HORIZON

Rentapan ‘si sepit biru’ jadi igauan

Rentapan ‘si sepit biru’ jadi igauan

KMUGKS boleh memuatkan seramai 20 orang pemancing pada satu-satu masa.


remaja berusia 13 tahun itu melihat jam tangan yang dipakainya. Apabila jam tepat menunjukkan pukul 2.45 petang, Muhammad Syakir Saad segera meminta izin daripada kedua-dua ibu bapanya untuk keluar rumah.

Dia sudah tidak sabar lagi untuk melakukan aktiviti kegemarannya. Tambahan pula, pada hari itu, sekolahnya masih bercuti.

Berbekalkan wang tunai sebanyak RM40, dia berjalan menuju ke Kolam Memancing Udang Galah Kampung Subang (KMUGKS), Kampung Melayu Subang, Selangor yang terletak 200 meter (m) dari rumahnya.

Setibanya Muhammad Syakir di situ, kolam tersebut masih lengang kerana ia baru mula beroperasi pada pukul 3 petang.

Dia terus mendaftarkan diri di kaunter sebelum dibekalkan joran, mata kail dan umpan oleh penjaga kolam berkenaan.

“Hari ini, saya menjadi orang pertama yang berkunjung ke sini. Saya sengaja datang awal kerana peluang untuk mendapat udang lebih tinggi.

“Ini disebabkan ketika itu tiada pemancing lain yang boleh menjadi pesaing selain udang tengah lapar,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Mula dibuka pada April tahun lalu, kolam tersebut menawarkan kepada kaki pancing peluang memancing dan membawa pulang udang galah.

Udang galah atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii merupakan sejenis udang air tawar. Ia boleh didapati di sungai-sungai utama di seluruh negara.

Tambah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Subang itu, memancing udang galah sangat mudah dan tidak memerlukan kemahiran mengendalikan joran yang tinggi.

Jelasnya, pemancing hanya perlu memasang umpan berupa umpun-umpun pada mata kail sebelum melepaskannya ke dalam kolam.

Sepanjang waktu menunggu, pemancing perlu memerhatikan kedudukan pelampung yang dipasang pada tali tangsi. Jika ia tenggelam, maknanya umpan telah dimakan oleh udang.

“Pada pendapat saya, memancing udang galah ini jauh lebih mudah daripada ikan. Namun, pemancing perlu ada tahap kesabaran yang tinggi.

“Kadang-kadang, ada hari kita tidak dapat seekor pun udang, sedangkan orang lain tidak henti-henti dapat. Ia sangat bergantung kepada faktor nasib,” katanya.

Puas


Azhar menunjukkan saiz udang galah yang terdapat dalam kolam miliknya.


Remaja berkulit sawo matang itu menambah, saat ditunggu-tunggu ketika memancing udang galah adalah ketika umpan direntap oleh udang.

Jelas Muhammmad Syakir, walaupun rentapan udang galah tidak sekuat ikan, namun ia sudah cukup membuatkan kaki pancing sepertinya berasa puas dan ketagih.

Sementara itu pemilik KMUGKS, Azhar Misbah, 53, berkata, dia tidak menyangka sama sekali kolam udang galah miliknya mendapat sambutan menggalakkan daripada kaki pancing.

Katanya, sejak dibuka, kolamnya tidak pernah sunyi daripada kunjungan pemancing terutamanya dari sekitar Lembah Klang.

“Setiap hari dianggarkan 20 hingga 50 orang akan berkunjung ke kolam ini. Jumlah ini akan meningkat pada hujung minggu dan cuti umum.

“Kebanyakan pengunjung di sini terdiri daripada kaki pancing dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Ada juga yang datang dari Negeri Sembilan dan Kedah,” katanya.

Menurut Azhar, KMUGKS beroperasi di sebuah premis yang menempatkan kolam berukuran 6 x 9 meter persegi dengan kedalaman 1.3m.

Tambah udang


UDANG galah masak lemak cili api merupakan menu paling popular dalam kalangan kaki pancing. – Gambar hiasan


Jelas pesara syarikat insurans itu, kolam tersebut mampu memuatkan sehingga 20 orang pemancing pada satu-satu masa.

“Semakin ramai pemancing semakin banyak udang galah yang perlu diletakkan di dalam kolam. Langkah ini bagi memastikan kepuasan para pengunjung.

“Biasanya, saya akan menambah udang galah setiap satu jam ke dalam kolam. Berat udang yang ditambah bergantung kepada jumlah pemancing pada ketika itu,” terangnya.

Menariknya, KMUGKS menyediakan kemudahan joran secara percuma kepada pemancing dan umpan berupa umpun-umpun dengan harga serendah RM5. Pemancing juga boleh menambah umpan secara percuma sekiranya habis.

Kolam tersebut turut dilengkapi kemudahan seperti surau, parkir, kerusi, penimbang dan kafe yang menjual aneka minuman kepada pemancing.

Ujar Azhar, udang galah yang diletakkan dalam kolam tersebut merupakan gred B dan C. Bagi gred B berat udang adalah sekitar 80 hingga 100 gram (g) manakala gred C adalah 80g ke bawah.

“Kebanyakan pemancing akan membawa pulang hasil tangkapan untuk dimakan, dibela dan dijual kepada restoran-restoran mewah,” katanya.

Mengimbau kembali idea pembukaan KMUGKS, Azhar memaklumkan, ia didorong oleh anak saudaranya yang mengusahakan pembenihan udang galah.

Situasi tersebut memberi keyakinan kepadanya untuk membuka kolam memancing kerana bekalan stok udang galah sentiasa terjamin.

“Benih udang galah ini dijual kepada penternak dan saya beli semula apabila mencapai usia matang iaitu enam bulan.

“Begitupun, saya sentiasa mencari pembekal baharu untuk mendapatkan udang galah bersaiz besar atau dipanggil jenggo bagi kepuasan pemancing,” tuturnya.

Selesa


Umpan umpun-umpun digunakan untuk memancing udang galah.


Salah seorang pengunjung, Muhammad Fairuz Abd. Rashid, 28 berkata, dia memilih kolam tersebut sebagai destinasi memancing disebabkan suasananya yang selesa dan bersih.

Dia yang menetap di ibu kota menambah, kolam tersebut juga membuka peluang kepadanya memahirkan diri dengan teknik memancing udang galah.

“Pemilik kolam ini sangat ramah dan tidak lokek berkongsi ilmu. Di sini juga saya dapat menambah kenalan serta berkongsi ilmu dan pengalaman bersama pemancing-pemancing lain,” ujarnya.

Jelas Muhammad Fairuz yang merupakan seorang anggota penguat kuasa, dia sering berkunjung ke kolam tersebut ketika hujung minggu.

Katanya, selain dapat mengisi masa lapang dan menghilangkan tekanan kerja, aktiviti tersebut juga mendatangkan hasil yang sangat berbaloi.

“Pernah satu ketika, saya berjaya membawa pulang hampir 10 ekor udang galah selepas memancing selama dua jam di kolam ini.

“Saya akan membawa pulang hasil tangkapan untuk dijadikan santapan bersama keluarga. Biasanya, isteri akan memasak hidangan udang galah masak lemak cili api,” katanya.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 15