DUNIA

UAE dituduh rancang godam Qatar

UAE dituduh rancang godam Qatar

SHEIKH TAMIM


WASHINGTON – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyusun rancangan supaya media sosial dan laman berita kerajaan Qatar digodam pada hujung Mei lalu bagi menyiarkan kritikan palsu yang dikaitkan dengan pemimpin Qatar dengan matlamat mencetuskan krisis diplomatik, lapor akhbar Washington Post kelmarin.

Pemimpin Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani telah dipetik sebagai memuji pergerakan Hamas pada Mei lalu dan mengiktiraf bahawa Iran adalah sebuah ‘kuasa Islam’, demikian menurut Washington Post.

Kenyataan itu mendorong Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada 5 Jun lalu kerana menuduh Doha menyokong keganasan.

Pada Mei lalu Qatar menyatakan bahawa penggodam-penggodam telah menyiarkan kenyataan palsu kononnya oleh Sheikh Tamim tetapi penjelasan itu ditolak oleh negara-negara Teluk.

Washington Post melaporkan bahawa analisis maklumat risikan baharu Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kalangan pegawai tinggi kerajaan UAE membincangkan rancangan penggodaman tersebut pada 23 Mei lepas, sehari sebelum kejadian.

“Masih tidak jelas sama ada UAE menggodam laman-laman web Qatar atau membayar pihak lain untuk berbuat demikian,” pegawai-pegawai AS dipetik sebagai berkata oleh Washington Post.

Akhbar berkenaan bagaima­napun tidak mendedahkan identiti sumber dari Washington itu.

Duta UAE, Yousef al-Otaiba menafikan laporan itu dalam satu kenyataan dan mendakwanya sebagai berita palsu, demikian menurut Washington Post.

“Apa yang benar ialah sikap Qatar. Menaja, menyokong dan membenarkan pelampau daripada Taliban hinggalah kepada Hamas dan Qadafi, menghasut, menggalakkan sifat radikal dan menggugat kestabilan negara-negara jiran,” kata kenyataan itu.

Jabatan Negara AS enggan mengulas pertanyaan agensi berita Reuters berhubung laporan tersebut.

Sebelum ini, Biro Penyiasatan Persekutuan diketahui telah bekerjasama dengan Qatar untuk menyiasat penggodaman itu. – Reuters

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31