RENCANA UTAMA

MRT tingkat ekonomi penduduk setempat

MRT tingkat ekonomi penduduk setempat


Najib (tengah) merasai pengalaman menaiki gerabak rel MRT yang selesa baru-baru ini.


Pengumuman yang didengari Nurdhiya Aizat Othman, 27, berkaitan projek pengangkutan awam baharu iaitu Transit Aliran Massa (MRT) menerusi media massa pada pertengahan tahun lalu membuatkan dirinya begitu teruja.

Justeru, tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan MRT Fasa 1 Laluan Sungai Buloh-Kajang di Stesen MRT Kwasa Damansara pada 15 Disember lalu, Nurdhiya Aizat tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman baharu itu.

Pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu berkata, pengalaman menjejakkan kaki ke dalam gerabak MRT membuatkan dirinya seakan-akan terpaku dengan kecanggihan pengangkutan tersebut.

Perkhidmatan MRT yang baru diperkenalkan itu menyerupai sistem tren moden yang pernah dilihat di negara maju seperti Singapura dan Korea.

“Saya memang kagum dengan perkhidmatan MRT. Pertama kali saya masuk ke dalam gerabaknya, ia bukan sahaja kelihatan moden dan canggih, tetapi juga sangat cantik serta selesa.

“Sebagai seorang pengguna, saya berbangga kerana Malaysia turut mampu memiliki perkhidmatan rel yang moden dan canggih seperti MRT ini.

“Ia memudahkan urusan ulang-alik pengguna ke tempat kerja setiap hari tanpa perlu tersekat di dalam kesesakan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bahkan, jelas Nurdhiya Aizat ia mampu menjimatkan masa dan juga perbelanjaan rakyat Malaysia.

Selepas mencuba sendiri perkhidmatan MRT, dia kini memilih perkhidmatan tersebut sebagai pengangkutan awam utama baginya berbanding perkhidmatan rel yang lain kerana menganggap ia lebih selesa dan efisien.

Melihat respons positif Fasa 1 MRT tersebut, Nurdhiya Aizat begitu yakin Fasa 2 yang baru sahaja dilancarkan semalam juga akan menyorot kejayaan yang sama.

Pelancaran Fasa 2 MRT dari Semantan ke Kajang sejauh 30 kilometer (km) beroperasi sepenuhnya semalam menyaksikan pembukaan 19 lagi stesen baharu termasuk tujuh buah stesen bawah tanah.

Perkembangan tersebut sekali gus menyempurnakan projek pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang sejauh 51km dengan kesemuanya melibatkan 31 buah stesen termasuk stesen bertingkat dan stesen bawah tanah.

Kesesakan

Pembukaan MRT yang menelan belanja lebih RM22 bilion itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan kerana pengangkutan awam mega itu mampu membawa 400,000 penumpang pada setiap hari.

Pembukaan 19 stesen baharu yang bermula dari Semantan ke Kajang melalui beberapa kawasan utama di ibu negara.

Antara stesen tersebut ialah Pasar Seni, Bukit Bintang, Merdeka, Tun Razak Exchange dan Maluri.

Menariknya, kesemua stesen tersebut menggunakan laluan bawah tanah.

Selain itu, antara stesen lain yang turut dibina di bawah tanah ialah Stesen Muzium Negara dan Cochrane namun selebihnya dibina menggunakan konsep stesen bertingkat seperti MRT Fasa 1.

Menurut Penganalisis Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Baayah Baba, projek ikonik tersebut menjadi bukti kesungguhan negara dalam mencapai status negara maju.

Katanya, pembukaan MRT Fasa 2 semalam sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan penduduk setempat.

“Semestinya pembangunan tersebut memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam projek MRT Fasa 2 seperti jurutera, kontraktor dan juga sumber manusia dalam kalangan penduduk tempatan.

“Ia sedikit sebanyak dapat membuka peluang pekerjaan baharu untuk golongan belia tempatan yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara.

“Bagi pemaju hartanah di kawasan yang terlibat dengan projek MRT Fasa 2, nilai tersebut semestinya akan melonjak naik disebabkan permintaan yang tinggi,” jelasnya.

Selain itu, Baayah menambah, penduduk setempat juga boleh merebut peluang tersebut untuk menjalankan perniagaan hartanah seperti membuat rumah inap di kawasan yang mempunyai permintaan.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47