PESONA

Domino’s Pizza penuhi hasrat hafiz cilik makan piza

Domino’s Pizza penuhi hasrat hafiz cilik makan piza


MTDF membudayakan ukhuwah yang erat dalam kalangan pelajar tahfiznya seperti amalan berkongsi makanan.


ANAK-ANAK tahfiz merupakan khalifah cilik yang perlu dibentuk dan digubah agar mampu menjadi pembimbing ummah pada masa hadapan.

Bagi menajamkan minda untuk memudahkan hafalan dan penyerapan ilmu bermanfaat, aspek pemakanan perlu dititikberatkan agar anak-anak ini mendapat sumber tenaga secukupnya.

Dalam usaha menyumbang kembali kepada masyarakat atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap rangkaian restoran piza terkenal di Malaysia, Domino’s Pizza menggalas tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengagihkan piza kepada sejumlah 150 orang anak-anak yatim dan tahfiz termasuk kakitangan akademik dan staf sokongan di Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha (MTDF), Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor.

Penolong ketua pelajarnya, Muhd. Firas Mohd. Rahani, 16, berkata, dia berasa sangat gembira kerana hajatnya untuk menjamah piza sejak beberapa bulan lalu akhirnya terlaksana.

“Kali terakhir saya berpeluang makan piza adalah pada penghujung tahun lepas. Sejak itu, beberapa kali saya menanam hasrat untuk mengajak keluarga ke restoran piza namun tidak kesampaian.

“Syukur kali ini Allah mendengar doa saya,” ujarnya nyata teruja ketika ditemui Kosmo! sewaktu kunjungan wakil Domino’s Pizza ke maahad tersebut baru-baru ini.

Selain itu, ketua pelajar, Khairun Nazmi Zaradi, 17, berkata, selalunya sumbangan makanan daripada badan korporat dan individu dibuat pada waktu siang dan kebanyakannya berupa nasi campur.

Justeru, sumbangan berupa 40 keping piza bersaiz besar berserta 25 kotak hidangan sampingan Fabulous Four pada waktu kelas persediaan malam ternyata mengujakan kesemua 110 pelajar asrama lelaki itu.

Sebanyak 40 kotak piza tersebut merangkumi enam jenis piza iaitu Aloha Chicken, Beef Pepperoni, Tuna Temptation, Classified Chicken, Chicken Confidential dan Spicy Sambal manakala set Fabulous Four merupakan gabungan enak ayam drummet, popcorn ayam, roti bawang putih dan roti keju.

“Selalunya tempahan dalam kuantiti banyak sebegini akan disediakan sendiri oleh pengurus cawangan kerana staf lain perlu memenuhi permintaan pelanggan di restoran.

“Kali ini saya turut dibantu oleh Pengurus Cawangan Sungai Chua, Kajang, Nur Hidayah Abdullah agar kesemua tempahan dapat disiapkan pada masanya dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan,” ujar wakil Domino’s Pizza yang juga merupakan Pengurus Cawangan Kajang, Nurfaizah Abdul Rani, 28.

Berkongsi nikmat


Kesemua 110 orang pelajar tahfiz dan anak yatim MTDF seronok menerima sumbangan piza daripada pihak Domino’s Pizza.


Menurut penyelaras MTDF, Mohd. Khairul Azlan Aman Razali, 33, maahad tahfiz yang mula beroperasi sejak tahun 2004 itu sering menerima kunjungan pelbagai pihak untuk tujuan program CSR melibatkan beberapa komponen antaranya pembaikpulihan dan pemantapan rohani.

“Kami menerima seadanya dengan tangan terbuka sebarang bentuk sumbangan atau bantuan daripada badan korporat atau individu perseorangan,” jelasnya yang mula bertugas di MTDF sejak tahun 2006.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Operasi Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Abdul Rahman, sumbangan daripada pihaknya itu merupakan salah satu cara Domino’s Pizza berkongsi nikmat dengan rakyat Malaysia terutama kanak-kanak yang memerlukan.

“Selari dengan kepesatan Domino’s Pizza sebagai salah satu syarikat piza yang giat berkembang di Malaysia, kami memikul tanggungjawab dan komitmen yang mendalam bagi memperkayakan kehidupan mereka di sekeliling melalui inisiatif-inisiatif kemasyarakatan serta menyumbang kepada mereka yang memerlukan.

“Sumbangan ini juga cukup bermakna bagi kami sempena sambutan ulang tahun ke-20 Domino’s Pizza di Malaysia. Kami berharap dapat meneruskan usaha murni ini sambil meraikan mereka yang telah banyak menyokong pembangunan Domino’s Pizza selama ini,” ujarnya.

Program CSR Domino’s Pizza merupakan projek kolaborasi bersama 20 agensi media arus perdana tempatan. Sumbangan berupa piza akan diberikan kepada 20 buah rumah kebajikan terpilih di sekitar Lembah Klang dan tiga buah negeri di Pantai Timur. Setiap satunya mewakili satu organisasi media.

Process time in ms: 62