STAILO

Inspirasi rona kuning

Inspirasi rona kuning


WARNA kuning menyerlahkan gaya dan penampilan individu.


RONA kuning adalah antara trend musim bunga dan panas 2017 yang paling terang serta menyerlah. Seperti juga ungu, kuning adalah warna yang perlu digayakan dengan hati-hati. Untuk hasil terbaik, ia perlu padankan dengan rona neutral seperti putih, biru, kelabu, kuning air dan arang.

Perlu diingatkan, jika tidak kena gaya, rona kuning boleh kelihatan terlalu terang atau menyilaukan.

Paling penting adalah untuk mencari warna kuning yang tidak menampakkan tona kulit kita pucat dan tidak bermaya terutamanya bagi mereka yang berkulit cerah.

Mereka yang berkulit gelap amat beruntung kerana boleh menggayakan variasi daripada rona kuning tepung jagung hingga kuning burung kenari.

Lelaki berkulit pucat pula dinasihatkan untuk mencuba rona kuning gelap seperti mustard dan perang. Ia pasti dapat menaikkan seri warna kulit. Apapun, anda bebas untuk bereksperimentasi dan memilih rona kuning yang terbaik.

Pakaian kasual seperti kemeja polo kapas, kemeja-T, jumper dan seluar pendek nampak hebat serta cukup versatil digayakan dalam warna kuning terutamanya apabila digabungkan dengan variasi rona biru.

Bagi gaya urban, lengkapkan penampilan dengan kasut latihan (trainer)dan denim rona gelap manakala untuk gaya berani, padankan rona kuning anda dengan satu rona lain sebagai penyeri.

Pocket square atau tali leher dalam rona biru, ungu atau hijau, menarik juga digabungkan dengan chinos atau baju panas rona kuning. Gayakan warna kuning dengan penuh yakin, pasti ia dapat menyerlahkan sisi peribadi anda yang hebat dan mempesona.

Process time in ms: 47