HORIZON

Ribuan ‘pejuang’ tawan Genting Highlands

Ribuan ‘pejuang’ tawan Genting Highlands


Aksi peserta ketika memulakan Viper Challenge Great Eastern Genting King of the Mountain 2017 di The Ranch, Gohtong Jaya, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.


sebaik melepasi kawasan padang golf yang menghijau, bunyi jeritan beberapa orang wanita pasti menarik perhatian ramai.

Wanita-wanita berkenaan menjerit apabila anggota badan mereka terkena renjatan elektrik ketika melalui satu halangan berupa birai-birai wayar yang tergantung.

Ia dikenali sebagai Shock Therapy dan merupakan salah satu daripada 16 halangan yang ditempuh para peserta Viper Challenge Great Eastern Genting King of the Mountain 2017 yang berlangsung di The Ranch, Gohtong Jaya, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.

“Saya rasa sakit sedikit sahaja, tetapi ketika hendak melalui halangan ini saya memang rasa cuak apabila melihat ada peserta yang menjerit-jerit. Apapun memang seronok menempuh cabaran Shock Therapy ini. Pada tahun ini, saya paling suka halangan Rotating Cubes. Saya melepasi halangan ini dengan saling membantu antara peserta lain,” kata Susan Yap, 20.

Pelajar Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur itu datang bersama enam rakannya. Ia merupakan kali kedua mereka menyertai aktiviti berkenaan dan menyifatkan acara pada tahun ini amat menyeronokkan berikutan banyak cabaran baharu diperkenalkan.

Cabaran Great Eastern Genting King of the Mountain yang dianjurkan oleh syarikat Original Bootcamp Sdn. Bhd. itu meliputi laluan sejauh 10 kilometer dan disertai kira-kira 5,000 peserta. Salah satu cabaran baharu yang diperkenalkan ialah Wheel of Fortune manakala halangan paling digemari tahun lalu iaitu Rotating Cube.

Selepas berpenat lelah mengharungi cabaran, para peserta boleh berkunjung ke tapak karnival yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman. Suasana dingin tanah tinggi Genting Highlands turut dihangatkan dengan iringan muzik.

Cabaran bermula seawal pukul 6.30 pagi, apabila kesemua peserta dilepaskan dalam satu kumpulan secara berperingkat bagi menghadapi halangan sukar termasuk bentuk muka bumi yang mencabar.

Igauan ngeri


Ramai peserta tersepit ketika cuba melepasi halangan Rubber Burn ini.


Halangan lain termasuk Island Hopping, Fence Climbing, Medball Hill Carry, Mini Walls, Tread Water, Hands on Fire, Rubber Burn, Incline Walls, Ladder Climb, Stuck in the Mud, The Peak, Up the Pipes dan Diamond Cube.

Wheel of Fortune merupakan cabaran yang paling banyak memberi igauan ngeri kepada para peserta. Ia merupakan struktur setinggi lima meter, dibina untuk menguji kekuatan pada bahagian atas badan dan peserta terpaksa bergayut dari gelung ke gelung untuk melepasinya. Jika gagal, kolam air sedalam dua meter di bawahnya sedia menanti mereka.

Ia diakui seorang lagi peserta, Chen Hoon Kit, 20, yang gagal melepasi halangan Wheel of Fortune. Akibatnya dia terjunan ke dalam air yang keruh.

“Walaupun, saya gagal melepasi beberapa halangan, cabaran pada tahun ini amat menyeronokkan. Suhu sejuk pada tahun ini juga menyebabkan saya tidak begitu penat menyudahkan cabaran.

“Ini merupakan kali kedua saya menyertai aktiviti ini. Sebelum menyertainya, saya melakukan persiapan awal seperti melakukan larian dan beberapa senaman lain bagi menguatkan anggota badan,” katanya yang berasal dari Ampang.

Sementara itu, Norazlan Robani, 33, menyifatkan cabaran pada tahun ini tidak terlalu mencabar berbanding tahun lalu, namun ia sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam sukan lasak.

Menurutnya, dari segi laluan, pada peringkat permulaan agak mencabar kerana para peserta perlu melalui kawasan mendaki, sebaliknya lebih santai ketika menuju ke penamat berikutan melalui kawasan menurun.

“Cabaran pada tahun ini kurang ‘keras’ dan halangan juga banyak disediakan di kawasan penamat. Halangan paling mencabar ialah Wheel of Fortune, namun saya berjaya melepasinya. Secara keseluruhannya, saya menganggap cabaran pada tahun ini tetap menyeronokkan tambahan pula cuaca agak sejuk berikutan hujan di sebelah pagi,” katanya yang merupakan anggota penguat kuasa.

Process time in ms: 47