RENCANA UTAMA

Kampung Baru induk masyarakat Kampar

Kampung Baru induk masyarakat Kampar



SEJAK kecil, Madrasah Al-Taufiqiah, Kampung Baru, Parit, Perak menjadi lokasi harian untuk Omar Mohd. Saros, 80, bermain bersama dengan rakan-rakannya.

Dia masih ingat, madrasah usang yang dibuka sejak 1920-an itu merupakan tempatnya belajar mengaji al-Quran dan asas fardu ain sebelum melangkah masuk ke Sekolah Melayu Parit pada tahun 1953.

Menurut imam Masjid Raudhatul Mardhiah yang terletak di pekan Parit itu, banyak kenangan manisnya sewaktu membesar di kampung tersebut bersama rakan dan jirannya yang terdiri daripada masyarakat Kampar.

Jelasnya, kebanyakan orang luar tidak mengetahui bahawa Kampung Baru yang terletak di mukim Parit dalam daerah Perak Tengah kini merupakan lokasi induk kepada masyarakat Kampar di Perak.

Kampar atau sebutannya, Kampor merujuk kepada masyarakat dari Kampar, Riau, Sumatera, Indonesia yang berhijrah ke Tanah Melayu sejak beberapa ratus tahun lalu.

Hijrah

“Mengikut penceritaan orang dahulu, daerah Kampar (dulu pekan) di Perak juga dibuka oleh masyarakat Kampar yang datang dari Kampar iaitu Mohamad Ngah Jabor.

“Selepas membuka penempatan di situ, mereka terus berhijrah ke lokasi lain seperti ke Parit, bertepatan dengan prinsip orang Kampar yang gemar merantau,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Berdasarkan maklumat, seramai 250 penduduk berketurunan Kampar terdiri daripada golongan veteran masih menetap di situ yang kini terbahagi kepada tiga perkampungan iaitu Kampung Baru (asal), Kampung Baru Atas dan Kampung Baru Cina.

Selain aktiviti keagamaan, Madrasah Al-Taufiqiah begitu signifikan bagi orang Kampar di situ apabila masih menjadi lokasi berhimpun di kampung tersebut untuk berbincang sebelum melaksanakan sesuatu majlis.

Meskipun telah lapuk ditelan zaman, madrasah tersebut mempunyai sejarah yang banyak buat Omar terutamanya dalam pergaulan bersama masyarakat setempat.


Beberapa kampung tradisional masyarakat Kampar yang boleh dilihat di Kampung Baru, Parit, Perak.


Menyentuh latar belakang Omar, beliau memberitahu, Allahyarham bapanya, Saro Ahad dan ibunya, Simpan Pada Balbal berasal dari Pulau Jambu Kuok, Bangkinang, Kampar, Sumatera.

Bapanya datang ke Tanah Melayu pada tahun 1930-an dengan menaiki tongkang dan dipercayai menetap di Kampung Baru sewaktu zaman pemerintahan Jepun antara tahun 1941 dan 1945.

“Terus-terang saya cakap, masyarakat Kampar tidak mempunyai adat-adat tertentu berbanding perantau dari Indonesia yang lain.

“Kita hidup seperti biasa malah tidak berpegang kepada sebarang tradisi. Paling penting bagi kami adalah ukhwah dan penyatuan antara keluarga di Kampung Baru. Kami kenal lebih rapat antara satu sama lain,” katanya.

Beliau pernah melawat kampung halaman bapanya untuk bertemu dengan saudara-mara yang merupakan masyarakat Kampar lewat tahun 1970-an.

Jika ditelusuri sejarah yang berkaitan dengan masyarakat Kampar seperti yang ditulis oleh seorang sami dari Dinasti Cina iaitu I-tsing dan Tun Sri Lanang dalam Sulatus Salatin, terdapat banyak catatan yang menyebut mengenai masyarakat Kampar masuk ke Tanah Melayu.

Presiden Ikatan Kamparputra Malaysia (Ikmal), Mejar General (B) Datuk Amir Baharudin atau lebih dikenali dengan nama Amir Guntur Kamparputra berkata, terdapat lapan gelombang kedatangan masyarakat Kampar dari Sumatera Tengah, Indonesia ke Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia sekarang) sejak abad ke-16 dan ia berterusan hingga abad ke-20.

