RENCANA UTAMA

Tarik penyokong ke stadium

Tarik penyokong ke stadium

TIFO ARENA menyampaikan baju-T kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) dalam satu majlis baru-baru ini.


SEAWAL pukul 6 petang, Khairul Rahimi Abdul Rahim, 35, dan Muhammad Amar Amdan, 34, sudah berada di hadapan Stadium, Paroi, Seremban Negeri Sembilan.

Kelibat dua sahabat berbaju-T hitam bertulis ‘aku turun stadium’ yang memegang kamera GoPro itu telah berjaya mencuri perhatian orang di sekeliling.

Kamera tersebut digunakan untuk merakam panorama sekitar stadium yang dipenuhi ribuan penyokong pasukan Negeri Sembilan dan Pahang yang bakal berentap dalam separuh akhir Piala FA pada malam tersebut.

Ketika sedang asyik merakam video, mereka berdua disapa sinis oleh dua penyokong pasukan Negeri Sembilan dengan laungan Tifo Arena.

Sapaan tersebut disambut dengan senyuman pada wajah mereka kerana sudah mangli dengan teguran-teguran sedemikian daripada penyokong bola sepak tempatan.

“Tak kan tegur saja bro, kalau berani sangat, kami berdua hendak temu bual sedikit mengenai perlawanan malam ini,” balas Khairul Rahimi secara berseloroh.

Cabaran tersebut disambut positif oleh dua pemuda yang mengenakan jersi berwarna kuning itu. Mereka sedia untuk ditemubual oleh Khairul Rahimi dan Muhammad Amar.

Lantas Muhammad Amar mengeluarkan kamera refleks tunggal, tripod serta mikrofon dari dalam beg sandang yang digalasnya, sebelum mengajukan soalan kepada kedua-dua penyokong tersebut.

Itulah sebahagian daripada rutin yang terpaksa dilalui oleh Khairul Rahimi dan Muhammad Amar dalam mencari bahan untuk dimuatkan dalam saluran Tifo Arena.

Mula ditubuhkan sejak 22 Oktober 2015, Tifo Arena merupakan sebuah saluran yang boleh ditonton menerusi You Tube.

Saluran tersebut menyediakan video-video temu bual bersama penyokong bola sepak tempatan di luar dan dalam stadium ketika sebelum serta selepas perlawanan.

Menurut Khairul Rahimi yang juga pengasas Tifo Arena bersama Muhammad Amar, saluran Tifo Arena diwujudkan atas inisiatif sendiri.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, idea mewujudkan saluran itu tercetus selepas mendapati tidak ada medium yang memaparkan video mengenai kemeriahan penyokong bola sepak.

“Di Eropah, sudah lama wujud saluran buat penyokong seperti Copa 90, The Football Republic dan Dream Team bagi memeriahkan arena bola sepak di sana.

“Dari situ kami mendapat idea untuk menubuhkan Tifo Arena. Lagi pula, media arus perdana kurang memberi tumpuan kepada para penyokong,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Khairul Rahimi yang juga bekas pelajar jurusan akaun di sebuah universiti Australia memberitahu, saluran lebih memberi fokus kepada reaksi dan gelagat penyokong bola sepak tempatan di stadium.

Katanya, menerusi video-video Tifo Arena, dia berharap dapat memberi gambaran kepada masyarakat mengenai kemeriahan dan keghairahan penyokong sekali gus menarik mereka datang ke stadium.

“Niat kami hanya satu iaitu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak tempatan. Salah satu cara untuk mencapai hasrat itu adalah dengan menarik kehadiran penyokong ke stadium.

“Kami sangat berharap video-video Tifo Arena dapat menjadi pendorong kepada orang ramai turun ke stadium untuk memberi semangat kepada pasukan masing-masing,” katanya.

Setakat ini Tifo Arena mempunyai jumlah pengikut sebanyak 15,000 dalam You Tube, 71,000 (Facebook) dan 8,500 (Instagram).

Khairul Rahimi menjelaskan, Tifo Arena tidak pernah mendapat sebarang dana daripada mana-mana pihak, semua kos perjalanan dan operasi ditanggung sendiri oleh mereka berdua.

Katanya, situasi tersebut sedikit sebanyak membataskan pergerakan mereka berdua untuk menjelajah ke semua stadium yang terdapat di negara ini.

