VARIA

Akhbar masih medium iklan terbaik

Akhbar masih medium iklan terbaik

Para pembaca masih menjadikan akhbar sebagai satu platform untuk mendapatkan maklumat. – Gambar hiasan


SEDIKIT masa dulu, pengiklanan akhbar digambarkan sebagai sudah berakhir sementelah jualan surat khabar di seluruh dunia sedikit demi sedikit menurun. Ramai menghukum pengiklanan arus perdana tidak lagi memberi impak sekali gus mendabik dada kononnya pengiklanan online terutama di media-media sosial lebih berkesan.

Hakikatnya, ramai ‘sifu’ atau ‘pakar’ dalam pengiklanan akhirnya akur bahawa pengiklanan online kini semakin sengit malah semakin hari semakin mahal. Berikutan itu, ada sebahagian daripada mereka mula beralih kepada media arus perdana termasuk penggunaan papan iklan gergasi yang sebelum ini dianggap kuno.

Perunding Pemasaran Make It Bigger Resources, Mazleha Musa berkata, akhbar masih penting dalam membina persepsi terutama dalam proses menjual terutama membabitkan jenama besar.

“Bagi kebanyakan jenama besar, mereka kembali memperuntukkan hampir 70 peratus bajet iklan untuk media arus perdana kerana persepsi masyarakat masih melihat media terutama akhbar memiliki lebih aura.

“Akhbar membina persepsi dan dapat dilihat dalam tempoh lama. Kadangkala keratan akhbar atau lembaran majalah dicetak semula dalam saiz poster untuk dijadikan hiasan dan itulah yang dinamakan penjenamaan,” kata Mazleha ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam bidang pemasaran dan jualan selama lebih sedekad berkata, produk-produk kecil lazimnya menggunakan platform online namun strategi pemasaran itu kini sudah terlalu tepu terutama dalam dua tahun kebelakangan ini.

“Pengalaman kami mendapati dua tahun lalu, setiap RM1 iklan di Facebook misalnya masih boleh menjana RM6 tetapi kini keberkesanan sudah turun kepada RM3. Kos iklan naik mendadak disebabkan sistem bida automatik.

“Hakikatnya, ramai pengiklan lupa untuk merenung bahawa pengiklanan online masih belum automatik sepenuhnya kerana setiap mesej yang diterima perlu dilayan satu per satu. Jadi cuba bayangkan, berapa kos operasi yang perlu mereka tanggung,” kata Mazleha.

Lebih kreatif

Tambahnya, pengiklanan online sebenarnya kurang berkesan jika menggunakan teknik tetapan yang salah berbanding pengiklanan di akhbar yang lebih kreatif dan dekat dengan jiwa pembaca.

“Terlalu banyak mazhab dalam pengiklanan online sehinggakan yang mendapat untung berganda hanyalah penganjur kursus. Asasnya mudah, kembali kepada teras penjenamaan iaitu bina kredibiliti jenama dan terus akrab dengan media.

“Sudah tentu akhbar semata-mata tidak berkesan, tetapi ia harus bermula dengan media arus perdana untuk mendapat pengiktirafan dan kemudian barulah kembali diulang hantar menerusi media sosial kepada kumpulan sasar,” terang Mazleha.

Bercerita lanjut, kata Mazleha, lazimnya pembaca akhbar merupakan kelompok yang mempunyai kuasa beli terutama dalam kalangan eksekutif, pengurus atau pembuat dasar. Inilah kelompok yang selalunya menjadi kumpulan pencetus.

“Pernahkan anda lihat telefon pintar jenama terkenal diiklankan di media sosial? Begitu juga dengan kereta, iklan hanya untuk menjemput bakal pembeli merasai sesi pandu uji. Ini kerana, mengunci jualan masih perlukan sentuhan insan,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pengiklanan, Universiti Teknologi Mara, Suhaimee Saahar berkata, proses menjual sesuatu produk masih perlu menjalani lima turutan meskipun pengiklanan itu dilakukan secara online.

“Setiap proses menjual perlu menjalani lima asas iaitu awareness (kenal), interest (minat), evaluation (nilai), trial (cuba) dan adoption (beli).

“Dalam setiap peringkat ini ada saluran-saluran yang perlu digunakan dan malangnya tiga peringkat pertama paling bagus dilakukan oleh media arus perdana. Ini dapatan kajian pakar yang dibuat berpuluh tahun dahulu dan masih belum ada kajian saintifik baharu berupaya menyangkal ketepatannya,” kata Suhaimee.

Katanya, pemilik jenama perlu melakukan proses itu untuk kekal relevan kepada pengguna kerana pelaburan berterusan terlalu banyak dalam pengiklanan online tidak bagus untuk mengembangkan perniagaan.

“Pemilik jenama perlu dinamik dan faham bagaimana tabiat pengguna bertindak balas terhadap sesuatu produk. Terlalu bergantung kepada pengiklanan online akan menghakis margin perniagaan,” katanya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47