SUKAN

Hamilton unggul di GP Britain

Hamilton unggul di GP Britain


HAMILTON merangkul kejuaraan pada aksi GP Britain malam tadi, sekali gus menjadi kemenangan kelima sepanjang kariernya di Litar Silverstone itu.


LONDON – Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton melakar sejarah tersendiri di hadapan ribuan penyokong sendiri apabila menjuarai Grand Prix (GP) Britain buat kali kelima sepanjang kariernya dalam perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Silverstone malam tadi.

Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak pertama semalam tidak berdepan sebarang tekanan apabila me­nguasai sepanjang 51 pusingan dengan catatan sejam 21 minit 27.430 saat.

Lebih manis, pasukan Mercedes menamatkan perlumbaan di kedudukan 1-2 apabila Valtteri Bottas yang memulakan saingan di petak kesembilan tampil dengan prestasi luar biasa untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa Ferrari biarpun dua pelumba mereka menguasai petak kedua dan ketiga pada awal perlumbaan, namun gagal mempertahankan kedudukan tersebut.

Pelumba mereka, Kimi Raikkonen terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan Sebastian Vettel sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas tayar jenteranya pecah pada pusingan terakhir perlumbaan ketika dia hampir menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Biarpun ditimpa insiden malang itu, Vettel masih memimpin kedudukan carta kategori pelumba, namun hanya memiliki kelebihan satu mata sahaja berbanding Hamilton yang sedang memburu kejuaraan dunia keempat musim ini.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan hari ini (semalam) dan sangat teruja melihat ribuan penyokong hadir menyaksikan kami. Apa pun saya ingin me­ngucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada kami.

“Sudah pasti kejayaan pada hari ini melonjakkan semangat saya untuk memburu gelaran dunia. Itulah strategi kami dan sedang ber­usaha ke arah itu,” kata Hamilton selepas tamat sai­ngan tersebut.

– Agensi

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31