HIBURAN

Lagu saya, stail saya DSV

Lagu saya, stail saya DSV


VIDA berhasrat membawa lagu I Am Me ke pasaran muzik global.


Nama pengasas kosmetik Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida (DSV) bukanlah asing dalam dunia hiburan meskipun beliau bukanlah bergelar seorang artis.

Namun, perkara tersebut sudah boleh diubah apabila DSV baru sahaja melancarkan single debutnya bertajuk I Am Me, sekali gus menambahkan satu lagi sayap kerjaya dalam profilnya.

Muzik video I Am Me ciptaan Edry Abdul Halim dan lirik oleh wanita berusia 46 tahun itu sendiri kini viral di media sosial dan pelbagai kritikan positif serta negatif dilemparkan oleh peminat.

Barangkali sudah kebal atau sudah terbiasa, anak kelahiran Machang.

Kelantan itu hanya mampu tertawa dengan komen-komen khalayak. Bagi Vida, pembenci yang gemar mengecam apa sahaja yang dirasakan tidak kena pada mata mereka merupakan golongan yang tidak memahami perjuangannya dalam bisnes.

KOSMO!: Bagaimana Datuk Seri Vida memperoleh idea untuk bergelar seorang penyanyi dan menghasilkan single?

DSV: Saya seorang yang bercita-cita besar dan sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baharu. Memiliki sebuah single mampu membantu saya untuk menyebarkan mesej positif yang ada dalam diri saya dengan lebih meluas kepada peminat.

Saya berterima kasih kepada Edry dan KRU yang banyak membantu saya dalam menjayakan lagu serta muzik video I Am Me ini sehingga menjadi tular di media sosial.

Adakah anda menjangkakan single berkenaan akan diterima secara meluas dan menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat?

Secara jujur, saya memang tidak percaya dengan situasi yang berlaku memandangkan ini satu langkah berisiko buat saya. Mungkin khalayak boleh menyifatkan saya tamak dan mahu melakukan sesuatu di luar bidang.

Namun, mereka tidak tahu, sebagai ahli perniagaan, setiap apa yang saya mahu lakukan selalunya didahului dengan penyelidikan terperinci.

Oleh sebab itu, walaupun ada yang tidak suka tetapi buktinya, single I Am Me sudah ditonton lebih satu juta kali jadi ia suatu kejayaan besar untuk percubaan pertama saya sebagai penyanyi.

Apakah komen anda buat mereka yang merasakan lagu berkenaan sekadar syok sendiri dan mahu menunjuk-nunjuk sahaja?

Mereka tidak memahami perjuangan saya yang cuba memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk menjadi positif dan mempunyai visi serta misi dalam hidup.

Ya, lagu ini mungkin kedengaran sedikit merepek tetapi lagu Gangnam Style juga sama, jadi kenapa ia digilai ramai?

Itu yang cuba saya tekankan dalam I Am Me. Ia lagu tentang saya dan berharap khalayak boleh mengambil inspirasi daripada apa yang cuba saya sampaikan.

Adakah dengan lagu berkenaan menandakan anda bakal bergiat secara serius dalam bidang seni suara?

Jika ada keperluan dan kehadiran saya sebagai seorang penyanyi diterima, rasanya tiada masalah.

Namun, ingin saya jelaskan awal-awal bahawa saya bukan penyanyi profesional dan tidak mengikuti kelas vokal atau sebagainya.

Jadi, jika ada lagu-lagu lain selepas ini, ia akan menjadi stail saya seperti I Am Me dan tidak boleh dibandingkan dengan lagu arus perdana.

Bilakah muzik video rasmi I Am Me dapat ditonton umum?

Insya-Allah ia akan dilancarkan dalam masa dua minggu lagi dan saya menjanjikan ia akan menjadi klip video bertaraf antarabangsa dan luar biasa.

Saya telah menempah khas lima pasang baju bernilai RM50,000 untuk digunakan dalam video berkenaan.

Jika ada permintaan, saya akan mempertimbangkan untuk melelong busana-busana mewah itu.

Apakah harapan anda terhadap dengan lagu berkenaan?

Saya berharap ia akan memberi mesej positif dan semangat kepada mereka yang sedang berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup dan jangan mudah putus asa. Semoga niat saya untuk membawa lagu ini ke peringkat antarabangsa dipermudahkan dan boleh menaikkan nama negara kita di mata dunia. ARINA AZLAN

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 31