“Pasti ramai perasan, kebanyakan video Tifo Arena lebih banyak tertumpu di stadium-stadium sekitar Lembah Klang sahaja. Ini kerana bajet kami amat terhad.

“Namun, ada juga sekali dua kami ke Stadium Darul Aman (Kedah) dan Stadium Darul Makmur (Pahang) atas jemputan para peminat.


TIFO ARENA menyampaikan baju-T kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) dalam satu majlis baru-baru ini.


“Mereka sanggup menanggung kos penginapan dan tiket perlawanan kami di sana,” katanya sambil menghamburkan pujian kepada mereka yang telah sudi membantu mereka selama ini.

Setakat ini, stadium paling jauh pernah Tifo Arena membuat liputan adalah di Stadium Siuta City ketika perlawanan antara Johor Darul Ta’zim dan Gamba Osaka pada pusingan kelayakan ketiga Liga Juara-Juara Asia.

Menariknya, kos penerbangan dan penginapan mereka ditanggung sepenuhnya oleh sebuah syarikat swasta yang berpengkalan di Singapura.

Mengimbau detik pertama kali merakam video dan menemubual penyokong Selangor dan T-Team di stadium ke Shah Alam, Selangor, Muhammad Amar memberitahu, detik itu semuanya sangat sukar.

Jelas anak kelahiran ibu kota itu, mereka mengalami pelbagai kesukaran untuk menemubual, merakam dan menyunting video dalam perlawanan tersebut.

“Benda baru, semua sukar. Pernah satu tahap, orang pandang kami lain macam kerana mereka tidak tahu apa itu Tifo Arena. Masa itu, hendak cari orang untuk ditemu bual sangat sukar.

“Kami berdua juga tidak pandai menyunting video untuk menjadi satu bahan tontonan yang menarik. Namun hasil pembelajaran dari You Tube, kami berjaya menghasilkan sebuah video,” katanya.

Video-video yang dihasilkan oleh Tifo Arena berdurasi antara 15 hingga 20 minit yang sarat dengan elemen temubual, sorakan penyokong, muzik, lagu dan aksi perlawanan.

Menurut Muhammad Amar, mereka lebih selesa mengajukan soalan-soalan mudah dalam bahasa ringkas sewaktu sesi temu bual bersama penyokong.

Jelasnya, ia bagi memudahkan para penyokong untuk menjawab setiap soalan diajukan sekali gus dapat menghasilkan kandungan video yang lebih menarik.

Soalan yang sering diajukan oleh Tifo Arena termasuklah jangkaan keputusan perlawanan, pemain tumpuan, riaksi selepas perlawanan dan isu-isu semasa bagi sesebuah pasukan.

“Kami pernah cuba mengajukan soalan lebih serius kepada penyokong seperti persoalan mengenai strategi pasukan, kesebelasan utama dan kekuatan pasukan lawan.

“Apabila kami ajukan soalan berkenaan, ramai yang tidak boleh jawab. Jadi, kami ubah format dengan memperbanyakkan soalan mudah sekali gus jawapan yang diberikan lebih humor,” katanya.

Begitupun, mereka berdua tidak menolok kemungkinan untuk mengajukan soalan lebih serius pada masa depan apabila para penyokong betul-betul sudah bersedia.

Salah seorang pengikut tegar Tifo Arena, Mohd. Faizal Abd. Bakar berkata, selepas pertama kali menonton video Tifo Arena pada awal tahun ini, dia terus jatuh cinta dengan saluran tersebut.

Jelas penyokong tegar Skuad Jang itu konsep video yang diketengahkan oleh saluran tersebut bukan sahaja bermanfaat, malah menghiburkan.

“Saya mula mengenali saluran Tifo Arena sejak awal tahun ini. Selepas kali pertama menonton video Tifo Arena, saya sudah jatuh cinta.

“Ini kerana setiap videonya memaparkan temubual bersama penyokong, suasana dalam dan luar stadium serta muzik. Video-video Ini telah menarik minat saya untuk ke stadium,” katanya.

Mohd. Faizal yang juga seorang jurutera berkata, video Tifo Arena juga dapat membantu dirinya menghiburkan diri bagi mengurangkan tekanan kerja.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47