TERKINI

JPJ keluar 32,949 saman sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2017

JPJ keluar 32,949 saman sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2017

17/07/2017 8:18pm


Tindakan lebih tegas diambil ke atas tujuh kesalahan utama dengan mendakwa di mahkamah. - Gambar fail


PUTRJAYA - Jumlah saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2017 yang bermula pada 18 Jun hingga 2 Julai lalu telah meningkat sebanyak 8.3 peratus menjadi sebanyak 32,949 berbanding pada tahun lalu yang mencatatkan cuma 30,435.

Daripada jumlah tersebut, kes yang mengalami peningkatan ialah melibatkan lesen memandu sebanyak 11,887, kesalahan teknikal (4,450) dan lain-lain kesalahan (5,163) sementara dua kes mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu lesen kenderaan motor dan tiada insurans (9,502) dan kesalahan utama (4,450). Kes membabitkan kenderaan perdagangan mencatatkan sebanyak 167 kes.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, sebanyak 1,780 melibatkan tujuh kesalahan utama iaitu tidak memakai tali pinggang keledar (422), langgar lampu isyarat (364), guna lorong kecemasan (211), guna telefon bimbit (256), guna lorong kanan secara berterusan (75), memotong garisan berkembar (217) dan memotong sebelah kiri (235).

“JPJ telah mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas tujuh kesalahan utama ini dengan mendakwa semua kes-kes ini di mahkamah.

"Kaedah ini menunjukkan kesan positif dalam mendidik pemandu supaya mematuhi peraturan dan pemerhatian yang dijalankan terdapat segelintir sahaja pemandu melakukan kesalahan khasnya memandu di lorong kecemasan,” katanya.

Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 105,817 buah kenderaan telah diperiksa berbanding 90,568 buah kenderaan pada tahun lalu dan bilangan kenderaan yang diambil tindakan ialah sebanyak 21,889 melibatkan kereta (7,536), motosikal (7,050), lori (6,827) dan bas (476). - K! ONLINE

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31