RENCANA UTAMA

Pasar tertua Singapura lahirkan taikun perniagaan

Pasar tertua Singapura lahirkan taikun perniagaan

Pasar lambak Sungei Road beroperasi di atas sebatang jalan sepanjang 200 meter.


PADA hari itu, pasar lambak Sungei Road, Rachor, Singapura tidak seperti hari-hari lainnya. Pasar jualan yang sering dihiasi dengan hiruk-pikuk ratusan penjaja dan pengunjung itu bertukar sepi.

Hanya sekitar 50 penjaja yang beroperasi pada hari tersebut berbanding 200 sebelum ini. Barang-barang jualan yang sering dilonggokkan di atas jalan raya sepanjang 300 meter itu juga tidak banyak seperti biasa.

Wajah para penjaja pula kelihatan sugul. Beberapa penjaja dilihat mengedarkan kad perniagaan kepada pelanggan setia mereka.

Kad perniagaan tersebut tertera nama, alamat dan nombor telefon gerai baharu mereka. Itulah sebahagian daripada suasana yang menyelubungi kawasan pasar lambak Sungei Road pada 10 Julai lalu.

Hari tersebut merupakan detik akhir buat pasar terbesar dan tertua di negara republik itu selepas hampir 80 tahun beroperasi di situ.

Pada Februari lalu, pihak pemerintah telah mengumumkan pasar tersebut akan ditutup untuk memberi laluan projek perumahan masa depan di kawasan tersebut.

Sebelum ini, tapak Sungei Road telah dikurangkan kepada separuh saiznya untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen Mass Rapid Transit (MRT) Sungei Road.

Pasar yang turut dikenali sebagai pasar pencuri dan Robinson petang sering menjadi tumpuan para pelancong, pekerja asing dan penduduk tempatan pada hujung minggu.

Pasar tersebut merupakan destinasi paling ideal untuk membeli cenderamata, barangan harian dan barang terpakai pada harga berpatutan.

Kepada salah seorang penjaja, Chin Kin Bon, 70, dia berasa seperti satu kehilangan sesuatu selepas menjaja di situ sejak dua dekad lalu.

“Setelah berada di sini sejak sekian lama, sudah tentu saya sangat sedih kerana terpaksa berpindah ke tempat baharu.

“Di sini (Sungei Road) adalah tempat perniagaan yang baik kerana anda boleh berniaga tanpa perlu membayar sewa,” katanya yang menjaja barangan seperti pasu, gelang manik dan mangkuk.

Sewaktu zaman kemuncaknya, Sungei Road pernah menjadi saksi kepada kemunculan dua taikun perniagaan terkenal di Singapura iaitu Koh Sim dan Pang Lim.

Bekalan


KEBANYAKAN penjaja di pasar lambak Sungei Road dipindahkan ke Golden Mile Food Centre.


Koh Sim yang memiliki syarikat pemaju pembangunan bermula dengan menjaja barangan terpakai di Sungei Road sekitar tahun 1930-an. Beliau mendapatkan bekalan barangan terpakai dari pangkalan British di Sembawang.

Berbeza pula dengan pengasas rantaian kedai makan Koufu, Pang Lim, dia pernah menjaja buah-buahan secara haram di pasar tersebut sekitar tahun 1970-an.

Begitupun, pihak pemerintah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini menegaskan, aktiviti jualan seperti di Sungei Road tidak lagi dibenarkan.

Aktiviti sedemikian hanya boleh dilakukan dalam pameran perdagangan dan pasar lambak yang tidak beroperasi secara tetap. Langkah tersebut bagi mengurangkan kes-kes penipuan terhadap pengguna.

Hal ini kerana pasar Sungei Road beroperasi secara bebas sehingga membolehkan penjaja menjual barangan curi, diseludup dan haram.

Murah


PELBAGAI barangan antik boleh diperoleh di pasar Sungei Road pada harga berpatutan.


Begitupun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para penjaja dan peniaga telah beralih kepada jualan barangan kegunaan harian, barang antik, peralatan elektrik dan telefon pintar terpakai.

Salah seorang pengunjung setia pasar lambak Sungei Road, Tengku Rollharry memberitahu, pasar tersebut memberi peluang kepadanya membeli pelbagai barangan yang sukar ditemui pada harga murah.

Jelasnya, detik paling diingati di Sungei Road ialah hubungan mesra yang terjalin bersama beberapa penjaja di situ.

“Sudah pasti saya akan merindui Sungei Road selepas hampir tujuh tahun mencari barang di sini. Saya akan merindui mereka (peniaga).

“Saya rindukan gelak tawa dan lawak jenaka mereka. Saya juga akan kehilangan tempat membeli barang pada harga sangat murah,” ujarnya.

Seminggu sebelum penutupan pasar tersebut, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah memindahkan penjaja Sungei Road ke gerai berkunci di Pasar Chinatown dan Golden Mile Food Centre.

Pengumuman itu dibuat setelah persatuan penjaja pasar lambak tersebut mendesak pihak pemerintah menyediakan tempat alternatif kepada penjaja.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati kerana para penjaja sudah ada tempat untuk berniaga. Saya harap tempat baharu ini akan berjaya.

“Sekurang-kurangnya kami sudah mencuba,” ujar Pengerusi Persatuan Barangan Terpakai dan Kitar Semula, Koh Eng Khoon.

Eng Khoon yang mengambil masa selama sebulan untuk mencari tempat baharu menambah, seramai 90 daripada 200 pemilik gerai sudah berpindah ke gerai baharu.

Pihak persatuan menjangkakan kos sewa di tempat baharu sekitar S$5 (RM16) sehari bagi setiap gerai. Sebelum itu, para pemilik gerai perlu membayar deposit keselamatan sebanyak S$100 (RM311).

“Deposit ini tidak akan dikembalikan sekiranya pemilik gerai melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh pemilik kedai ialah tidak membuang sampah merata-rata dan menjual barangan haram,” katanya.

Salah seorang penjaja generasi pertama di Sungei Road yang berpindah ke Pasar Chinatown, Tang Kong Yuen memberitahu, sejak berpindah ke situ dua minggu lalu, dia masih gagal membuat jualan seperti yang diharapkan.

“Di Sungei Road, saya boleh mendapat kira-kira S$50 (RM156) hingga S$60 (RM187) sehari tanpa perlu bersengkang mata.

“Keuntungan di sini tidak dapat menampung perbelanjaan secawan kopi saya pada setiap hari,” ujar Kong Yuen yang menjual batu permata, peralatan elektrik dan telefon bimbit terpakai.

Tambah lelaki berusia 90 tahun itu ada pihak yang memintanya membuat promosi besar-besaran bagi menarik perhatian pelanggan di Pasar Chinatown.

Begitupun, bapa kepada lima cahaya mata itu menganggap usaha tersebut tidak akan berjaya dan hanya sia-sia kerana di situ tidak ada pengunjung.

“Saya sudah membelanjakan S$450 (RM1,400) untuk membeli kabinet cermin ini. Saya tidak mahu membelanjakan wang lagi. Ia hanya merugikan saya,” ujarnya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31