VARIA

Sulawesi Utara optimis tarik ramai pelancong

Sulawesi Utara optimis tarik ramai pelancong

Laut yang jernih dan pemandangan gunung mampu menarik ramai pelancong.


Dalam usaha menarik sekurang-kurangnya 12 juta pelancong asing termasuk 2.4 juta daripada China, beberapa daerah di Indonesia membuat pelbagai persiapan untuk menghadapi situasi itu.

Aktiviti promosi yang dilakukan oleh pemerintah Indonesia di China juga mendorong kepada peningkatan bilangan pelancong dari negara republik itu untuk melawat destinasi-destinasi pelancongan terkenal terutamanya di Sulawesi Utara.

Antara lokasi pelancongan menarik di wilayah itu ialah Danau Tondano, Pulau Bunaken, Bukit Kasih Kanonang, Bukit Doa Tomohon, Pulau Siladen, Danau Linow, Pulau Lihaga, Gunung Api Mahangetang, Taman Nasional Tangkoko dan Taman Laut Tambak.

Mengikut rekod, pelancong dari China mencatat sebanyak 28.15 peratus daripada jumlah keseluruhan 1.81 juta pelancong asing yang mengunjungi Bali dalam tempoh bermula Januari hingga April lalu.

Jumlah pelancong dari China di Sulawesi Utara juga mencatat peningkatan mendadak sehingga lima kali ganda pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sepanjang Januari hingga Mac lalu, Sulawesi Utara menerima kedatangan pelancong asing seramai 17,335 orang yang kebanyakannya terdiri daripada warga China berbanding 3,467 orang bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Pada bulan Mac lalu sahaja, seramai 3,889 pelancong dari China atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong asing berkunjung ke Sulawesi Utara direkodkan.

Pelancong dari China turut mencatat jumlah tertinggi di Sulawesi Utara pada April lalu.

“Pada April lalu, pelancong rakyat China seramai 4,477 orang atau 72.84 peratus daripada jumlah keseluruhan pelawat di Sulawesi Utara,” kata Ketua Statistik Sulawesi Utara, Moh Edy Mahmud di Manado baru-baru ini.

Penerbangan


Pelancong mengecapi ketenangan di Danau Linow.


Sulawesi Utara turut menerima kedatangan pelancong dari Singapura, Jerman, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.

Jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Sulawesi Utara pada April lalu turut meningkat sebanyak 312.82 peratus berbanding seramai 1,427 pelancong dalam tempoh sama tahun lepas.

Pelancong dari Singapura mencatat jumlah kedua tertinggi ke wilayah berkenaan dengan seramai 201 orang, diikuti Jerman (169 orang) dan Britain (119 orang).

Sulawesi Utara turut menerima seramai 117 pelancong dari AS, Australia (108 orang), Malaysia (76 orang), Jepun (65 orang), Perancis (45 orang) dan Belanda (38 orang).

Selain daripada promosi pelancongan yang giat dilaksanakan, peningkatan jumlah tersebut turut didorong oleh faktor penerbangan harian antara Manado iaitu ibu negara Wilayah Sulawesi Utara dan China serta penerbangan-penerbangan carter.

Penerbangan terus menghubungkan Manado ke bandar China dijangka bertambah memandangkan ramai pelancong dari negara republik tersebut berminat untuk melawat wilayah berkenaan.

“Penerbangan carter sebanyak dua kali seminggu bagi perjalanan pergi balik dari Wuhan bermula Jun lalu,” kata Ketua Bahagian Komunikasi dan Perundangan dan Komunikasi Angkasa Pura di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi, Yuristo Ardhi.

Katanya, syarikat penerbangan Lion Air juga akan beroperasi tiga kali seminggu bagi perjalanan ke Baiyun, Guangzhou di China manakala Citilink pula melaksanakan penerbangan terus di laluan Manado-Fuzhou sebanyak dua kali seminggu.

“Sehubungan itu, kami akan menyediakan ruang untuk menampung kedatangan pelancong dari China bagi memastikan keselesaan mereka,” katanya.

Sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa, Sam Ratulangi mampu untuk menampung pelancong asing dan tempatan.

Landasan kapal terbang dan kemudahan-kemudahan lain juga bersedia untuk mengendalikan pesawat besar serta kecil.

“Kami sudah melakukan penambahbaikan bagi memastikan penumpang di lapangan terbang berada dalam keadaan selesa,” ujar Yuristo.

Baru-baru ini, Gabenor Sulawesi Utara, Olly Dondokambey berkata, infrastruktur di destinasi-destinasi tarikan pelancong di wilayah berkenaan akan dibangunkan dan ditambah baik.

Semula jadi


Gunung Api Mahangetang dasar laut menjadikan Sulawesi Utara terkenal di seluruh dunia.


Wilayah yang terletak di Pulau Sulawesi itu diharap dapat menarik lebih ramai pelancong dari China untuk melawat kawasan sekitarnya.

Selain laut dan hidangan yang lazat, wilayah berkenaan turut menawarkan pelbagai panorama semula jadi seperti pantai, bukit dan gunung berapi.

Pemandangan indah dan kepelbagaian biodiversiti di Taman Negara Marin Bunaken yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Manado juga merupakan salah satu destinasi pelancongan terkenal di wilayah tersebut.

Taman itu juga tercatat dalam senarai Tapak Warisan Alam Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kawasan itu mempunyai pelbagai hidupan laut yang mengagumkan seperti 70 terumbu karang, lima spesies penyu laut, jerung terumbu karang putih dan hitam, dugong yang hampir pupus serta barakuda.

Bagi pencinta makanan pula, Manado boleh menjadi destinasi ideal untuk dikunjungi kerana wilayah itu menyediakan masakan tradisional Indonesia terkenal seperti ayam pedas Rica-rica dan ikan Roa Rica-rica serta Klapertart sebagai pencuci mulut.

Setakat ini, pelancong dari China hanya melawat lima destinasi di wilayah tersebut iaitu Manado, Tomohon, Bitung, Minahasa dan Minahasa Utara.

Pihak pentadbiran tempatan kini dalam usaha membangunkan destinasi baharu untuk meningkatkan kehadiran pelancong asing di wilayah lain seperti Sitaro, Sangihe dan Kepulauan Talaud kerana pantainya yang indah dengan air laut sejernih kristal.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 47