PESONA

Pujuk hati supaya bersyukur

Pujuk hati supaya bersyukur


PUPUK diri supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat berterusan yang Allah berikan kepada manusia. – Gambar hiasan


BERSYUKUR adalah sifat yang sangat terpuji. Namun, ia tidak semudah yang disangkakan. Hanya orang beriman dengan iman yang sempurna mampu bersyukur dengan apa juga keadaan.

Sememangnya mudah untuk kita bersyukur atas apa yang kita suka tetapi bukan mudah untuk kita bersyukur atas apa yang kita tidak suka.

Sedangkan Allah SWT berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

Syukur adalah syarat utama untuk rahmat atau nikmat Allah berterusan ke atas kita. Seperti mana dalam hubungan sesama manusia, kita amat memahami bahawa suatu penghargaan atau anugerah ke atas seseorang hanya diberi apabila terma dan syarat tertentu dipenuhi, maka begitu juga dalam hubungan manusia dengan pencipta-Nya.

Apabila kita bersyukur, maka nikmat ke atas kita akan berterusan. Sebaliknya, ketidaksyukuran akan membawa kepada ketiadaan rahmat dan nikmat ke atas kita. Syarat ini perlu diamati sebaik mungkin.

Apabila seseorang itu hanya mengharapkan nikmat terlebih dahulu dan kemudiannya bersyukur, maka ia merupakan satu kesilapan yang besar.

Ini kerana kelewatan untuk bersyukur akan menyebabkan lewatnya nikmat. Bahkan, ditakuti ancaman azab Allah pula yang lebih dekat menanti kerana lawan perkataan syukur adalah kufur (ingkar).

Allah berfirman: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim: 7).

Ilmu Allah

Jadi, bagaimana seharusnya kita bersyukur? Adakah cukup sekadar kita mengucapkan Alhamdulillah (segala pujian hanya untuk Allah), yang mana ini pun kadangkala sukar untuk diungkapkan lebih-lebih lagi apabila apa yang kita hajatkan, terjadi sebaliknya.

Sedangkan apa yang berlaku itu, sewajarnya juga kita memuji Allah kerana itu adalah terbaik buat kita yang tidak mengerti apa-apa berbanding keluasan ilmu Allah.

Begitupun, sebahagian ulama mengatakan kesyukuran yang sebenar adalah apabila tiga keadaan berlaku serentak, di mana apabila lidah kita mula memuji Allah, membenarkan dengan hati apa yang berlaku (semuanya datang daripada Allah) dan kemudiannya menzahirkan amalan yang bertepatan dengan kehendak Allah pada ketika itu.

Hal ini bermakna respons dalam bentuk amalan yang selari dengan ungkapan lidah dan hati (tasdiq) ke atas apa yang berlaku adalah cara bersyukur dalam erti kata yang sebenar.

Dalam al-Quran, terdapat perintah supaya memohon pertolongan dengan sabar dan solat seperti mana dalam ayat 45, surah al-Baqarah: “Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya ia adalah benar-benar berat kecuali ke atas orang-orang yang khusyuk.”

Sabar di sini bukan bermaksud kita berdiam diri tetapi menghindarkan diri daripada melakukan dosa terhadap Allah pada masa itu (termasuk reda dengan ketentuan yang berlaku walaupun setelah ikhtiar dilakukan).

Pada masa yang sama, menyemak kembali apakah amalan kita yang telah silap pada masa lalu dan berusaha memperbaikinya. Kemudian, bermunajat kepada Allah menerusi solat.

Oleh sebab itu, keadaan hati yang bersyukur dalam erti kata yang sebenar tidak akan datang pada seseorang yang tidak berusaha untuk menjernihkan hatinya.

Hati yang jernih adalah hati yang menyakini keagungan rab-Nya, sehingga ia berbaik sangka (husnuzon) terhadap-Nya, lalu bersyukur dengan apa yang ditentukan-Nya.

Process time in ms: 94