HORIZON

Paris kota seindah khabar

Paris kota seindah khabar


MENARA Eifel merupakan monumen ikon bagi Paris.


KOTA seindah khabar. Itulah ungkapan terbaik bagi menggambarkan keagungan Paris, sebuah kota kosmopolitan yang terkenal dengan Menara Eifel yang menjadi ikon pelancongan dunia.

Paris juga dikenali sebagai kota fesyen dan kota perniagaan selain acap kali digambarkan sebagai ‘kota cinta’ yang paling romantik di dunia.

Namun jika disingkap sejarahnya, Paris yang ada pada hari ini tidak bangkit dengan mudah kerana kota itu juga pernah menyaksikan pelbagai kemusnahan.

Semasa Revolusi Perancis, banyak pertumpahan darah telah berlaku di kota itu, selain ia juga pernah ditawan tentera Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Malah, ketika era moden ini, Paris sekali lagi dikejutkan serangan pengganas yang menyebabkan terbunuhnya 130 orang awam pada 13 November 2015. Beberapa siri letupan dan tembakan rambang juga pernah berlaku di sekitar kota yang terbesar di Perancis itu.

Begitupun, tragedi berdarah tersebut tidak banyak menggugat status Paris yang saban tahun mengungguli carta pelancongan dunia dengan menerima kedatangan pelancong paling ramai.

Seperti Kuala Lumpur, Paris pada awalnya mendapat nama daripada keadaan tebing sungainya yang berlumpur dan pada asalnya dinamakan sebagai Lutetia Parisiorum.

Lutetia adalah perkataan Latin yang membawa maksud lumpur manakala Parisiorum adalah gelaran kepada penduduk awal kota Paris yang terdiri daripada suku Celtic. Kemudian, nama kota itu disingkatkan menjadi Paris seperti yang dikenali pada hari ini.


Penulis bersama isteri dan anak berpeluang melawat ibu kota Paris.


Penulis merasa bertuah kerana dapat menjadi tetamu di bumi Paris bersama anak dan isteri selama seminggu baru-baru ini.

Sebaik berada di sana, tempat pertama yang kami lawati ialah tugu Le Triomphe de la République yang terletak di bulatan Place de La Nation.

Ia sebuah tugu gangsa yang menggambarkan watak seperti seorang srikandi yang bertindak memimpin sebuah kumpulan dengan menaiki kereta kuda yang ditarik oleh dua ekor singa.

Monumen itu telah dibina bagi memperingati Revolusi Perancis yang mana Place de La Nation cukup terkenal sebagai lokasi berlakunya aktiviti memancung kepala musuh ketika revolusi itu berlaku.

Kami bernasib baik kerana kebanyakan tempat menarik di Paris mempunyai akses kepada sistem kereta api metro.

Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk berkunjung ke satu lagi monumen terkenal di Perancis iaitu Arc de Triomphe yang terletak berhampiran stesen kereta api metro bawah tanah Charles de Gaulle Etoile.

Monumen itu dibina sebagai tanda penghormatan kepada tentera Perancis yang terkorban di medan Perang Dunia Pertama dengan nama-nama mereka terukir di dinding monumen tersebut.

Kami turut tidak melepaskan peluang untuk menaiki bumbung monumen tersebut bagi menikmati pemandangan kota Paris secara 360 darjah.

Restoran halal


CHAMP Ellysee terkenal dengan aktiviti membeli-belah di Paris.


Dari situ, jelas kelihatan Menara Eifel, kesibukan Champ Ellysee iaitu sebatang jalan yang terkenal dengan aktiviti membeli-belah dan menempatkan butik terkemuka selain Montmatre iaitu puncak tertinggi di Paris yang menempatkan sebuah gereja berkubah putih yang dikenali sebagai Sacre Coeur.

Selepas puas melawat Arc de Triomphe, kami singgah di sebuah restoran halal yang dimiliki oleh orang Arab Lebanon untuk mengalas perut sebelum menuju ke Menara Eifel yang terletak tidak jauh dari situ.

Tidak dinafikan, Menara Eifel umpama magnet yang mampu menarik pelancong dari seantero dunia untuk menjejakkan kaki ke Paris.

Sebaik tiba di pekarangan kawasan menara, kami memilih beberapa sudut menarik untuk merakam fotografi kenang-kenangan sebelum pulang ke penginapan kami bila hari menjelang malam.

Saya begitu kagum apabila mendapat tahu bahawa terdapat banyak masjid yang boleh dikunjungi untuk beribadat dan menunaikan solat di sekitar kota Paris.

Masjid yang paling bersejarah ialah Masjid Besar Paris. Ketika Perang Dunia Kedua, atas dasar kemanusiaan, pihak pengurusan masjid tersebut telah memberi perlindungan kepada orang-orang Yahudi daripada ditangkap dan dibunuh oleh tentera Nazi Jerman.


SACRE Coeur dibina mengikut seni bina Roman-Byzantine.


Semasa berkunjung ke masjid itu, penulis mendapati ia dikawal oleh seorang tentera yang lengkap bersenjata, mungkin atas faktor keselamatan.

Pada keesokan harinya, penulis berkunjung pula ke Sacre Coeur. Ia telah direka oleh Paul Abadie. Pembinaan bermula pada 1875 dan selesai pada tahun 1914.

Seni binanya mengikut gaya Roman-Byzantine dan mempunyai beberapa kubah dengan keseluruhan bangunan dicat dengan warna putih. Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan kota Paris dari atas puncak bukit itu menggunakan teropong yang disediakan.

Kami turut berpeluang berkunjung ke Place de La Bastille iaitu sebuah tapak penjara yang musnah ketika Revolusi Perancis. Namun, kawasan itu kini hanya terdapat sebuah tugu bagi memperingatinya.

Penulis kemudiannya mengunjungi pekarangan pasar raya BHV Marais yang menempatkan beberapa gerai menjual cenderamata dengan harga murah.

Pasar raya BHV Marais terletak berhampiran Hotel de La Ville yang merupakan pusat pentadbiran ibu kota Paris. Di situ juga terdapat sebuah dataran yang menjadi tumpuan warga kota Paris, pelancong dan seniman jalanan yang tidak lokek memperagakan bakat mereka di sana.

Selepas itu, kami berjalan kaki menuju ke Notre Dame iaitu sebuah gereja terbesar di Paris yang dibina dengan seni bina berkonsepkan gothik.

Pada hari terakhir di Paris, kami berkunjung pula ke Disneyland Paris yang menempatkan Istana Sleeping Beauty yang menjadi ikon utama di situ.

Anak kecil penulis yang baru berusia dua tahun merupakan orang yang paling gembira apabila dapat bertemu dengan watak-watak animasi seperti Mickey Mouse, Pinochio dan Dufy Dog yang sebelum ini hanya dapat ditonton di kaca televisyen.

Walaupun berada di kota Paris selama hampir seminggu, namun penulis merasa belum cukup puas kerana ada beberapa lokasi menarik yang belum sempat dikunjungi disebabkan oleh kekangan waktu.

Jika ada kesempatan dan kemampuan, penulis ingin kembali ke kota Paris untuk menyambung semula penjelajahan. Au Revoir Paris (Selamat Tinggal Paris).

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 16