HORIZON

Kepulauan Mergui cukup memukau

Kepulauan Mergui cukup memukau


Komuniti Moken merupakan penghuni di Kepulauan Mergui.


DALAM dunia ini terdapat beberapa lokasi yang boleh dianggap terasing daripada arus pemodenan. Salah satunya ialah Mergui Archipelago atau Kepulauan Mergui, Myanmar.

Fakta tersebut dijelaskan secara terperinci oleh Thomas Bruning iaitu salah seorang kapten kapal layar yang beroperasi di kepulauan tersebut.

Sejak meninggalkan pekerjaan asalnya sebagai jurutera, lelaki berasal dari Austria itu telah belayar ke seluruh dunia selama lebih dua dekad.

Selepas belayar sejauh kira-kira 500,000 batu nautika, dia berjaya menemui sebuah tempat yang mempunyai pemandangan cukup memukau.

“Mergui telah menyedarkan saya. Walaupun dunia ini berubah dengan cepat, namun masih ada tempat yang masih terpelihara dan tidak tercemar.

“Belayar di sekitar Mergui membuatkan anda terasa seperti menemui sesuatu yang telah hilang. Saya menggelarkannya sebagai salah satu syurga terakhir bumi,” katanya.

Malangnya, kepulauan yang terletak di Laut Andaman itu tidak mempunyai sebarang infrastruktur pelancongan termasuk pengangkutan asas.

Kepulauan yang terdiri daripada 800 buah pulau itu hanya boleh diakses dengan menggunakan bot, terutamanya kapal layar.

Situasi ini sedikit sebanyak menyukarkan orang ramai berkunjung ke situ. Hanya beberapa tahun lalu, beberapa buah kapal layar telah memulakan pelayaran ke sekitar Mergui.

Pelayaran eksklusif


Pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan kapal layar dari Indonesia dan Thailand untuk menjelajah Kepulauan Mergui.


Memandangkan kerajaan Myanmar sudah mengamalkan dasar permit terbuka, lebih banyak kapal telah belayar ke situ. Kebanyakannya menawarkan pelayaran eksklusif dari Indonesia dan Thailand.

Pengarah Indo Yachts iaitu sebuah syarikat pelayaran dari Indonesia, Nikko Karki memberitahu, kebanyakan pelawat Mergui terdiri daripada para pencinta alam semula jadi.

“Pengembara yang betul-betul menikmati keindahan Mergui terdiri daripada mereka yang pertama kali berkunjung ke rantau ini.

“Kepulauan ini berbeza sama sekali dengan tempat-tempat lain. Sekiranya anda mencari dalam enjin carian Google sekalipun, ia tidak akan muncul. Tiada siapa yang menulis atau berkongsi imej Mergui,” katanya.

Kepada penggemar aktiviti menyelam, Mergui adalah salah satu tempat yang sangat ideal. Anda berpeluang merasai pengalaman menyelam ke dasar laut tanpa diganggu oleh bot lain.

Sekiranya bernasib baik, pelawat berpeluang bertemu dengan Moken iaitu komuniti laut separa nomad yang mendiami kepulauan itu sejak beratus-ratus tahun lalu.

Menjelajahi kawasan terpencil dengan menggunakan perahu layar merupakan gandingan terbaik buat seorang pengembara. Mereka juga boleh mengunjungi kawasan sekitar perkampungan Moken.

Salah satu perkhidmatan kapal layar terbaik di situ ialah Dunia Baru. Ia merupakan sebuah kapal layar mewah yang menawarkan pelayaran ke Mergui dari Indonesia.

“Kapal layar adalah cara ideal untuk menjelajah pulau-pulau di sini. Ini kerana kapal layar tidak meninggalkan kesan pencemaran, sekali gus dapat memelihara landskap di situ,” ujar Pengarah kapal layar Dunia Baru, Sebastien Gallardo.

Tambahnya, kapal layar Dunia Baru dibina berkonsepkan kesenian Indonesia dengan dilengkapi teknologi moden.

“Dunia Baru tidak ubah seperti sebuah vila terapung. Ia luas dan mempunyai susun atur seperti hotel bertaraf lima bintang,” katanya.

Perkhidmatan kapal layar Dunia Baru akan membawa pelawat ke tepi pantai dan lagun tersembunyi di Mergui. Pelawat juga akan dibawa bersiar-siar dengan kapal layar mengelilingi pulau-pulau.

Biasanya, pelayaran mengambil masa selama tujuh hingga 10 hari. Sebuah kapal layar Dunia Baru dapat menampung sehingga 14 orang penumpang dalam satu-satu masa.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 16