GENK

Tingkatkan disiplin dan kecergasan diri

Tingkatkan disiplin dan kecergasan diri

Capoeira sangat terkenal sebagai seni bela diri yang melibatkan aksi akrobatik yang pantas. – Gambar hiasan


DENGAN iringan muzik yang dimainkan menggunakan beberapa peralatan khas, Vijay Sundaresen, 18, mengatur langkah secara perlahan sambil menggerakkan keseluruhan badannya ke kiri dan ke kanan sambil kaki dan tangannya turut dihayun mengikuti rentak muzik.

Sekali-sekala, kedua-dua kakinya dilayangkan ke udara seolah-olah menerjah sesuatu, manakala kedua-dua anak matanya tetap bergerak liar.

Vijay tidak melakukan pergerakan itu berseorangan. Dia dipasangkan dengan seorang lagi pelatih untuk melakukan sebahagian daripada pergerakan asas seni bela diri capoeira di dalam satu bulatan yang dibentuk oleh rakan-rakannya yang dikenali sebagai roda.

“Ketika di sekolah rendah, saya merupakan murid yang lemah, penakut dan kerap dibuli oleh rakan-rakan.

“Saya kemudiannya membuat keputusan untuk mempelajari seni capoeira bagi meningkatkan keberanian diri selepas melihat kelincahan pergerakan pengamal seni bela diri tersebut beraksi sewaktu menghadiri satu festival di Kuala Lumpur,” kata pelajar Kolej Segi Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu ketika ditemui.

Menurut Vijay, walaupun telah lapan tahun mempelajarinya, dia masih belum menguasai sepenuhnya seni bela diri tersebut memandangkan capoeira memerlukan seseorang itu bergerak pantas selain melibatkan banyak pergerakan yang bersifat akrobatik.

Pun begitu katanya, dia tidak sesekali akan berlagak walaupun telah menguasai sebahagian pergerakan seni capoeira, apatah lagi menunjuk-nunjuk dalam kalangan rakan-rakannya.

“Selain mempertahankan diri, capoeira turut mengajar saya untuk lebih berdisiplin dalam kehidupan selain mengamalkan cara hidup yang sihat termasuk sentiasa melakukan latihan kecergasan dan menghormati orang lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Capoeira merupakan seni bela diri ciptaan komuniti Afro-Brazil. Mereka merupakan pekerja buruh berketurunan Afrika yang dibawa masuk ke Brazil oleh Portugis sekitar abad ke-17 untuk dijadikan hamba dan bekerja di ladang-ladang tebu.

Akibat menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan, sebahagian daripada golongan hamba tersebut memberontak dan menentang kekejaman kerajaan pada ketika itu.

Bermula dari situlah, mereka mencipta seni bela diri yang digabungkan dengan elemen muzik paranawe, sejenis tarian tradisional Brazil bagi mengelak tindakan mereka mempraktikkan seni capoeira itu dikesan pihak berkuasa.

Berpengaruh


Pelatih seni bela diri capoeira akan berada dalam bulatan secara berpasangan sebelum menggerakkan keseluruhan badan secara akrobatik.


Capoeira tradisional yang dikenali sebagai capoeira Angola yang melibatkan pergerakan secara perlahan itu kemudiannya mula berkembang ke wilayah Quilombo dos Palmeras yang terletak di Alagoas. Ia terus menjadi seni bela diri yang sangat berpengaruh dalam kalangan generasi komuniti Afro-Brazil.

Ia juga begitu popular di beberapa buah negeri seperti Bahia, Pernambuco, Rio de Janeiro dan Sao Paulo.

Pada peringkat awal perkembangannya, disebabkan capoeira banyak dipelajari oleh golongan hamba, kerajaan Brazil pada ketika itu telah mengharamkannya selain bertindak menangkap sesiapa sahaja yang didapati mengamalkan capoeira.

Sekitar tahun 1930-an, jurulatih Manuel dos Reis Machado atau lebih dikenali sebagai Mestre Bimba telah melakukan perubahan. Beliau menggabungkan beberapa elemen baharu seperti sepakan dan gerakan dalam bentuk akrobatik dengan penumpuan kepada teknik dan strategi serangan.

