HIBURAN

Najwa pertaruhkan Kamu

Najwa pertaruhkan Kamu

LUAR NEGARA - Menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian sarjana di luar negara, Wawa berjanji tidak akan menjadikan cita-citanya sebagai alasan untuk berehat dari dunia seni. Dia akan merakam lagu lebih awal jika impian tersebut tercapai


Hampir enam tahun lalu, gadis bernama Najwa Latif pernah mencipta fenomena tersendiri apabila lagu ciptaannya, Cinta Muka Buku menjadi tular dalam kalangan peminat seni tempatan.

Pada waktu tersebut, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu baru berusia 14 tahun. Biarpun masih terlalu muda, dia bagaimanapun telah berjaya mencuri perhatian industri nyanyian sehingga layak melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu pada tahun sama.

Sejak itu, bakat seni pemilik nama sebenar, Imratul Najwa Latif itu semakin berkembang dan matang seiring usianya yang kian bertambah.

Jika dahulu, lagu nyanyian Najwa atau lebih mesra dipanggil Wawa banyak berkisarkan cinta monyet dan hubungan sewaktu remaja, kini dia lebih selesa menghasilkan lagu dengan mesej yang lebih luas dan tidak terikat dengan satu topik.

“Saya rasa perubahan yang berlaku dalam muzik itu sesuatu yang positif kerana setiap penyanyi mahu menjadi lebih baik berbanding ketika permulaan mereka dalam industri.

“Dahulu, lagu-lagu saya banyak dipengaruhi persekitaran zaman persekolahan dan sesuai dengan peminat seusia saya ketika itu. Apabila sudah meningkat dewasa, aliran muzik juga sudah tidak kedengaran terlalu keanak-anakan,” kata Najwa ketika menghadiri sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Mesej

Menurut graduan Universiti Antarabangsa Tun Abdul Razak (UniTAR) itu lagi, kecenderungannya ke arah lagu yang bebas cinta bukanlah bermakna dirinya menolak terus genre berkenaan.

Cuma bagi Najwa, sebagai generasi baharu, dia mencuba untuk menyebarkan kepada peminatnya bahawa cinta bukan sekadar hubungan di antara kekasih sahaja tetapi boleh ditujukan kepada Tuhan, ibu bapa, keluarga dan sanak saudara.

Baru sahaja tampil dengan single bertajuk Kamu, dia tidak menafikan bahawa musim sekarang ramai pendengar masih demam dengan lagu-lagu berentak 1990-an, namun dirinya yakin akan rezeki masing-masing.

“Kamu ialah ciptaan sepenuhnya oleh saya dan lirik oleh kakak, Ika Latif. Single ini masih mengekalkan rentak sama seperti lagu-lagu saya sebelum ini iaitu genre pop.

“Diakui lagu ini tidak mengikut permintaan majoriti pendengar muzik sekarang tetapi saya yakin setiap muzik itu ada peminat tersendiri.

“Jadi saya cuma mampu lakukan yang terbaik dan berharap rezeki itu berpihak kepada single ini,” katanya lagi.

Menyentuh tentang kolaborasi Najwa dan kakaknya yang sudah tidak asing lagi sejak awal pembabitannya sebagai penyanyi, dia mengakui senang bekerja dengan kakak sendiri kerana masing-masing sudah memahami selera muzik antara satu sama lain.

Masih mempertimbangkan tawaran daripada komposer serta penulis lirik luar, Najwa berkata, setiap lagu yang ditawarkan perlu ditapis kerana sedar setakat mana kemampuan vokal yang ada pada dirinya.

“Saya selesa menggubah lagu sendiri kerana tahu vokal saya berada pada tahap sederhana. Saya memang tidak boleh menyanyikan lagu bernada tinggi atau terlalu rendah.

“Oleh kerana itu, syarikat rakaman NAR Records dan saya sendiri bersikap selektif kerana tidak mahu menerima lagu orang yang pada masa sama akhirnya tidak mampu dibawakan dengan baik,” ujarnya yang pernah bekerjasama dengan bekas penyanyi kumpulan Sleeq, Alif bagi lagu Satu Hari Nanti.

Publisiti

Membawa perbualan menyentuh soal populariti dan publisiti, wanita muda berusia 22 tahun itu hanya tersenyum penuh makna dan mengangguk kepala tanda bersetuju apabila dikatakan, kini dirinya sudah kurang dikenali.

Kata Najwa, dia sedar akan hal tersebut dan tidak mempunyai masalah apabila namanya tidak keluar di dada-dada akhbar atau dalam laman media sosial sekerap dahulu kerana sudah pernah merasai zaman tersebut.

Baru sahaja menamatkan pengajian peringkat sarjana muda dalam jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, Najwa tidak mahu popular sekadar untuk perkara yang tidak berkaitan kerjayanya.

Tambahnya lagi, sejak tiga tahun lepas, tumpuannya memang lebih kepada pengajian dan hanya akan muncul jika ada lagu baharu yang perlu dipromosikan.

“Janji saya kepada ibu, Zarina Saamah ialah pelajaran perlu jadi keutamaan. Jika tiada halangan, saya akan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana pada bulan September ini.

“Saya meminati bidang nyanyian tetapi sasaran utama ialah menjadi seorang pensyarah. Menyanyi bagi saya sebagai satu hobi dan terapi, jadi jika tidak sepopular penyanyi lain, saya masih bahagia seperti biasa,” jelasnya yakin.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 32