PESONA

Impian Umar naik jentera bomba terlaksana

Impian Umar naik jentera bomba terlaksana


UMAR(kiri) kelihatan terkejut ketika dibawa menaiki jentera bomba.


“BUAT abang bomba... boleh tak Umar nak naik jentera bomba. Tolonglah abang bomba.” Itulah yang dikatakan Umar Mujahid, 2, kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi video berdurasi 60 saat yang dimuat naik ibunya ke laman Instagram dan Facebook.

Video itu mendapat perhatian ramai selepas keletah kanak-kanak tersebut merayu kepada ibunya untuk menaiki jentera bomba menjadi tular di media sosial. Kini, video itu telah ditonton lebih 200,000 penonton.

Menerusi video itu, Umar kelihatan merengek-rengek dan menangis kepada ibunya, Umi Hazlin Abd. Aziz, 30, untuk membawanya menaiki kenderaan bomba, namun tidak kesampaian.

Bagaimanapun, oleh kerana tidak mahu menghampakan anaknya, pada saat ke-39 video itu, Umi Hazlin membenarkan anak tunggalnya itu menyampaikan sendiri hasrat tersebut kepada pasukan bomba.

Umar dengan spontan merayu agak pihak bomba dapat membenarkannya menaiki kenderaan itu.

Menurut Umi Hazlin, dia tidak sangka hasrat anaknya menjadi kenyataan selepas mendapat panggilan telefon daripada Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khirudin Drahman beberapa hari sebelum Syawal.

“Saya terkejut apabila Pengarah sendiri yang menelefon. Pada mulanya, saya tak percaya. Boleh ke Umar naik jentera bomba.

“Namun, selepas diyakinkan barulah saya percaya. Kini impian Umar menjadi kenyataan. Bukan sahaja dia gembira tetapi saya pun teruja,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Program Khas Peminat Cilik Pasukan Bomba di Balai Bomba Hang Tuah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Umi Hazlin, anaknya itu mula meminati bomba sejak berusia setahun, hasil pengaruh sepupu-sepupunya.

Pendedahan asas


KIRA-KIRA 20 orang kanak-kanak diraikan pada Program Khas Peminat Cilik Pasukan Bomba di Balai Bomba Hang Tuah, Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Sejak meminati bomba, apa sahaja yang berlaku di sekeliling akan dikaitkan dengan bomba. Misalnya jika Umar terjatuh, dia bukan mahu ke klinik tetapi akan cepat-cepat menyuruh saya menelefon bomba.

“Setiap kali mandi pula, pancuran paip akan dijadikan hos seperti bomba memadamkan kebakaran,” katanya sambil ketawa.

Kini, hasrat dan impian Umar terlaksana. Pada 1 Julai lalu, JBPM Kuala Lumpur mengadakan Program Khas Peminat Cilik Pasukan Bomba bagi meraikan Umar dan saudara-maranya yang lain.

Menurut Khirudin, dia melihat video itu selepas dihantar oleh salah seorang rakan media.

“Selepas melihat keletah Umar, saya berasakan apa salahnya merealisasikan impian kanak-kanak ini.


Kanak-kanak cilik berpeluang mengetahui tugas-tugas yang dilakukan oleh ahli bomba di Pusat Pembelajaran Komuniti Balai Bomba Hang Tuah, Kuala Lumpur.


“Lagi pun, di cawangan bomba ini memang mempunyai Pusat Pembelajaran Komuniti yang tujuannya untuk mendidik kanak-kanak tentang pendedahan kebakaran peringkat asas,” jelasnya.

Pada acara itu, seramai 20 orang kanak-kanak diraikan dengan pelbagai pengetahuan dan aktiviti yang menghiburkan. Mereka juga diberi peluang menyarung pakaian seragam bomba.

Acara dimulakan dengan penerangan tentang tugas-tugas bomba, kemudian diikuti dengan pembelajaran awam melalui montaj yang disediakan.

Selepas itu, terdapat permainan dam yang memerlukan kanak-kanak itu baring, bergolek dan menyelamatkan diri sama seperti tugas bomba.

Mereka yang berusia 11 tahun ke bawah kelihatan girang melakukan aktiviti itu.

Acara kemuncak pada hari itu adalah simulasi kebakaran dengan menaiki jentera bomba sambil dipasang siren kecemasan.

Kanak-kanak itu dibawa menaiki kenderaan berkenaan menuju ke jalan raya.

“Melalui pendedahan seperti ini, kami dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada kanak-kanak mengenai pengetahuan asas mengelak kebakaran sejak kecil.

“Pada tahun 2015, kira-kira 40 peratus kebakaran melibatkan kanak-kanak dan angka itu amat tinggi. Jika pendedahan seperti jangan bermain mancis diajar, lama-kelamaan mereka akan mudah faham dan menjadikan ia budaya,” kata Khirudin.

Process time in ms: 47