KESIHATAN

Desmoplastic melanoma gelaja kanser kulit

Desmoplastic melanoma gelaja kanser kulit

BAHAGIAN dahi Greenway meninggalkan kesan parut selepas dia menjalani pembedahan dan rawatan imunoterapi sehingga enam minggu.


SEKITAR tahun 2014, seorang wanita yang juga ibu kepada dua orang cahaya mata terpaksa menerima kenyataan apabila disahkan menghidap sejenis penyakit ganjil yang jarang dihidapi.

Saat hitam itu terpaksa ditelan oleh Bethany Greenway, 39, untuk melawan penyakit yang dialami demi kedua-dua orang anaknya.

Menurut doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atas Greenway, pe­nyakit yang dialami oleh wanita itu berpunca daripada perubahan hormon yang berlaku semasa dia hamil.

Kesan parut

Pemeriksaan dan kajian yang dilakukan oleh doktor kemudiannya mengesahkan Greenway menghidap penyakit yang dikenali sebagai desmoplastic melanoma yang merupakan salah satu gejala kanser kulit.

Mengimbas kembali kali pertama masalah itu dikesan, wanita yang ber­asal dari Austin, Texas di Amerika Syarikat itu memberitahu, dia mendapati terdapat kesan hitam seperti tahi lalat pada bahagian dahinya semasa mengandung anak kedua pada 2014.

“Saya kemudian berjumpa dengan pakar dermatologi untuk mengetahui punca kesan hitam pada dahi saya dan telah dimaklumkan bahawa ia tidak berbahaya,” ujar Greenway.

Selepas 18 bulan, Greenway mula berasa sakit pada bahagian bertanda yang terdapat pada dahinya sementelah ia menjadi semakin besar.

Kerana tidak tahan dengan kesakitan yang ditanggung, Greenway telah berjumpa dengan doktor untuk menjalani pemeriksaan dan akhirnya dia telah menjalani pembedahan untuk membuang tahi lalat pada bahagian dahinya.

Selepas tahi lalat itu dibuang, bahagian dahi wanita itu telah meninggalkan kesan parut yang besar dan keli­hatan hodoh.

Greenway yang merupakan bekas jurugambar itu menganggap, pen­deritaan yang dialaminya itu merupakan salah satu bentuk perjuangan untuk melihat kedua-dua anak perempuannya membesar di depan mata.

Bagi menutup bahagian berparut yang ada pada dahinya, Greenway akan mengenakan solekan tebal dan melukis kening pada bahagia kiri kesan daripada pembedahan yang dilakukan.

Dakwa wanita itu, dia tidak terkejut dengan kesan yang dilaluinya kerana ibunya turut menghidap penyakit yang sama ketika berusia 39 tahun.

“Saya tinggal di Texas di mana anda perlu sentiasa memakai losyen pelin­dung matahari setiap hari kerana ia boleh mengakibatkan kanser kulit,” jelas Greenway.

Dakwa wanita itu, penyakit yang dialaminya merupakan masalah paling jarang berlaku terutama bagi wanita pada usia muda.


TOMPOK kecil yang tumbuh di dahinya menjadi semakin besar dan merebak sebelum Greenway disahkan menghidap gejala kanser kulit.


Imunoterapi

Ketika masalah itu terjadi, Greenway menganggap ia mungkin perkara normal akibat perubahan hormon apabila mengandungkan anak keduanya.

Selepas selamat melahirkan anak keduanya, kesan pada dahi wanita itu menjadi semakin besar dan mula mengalami rasa sakit sebelum disahkan menghidap desmoplastic melanoma tahap tiga.

Greenway mula menjalani rawatan imunoterapi pada Oktober 2016 dan melalui 30 kali sesi radiasi selama enam minggu sehingga Mac lalu.

“Sesi radiasi itu merupakan rawatan paling sukar yang perlu dihadapi sehingga dia kehilangan suara dan mulutnya dipenuhi ulser,” jelasnya.

Semasa menjalani sesi imunoterapi, Greenway kehilangan deria rasa, suaranya menjadi garau, manakala rambutnya mulai gugur selepas tiga ming­gu menjalani rawatan.

Dalam pada itu, Greenway meng­ingatkan orang ramai supaya sentiasa memakai losen pelindung cahaya matahari kerana ia merupakan salah satu punca kepada masalah kanser kulit.

Process time in ms: 31