Buka tanah

“Antara gelombang terawal kedatangan Masyarakat Kampar ke Tanah Melayu apabila rombongan putera kedua Raja Mahmud iaitu Raja Ali Alauddin Shah ke Pahang dan membuka Pekan Tua pada tahun 1528 sebelum baginda kemudian membuka negeri Johor Lama pada 1540.

“Pada tahun 1528 juga, Raja Muzaffar Shah yang merupakan putera sulung Sultan Mahmud berangkat ke Perak dan baginda dinobatkan sebagai Sultan Perak ketika itu,” katanya.

Tambahnya, pelbagai faktor dapat dikenal pasti punca kedatangan orang Kampar ke Tanah Melayu termasuk tercetusnya Perang Padri di Sumatera pada tahun 1830-an dan dasar paksaan yang diguna pakai oleh penjajah Belanda terhadap rakyat Indonesia pada 1837.


SALAH seorang peniaga berketurunan Kampar yang menjalankan perniagaan songkok turun-temurun di pekan Parit, Perak.


“Pada ketika itu juga British yang menjajah Tanah Melayu sedang membuka banyak tanah sawah dan getah yang menjadi faktor tarikan kepada masyarakat Kampar untuk berhijrah,” katanya.

Menurut Amir Guntur, nama daerah Kampar di Perak juga dinamakan sempena nama Kampar di Sumatera oleh Mohamad Ngah Jabor atau Onga Jabau pada tahun 1886 atas perkenan Sultan Idris yang memerintah Perak ketika itu.

Katanya, masyarakat Kampar di Malaysia sebenarnya tidak asing dalam kalangan penduduk Malaysia kerana mereka merupakan antara golongan terawal yang membuka kampung-kampung di Pahang, Perak, Kedah dan Johor.

“Jasa mereka dalam membangunkan negara kita amat banyak. Antara nama-nama daripada masyarakat Kampar yang masyhur selain Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Ali Alauddin Shah termasuk pahlawan Pahang, Datuk Bahaman,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi warga emas yang merupakan antara penduduk tetap di Kampung Baru, Abdul Latif Abdul Hamid, 80, berkongsi cerita, identiti masyarakat Kampar dapat diketahui melalui dialek percakapan harian.

Sebagai contoh, pertuturan Kampar: kojap lagi wakdan nio pai pokan sari untuok car lawok (kejap lagi saya nak pergi pasar sehari untuk mencari lauk).

Jelasnya, bunyi pertuturan masyarakat Kampar mirip orang minang di Negeri Sembilan namun, lenggok bahasanya lebih santai.

“Kehidupan masyarakat Kampar juga hampir sama dengan orang Melayu di Parit. Tradisi yang kami bawa sehingga kini antaranya bermain caklempong semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dan majlis perkahwinan.

Tradisi

“Selain itu, kebanyakan tiang di hadapan rumah penduduk masyarakat Kampar di sini dibina tinggi berikutan berlaku banjir besar pada tahun 1920-an di kawasan ini,” ujar Abdul Latif yang merupakan pengusaha barangan plastik di pekan Parit.

Selain itu, tinjauan Kosmo! di dua lokasi utama untuk berniaga di pekan Parit iaitu Bazar Cempakasari dan Bazar Kamri mendapati 70 peratus aktiviti perniagaan di situ didominasi oleh peniaga masyarakat Kampar.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Samsidar Md. Ali, 57, memberitahu, dia membesar di kampung tersebut sejak lahir dan masih bertutur bahasa Kampar dalam perbualan seharian.

Jelasnya, dia dilatih oleh ibu bapanya untuk terus bertutur bahasa tersebut terutamanya sewaktu bersama keluarga.

“Semasa bersekolah rendah, saya banyak mendengar cerita jiran-jiran bahawa penduduk di sini tidak dibenarkan berkahwin dengan pasangan selain masyarakat Kampar.

“Banyak keluarga yang mengikut tradisi itu pada masa lepas namun, semakin lama ia terus dilupakan terutamanya apabila anak-anak belajar dan merantau di negeri lain,” katanya.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 47