Akhirnya, Capoeira ciptaannya yang digelar sebagai Regional Capoeira of Bahia telah menjadikan seni bela diri itu semakin popular dalam kalangan rakyat negara tersebut.

Selepas Bimba berjaya mencipta nama, pihak pemerintah Brazil akhirnya membenarkan capoeira dipraktikkan semula secara meluas sebagai satu seni bela diri.

Disiplin

Sehingga kini, capoeira telah menjadi identiti seni bela diri Brazil. Ia juga sangat terkenal dan telah berkembang ke seluruh dunia selain turut dipelajari dan diamalkan oleh pelatih dari seluruh dunia.

Di negara ini, seni bela diri itu mula dibawa masuk sekitar 13 tahun lalu oleh beberapa pengamal capoeira yang berasal dari Brazil, antaranya Rafael Barbosa.

Menurut Rafael, capoeira bukan semata-mata seni bela diri tetapi ia memberi manfaat yang jauh lebih besar kepada pengamalnya.

“Capoeira bersifat sangat subjektif dan bukan sekadar seni mempertahankan diri. Ia boleh dijadikan sebagai gaya hidup, hiburan dan landasan dalam pergaulan seharian.

“Malah menerusi capoeira, seseorang individu itu boleh meningkatkan disiplin diri dan tahap kecergasan mereka kerana ia merupakan seni bela diri yang menggabungkan beberapa elemen seperti pergerakan akrobatik, muzik dan tarian,” katanya.

Jelas beliau, muzik merupakan elemen penting yang harus ada dalam satu-satu persembahan capoeira kerana tanpanya, seni bela diri itu seolah-oleh hilang identitinya.

Muzik dalam capoeira dimainkan oleh beberapa orang yang dikenali sebagai bateria menggunakan alat seperti berimbau, pandeiro, atabaque, agogo dan reco-reco.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam capoeira, Rafael memberitahu, dia mula mempelajarinya sejak kecil selepas ibunya menghantar dia bersama dua lagi adik-beradiknya ke kelas seni bela diri itu.

Dia yang berasal dari Montes Claros berkata, ketika usianya menginjak ke 15 tahun, dia berhijrah ke Belo Horizonte untuk meningkatkan kemahirannya di Akademi Grupo Bantus Capoeira dengan berguru dengan jurulatih Mestre Pintor.

“Pada tahun 2004, jurulatih saya telah menghantar saya ke Malaysia untuk mengetuai pusat latihan capoeira pertama di negara ini di bawah nama Casa do Capoeira di Petaling Jaya, Selangor.

Kecergasan


DUA pelatih akan beraksi di dalam ‘roda’ yang merupakan bulatan yang dibentuk oleh pelatih lain sambil diiringi muzik.


“Selepas beberapa tahun, akhirnya capoeira semakin diterima oleh masyarakat di negara ini kerana ia merupakan seni bela diri yang sangat unik dan berbeza daripada yang lain.

“Kebanyakan pelatih yang mempelajari seni bela diri ini terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak,” katanya yang turut dikenali sebagai Profesor Rafael.

Pada tahun 2013, dia mengambil keputusan untuk bergabung dengan seorang lagi jurulatih capoeira, Mestre Tyson dan telah membentuk kumpulan Movimento Simples de Capoeira yang kini mempunyai pusat-pusat latihan di Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah dan Thailand selain Shanghai di China.

Pada masa ini, pusat latihan capoeira kendaliannya di Plaza Damas, Kuala Lumpur mempunyai kira-kira 60 pelatih dewasa selain 160 pelatih kanak-kanak.

Seorang pelatih, Michelle Ho Chui-Yean, 36, merupakan antara kumpulan terawal yang mempelajari capoeira selepas ia diperkenalkan di negara ini.

Sejak mempelajari seni bela diri itu kira-kira 11 tahun lalu, dia berjaya mengekalkan tahap kecergasan dirinya. Pada masa sama, menjadi lebih berani untuk berdepan dengan situasi cemas yang kerap dialami oleh golongan wanita.

Malah, kata usahawan muda itu, capoeira menjadi pilihan golongan muda kerana ia menggabungkan elemen muzik dan tarian di samping teknik mempertahankan diri bersifat akrobatik.

Process time in ms: 47