hia­san dalaman.

Sebaliknya, dia dan suami lebih selesa melakukan kerja-kerja menghias dengan merujuk bahan bacaan di internet.

Lebih menarik apabila pasangan suami isteri itu sentiasa berbincang bagi mendapatkan idea dekorasi yang diinginkan.

Bagi Lina dan suami, kediaman merupakan nadi kehidupan seseorang.

Justeru itu, mereka tidak kisah berhabis wang ringgit demi memastikan ruang yang didiami selesa.

Menurut Lina lagi, kos dekorasi keseluruhan kediaman tersebut menelan belanja lebih RM22,000.

“Kekemasan dan dekorasi di sesebuah rumah adalah penting kerana ia mampu memberikan ketenangan jiwa kepada seseorang.

“Ia juga mampu menghilangkan tekanan sebaik pulang selepas penat bekerja. Di­sebabkan itu, saya dan suami sanggup melakukan apa sahaja dalam memastikan kediaman kami sentiasa berada dalam keadaan yang cantik dan selesa.

“Sebagai contoh, saya pernah menghantar sofa ke sebuah kedai untuk dicuci bagi memastikan ia bersih,” jelasnya.


KATIL kayu rangka khemah menjadi penyeri bilik tidur anaknya.


Pokok segar

Walaupun keseluruhan ruang bermain dengan rona pastel, namun pasangan suami isteri itu bijak bermain dengan tambahan warna pada aksesori yang dipilih bagi mengelakkan ruang kelihatan terlalu mendatar.

Selain menggunakan gantungan bingkai gambar dan karpet bercorak warna-warna kontras, Lina dan suami turut meletakkan sofa satu tempat duduk rona kuning di bahagian ruang menonton televisyen bagi menyuntik aura ceria.

Bagi membangkitkan lagi ilusi artistik pada kediaman tersebut, Lina dan suami menggunakan gantungan lampu pelbagai bentuk di setiap sudut teres dua tingkat.

Bukan itu sahaja, mereka juga menggunakan pokok-pokok segar, selain bunga-bu­nga rona ungu untuk diletakkan di beberapa sudut kediaman bagi mewujudkan suasana segar.

Penggunaan langsir juga dihadkan bagi memberi ruang kepada sinaran cahaya matahari menembusi rumah tersebut secara semula jadi.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata itu lagi, hampir 70 peratus daripada barangan yang terletak indah di dalam rumahnya dibeli secara online dari China.

Ini kerana barangan yang dijual bukan sahaja menggunakan harga yang berpatutan dan mempunyai kualiti yang baik, tetapi bersesuaian dengan cita rasa mereka.

Biarpun begitu, Lina juga mengakui sebahagian perabot di dalam rumahnya dibeli di Ikea menggunakan khidmat personal shopper.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 32