PESONA

Uji kreativiti gubah bunga, ranting, daun

Uji kreativiti gubah bunga, ranting, daun

Bengkel gubahan bunga ikebana yang diadakan di Tokyo Street, Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peserta lelaki.


SIAPA sangka dengan menggunakan beberapa dahan pokok, daun dan bunga di halaman rumah anda mampu menghasilkan gubahan hiasan yang cantik dan menarik.

Berbeza dengan gubahan biasa yang mementingkan bunga yang berwarna-warni, seni gubahan dari Jepun yang dikenali sebagai ikebana tidak memfokuskan kepada kecantikan bunga semata-mata.

Sebaliknya, dengan hanya menyusun beberapa bunga, dahan, daun serta rumput ke dalam bekas bunga yang unik ataupun bekas kitar semula, kreativiti pada bunga-bungaan mampu menghasilkan gubahan yang menawan.

Seorang peminat bunga hiasan, Pek Ee Siew, 35, berkata, walaupun tidak menggunakan bunga yang banyak atau terlalu berwarna-warni, gubahan tersebut mampu menyerikan kediaman sekali gus menyejukkan pandangan mata.

“Seni gubahan ikebana ternyata jauh berbeza dengan gubahan bunga yang biasa kita lihat.

“Ilmu seni gubah yang dipelajari dalam setiap bengkel berbeza-beza. Melaluinya, idea gubahan ikebana yang baharu dapat dihasilkan peserta,” katanya yang ditemui Kosmo! pada bengkel dan pameran Ikenobo Ikebana di Tokyo Street, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, ikebana menguji kreativiti penggubah melalui penggunaan ranting, daun dan bunga dalam sebuah bekas. Jika kena pada konsepnya, hasil gubahan mampu membuatkan seseorang yang memandangnya tersentuh perasaan.

“Keserasian antara penggubah bunga dan bahan yang digubah sangat penting. Aspek itu mewujudkan kesesuaian agar gubahan yang disiapkan itu menepati kehendak,” kata wanita yang berasal dari Bangsar, Kuala Lumpur itu.

Menurut Ee Siew, negara ini terdapat banyak sumber bunga tropika yang cantik dan berwarna-warni untuk digunakan dalam gubahan ikebana.

“Oleh itu, saya rasa tidak salah jika kita menggunakan kekayaan alam semula jadi seperti bunga orkid dan daun pandan bagi mencipta hasil gubahan ikebana yang unik.

Bunga hidup


Senko (kanan) bersama pembantunya menunjukkan demonstrasi gubahan bunga ikebana.


“Satu lagi keunikan ikebana ialah ia tidak boleh menggunakan bunga tiruan. Ikebana hanya menggunakan bunga hidup dan seelok-eloknya yang ditanam sendiri di sekitar rumah bagi menambah nilai keistimewaannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta, John Oh, 35, berkata, walaupun berlainan jantina ia tidak menghalang dirinya untuk menyertai bengkel berkenaan.

“Saya melihat bengkel yang diadakan ini dari sudut positif, kerana semua orang boleh melakukan perkara yang sama seperti dilakukan oleh golongan wanita.

“Jadi, saya ambil peluang ini untuk belajar cara-cara mengubah hiasan bunga mengikut kaedah ikebana dan membuatnya sendiri di rumah,” katanya.

Tambah pemuda itu, gubahan ikebana menggunakan bahan yang mudah didapati. Semakin ringkas sesebuah gubahan itu, ia dilihat lebih cantik dan menarik.

“Gubahan ikebana pula ternyata amat berbeza dengan gubahan bunga Inggeris. Gubahan bunga Inggeris menggunakan terlalu banyak bunga sehingga hilang keindahan dan keunikan sesuatu jenis bunga itu.

Sebaliknya, gubahan ikebana hanya menggunakan satu atau dua kuntum bunga dengan sedikit daun dan ranting. Dari situlah seseorang dapat menilai dan menghargai secara khusus tentang betapa indahnya bunga dan daun tersebut,” ujarnya.

Jalinan alam


Mirza (dua dari kanan) bersama Senko dan Sooi Keng pada pameran Ikenobo Ikebana di Tokyo Street, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sementara itu, Pengetua Ikenobo Jepun, Senko Ikenobo, berkata, ikebana merupakan seni gubahan bunga dari Jepun yang sudah berusia lebih 550 tahun.

Menurutnya, ikebana mementingkan jalinan alam semula jadi dengan konsep kemanusiaan selain mementingkan hasil garisan serta bentuk.

“Ikebana dipercayai berasal daripada tradisi mempersembahkan bunga pada upacara keagamaan Buddha dan berkembang selari dengan perkembangan agama tersebut sebelum diajar secara meluas kepada seluruh masyarakat di Negara Matahari Terbit itu,” katanya.

Tambah beliau, bahan-bahan untuk ikebana sebenarnya mudah diperoleh di pekarangan rumah, taman bunga, kebun, kawasan kampung atau dalam hutan.

Ikebana tidak memerlukan bunga pelbagai jenis dan warna. Sebaliknya, lalang, lidi, ranting kayu, akar dan pucuk daun kelapa juga boleh dijadikan bahan bagi menghasilkan gubahan yang penuh pengertian.

“Paling utama dalam gubahan ini, seseorang itu perlu mententeramkan minda dan menikmati proses menggubah berdasarkan perasaannya,” ujarnya.

Jelasnya lagi, terdapat bermacam-macam jenis ikebana di dunia ini dan setiap satunya mempunyai kaedah tersendiri.

“Mereka yang belajar mengenai ikebana mengetahui bahawa ia adalah suatu keraian dalam kehidupan. Jika diteliti secara halus, pada gubahan itu boleh tergambar keindahan landskap, gunung-ganang dan sungai-sungai,” tuturnya.

Menurut Presiden Ikenobo Malaysia, Too Sooi Keng, pula, ikebana berkait rapat tentang hubungan manusia dengan alam semula jadi.

Realitinya, kehidupan setiap orang dikelilingi flora dan fauna dan ia membawa maksud tertentu yang begitu mendalam.

“Gubahan ikebana pasti menghiasi rumah orang Jepun dan diletakkan pada tempat tertentu. Tetamu yang datang dapat menikmati gubahan itu dari mana-mana sudut pandangan mereka.

“Benda penting dan pertama yang dilihat oleh tetamu dalam sesebuah rumah ialah bekas gubahan ikebana itu sendiri,” katanya.

Sooi Keng memberitahu, terdapat tiga gaya dalam gubahan ikebana iaitu rikka, shoka dan jiyuka.

Rikka merupakan gaya tradisional yang banyak digunakan dalam perayaan keagamaan. Gaya ini menampilkan keindahan landskap tanaman sekitar awal abad ke-16.

Shoka pula rangkaian ikebana yang tidak terlalu formal namun masih mengekalkan ciri tradisional. Tumpuan diberikan kepada pengekalan bentuk asal tumbuh-tumbuhan.

Sementara jiyuka pula merupakan rangkaian gubahan yang bersifat bebas mengikut kreativiti dan imaginasi pengubahnya.

“Gaya jiyuka lebih terkenal selepas Perang Dunia Kedua. Ia turut menggunakan bahan-bahan asas seperti kawat, logam dan batu,” ujar Sooi Keng lagi.

Hari ini, ikebana dilihat sebagai seni gubahan bunga ala Timur dan bukan sekadar warisan budaya Jepun. Lebih membanggakan, seni unik itu telah berkembang di seluruh dunia.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 16