INFINITI

Kawal dron guna isyarat tangan

Kawal dron guna isyarat tangan

DJI Spark juga boleh dikawal dengan menggunakan aplikasi yang dimuat turun ke telefon pintar.


menggunakan isyarat tangan, Fahrul Azmi Abdullah, 30, mengawal pergerakan sebuah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau lebih dikenali sebagai dron di udara.

Sesekali pemuda itu menggerakkan tangannya ke kiri dan kanan dan dron yang dikawalnya itu bergerak mengikut pergerakannya.

“Keunikan dron ini berbanding yang lain, ia boleh dikawal dengan menggunakan isyarat tangan untuk ketinggian tertentu.

“Selain itu, ia juga kecil serta ringan dan sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak bermain dron,” kata Fahrul Azmi.

Baru-baru ini Fahrul Azmi dan beberapa rakan media yang lain telah diberi kesempatan oleh syarikat teknologi pengeluar kenderaan udara tanpa pemandu DJI untuk mencuba dron baharu keluarannya.

Pihak media telah diberi peluang untuk menerbangkan dron bersaiz kecil berteknologi tinggi terbaharu iaitu DJI Spark.

Fahrul Azmi yang merupakan salah seorang yang aktif bermain dron berkata, DJI Spark sesuai untuk mereka yang gemar berswafoto.

“Dengan hanya menggunakan isyarat tangan, gajet ini boleh untuk mengambil gambar dari sudut yang berlainan daripada biasa,” jelasnya.

Dron kini antara gajet yang semakin mendapat perhatian masyarakat terutamanya bagi mereka yang gemar akan seni fotografi dan videografi.

Sebelum ini dron hanya digunakan oleh pasukan tentera dalam melakukan operasi pemantauan dan pengintipan.

Kini ia sudah berubah dan permainan dron dijadikan sebagai satu hobi terutamanya dalam kalangan generasi muda dan gajet itu mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Berbeza dengan yang digunakan oleh pasukan tentera, saiz dron untuk merakam gambar atau video itu lebih kecil.

Perkembangan minat orang ramai terhadap permainan itu juga menyaksikan banyak syarikat pengeluar dron mengeluarkan produk-produk terbaik mereka di pasaran.

DJI antara syarikat yang tidak ketinggalan melakukan penyelidikan dan pembangunan bagi mengeluarkan dron yang berteknologi tinggi dan ditawarkan pada harga mampu milik kepada pengguna.

Selain DJI Spark, syarikat itu juga telah mengeluarkan beberapa model dron lain antaranya DJI Mavic Pro dan DJI Phantom.

Canggih

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi DJI, Kevin On berkata, DJI Spark merupakan model terbaharu yang dilengkapi dengan ciri-ciri canggih terkini.

Menurutnya, DJI Spark direka khas bagi memenuhi keperluan mereka yang gemar untuk merakam gambar dan video.

“Antara ciri terkini yang ada pada dron DJI Spark ini ialah kawalan peranti menerusi isyarat gerakan tangan.

“Pengguna boleh menggunakan isyarat tangan untuk mengambil gambar serta video serta berkongsi detik-detik istimewa dengan dron ini,” jelasnya.

Dengan menggunakan mod gerak isyarat, DJI Spark secara automatik boleh diterbangkan dan dikawal pergerakannya menggunakan tangan.

Untuk mod gerak isyarat dron tersebut boleh diterbangkan pada ketinggian lebih tiga meter.

Selain itu DJI Spark juga boleh dikawal pergerakannya dengan menggunakan aplikasi yang dimuat turun ke telefon pintar.

Dengan menggunakan telefon pintar sebagai alat kawalan, dron tersebut boleh terbang pada ketinggian 100 meter dan jarak penerbangan sejauh 100 meter.

Penggunaan alat kawalan khas membolehkan DJI Spark terbang setinggi 500 meter meliputi jarak sejauh dua kilometer.

Bateri


FAHRUL AZMI menggunakan isyarat tangan untuk menerbangkan dron DJI Spark.


Untuk prestasi yang optimum, Spark dikuasakan dengan bateri LiPo yang mampu menerbangkan dron itu selama 16 minit di udara.

Dari segi kelajuan, dron itu mampu terbang selaju 50 kilometer sejam untuk Mod Sukan.

Dalam pada itu, Kevin menambah, dari segi keselamatan, dron itu dilengkapi sensor GPS untuk mengelak sebarang halangan ketika terbang dan berkeupayaan untuk terbang kembali ke tempat asal jika diperlukan.

“Dengan seberat 300 gram, DJI Spark ini peranti yang sesuai untuk dibawa bercuti kerana mudah untuk disimpan di dalam beg. Ia boleh dikendalikan olah alat kawalan jauh, telefon pintar dan isyarat tangan sekali gus pengguna boleh merakam gambar dan video menarik dari sudut yang berbeza.

“Dron ini didatangkan dalam lima pilihan warna yang berbeza iaitu putih, biru, hijau, merah dan kuning bagi memberi pilihan kepada pengguna,” jelasnya.

Dilengkapi dengan resolusi kamera 12 mega piksel serta sensor CMOS 1/2.3 serta kualiti video 1080p HD, ia mampu menghasilkan kualiti gambar dan video yang baik.

Selain itu, dengan teknologi UltraSmooth ia mengurangkan gegaran kepada gambar yang diambil.

Dengan aplikasi DJI GO 4 yang boleh dimuat turun ke telefon pintar, gambar serta video yang diambil melalui dron itu boleh terus disunting dan dikongsi terus ke Facebook, YouTube, Twitter, Instagram dan platform media sosial yang lain.

Dalam pada itu, ECS ICT Berhad (ECS), pengedar alat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di bawah anak syarikatnya ECS Astar Sdn. Bhd. (ECS Astar) yang dilantik sebagai pengedar sah produk DJI di Malaysia telah melancarkan penjualan DJI Spark di pasaran tempatan.

Harga

Ketua Pegawai Eksekutif ECS, Soong Jan Hsung berkata, syarikat itu berbesar hati dengan perkongsian berterusan bersama DJI dalam mengedarkan produk mereka, menjadikan ia mudah diakses pengguna tempatan.

“Ini bukti kepada reputasi syarikat sebagai pengedar ICT terkemuka di Malaysia,” katanya.

Jan Hsung menjelaskan, berdasarkan portfolio pengedaran ICT, ECS telah menawarkan pelbagai jenis produk antaranya Phnatom 4 Professional, Phantom 4 Advance, Phantom 4, Goggles, Mavic Pro, Phantom 3 Standard, Advanced and Professional, Osmo +, Osmo Raw, Osmo Mobile, Inspire 1 dan Inspire 2, yang diterima baik masyarakat tempatan.

“DJI Spark boleh didapati daripada wakil penjual sah ECS seluruh Malaysia pada harga runcit RM2,288, manakala Spark Fly More Combo pula RM3,188,” jelasnya.

Process time in ms: 31