INFINITI

Telefon pintar serba lengkap, bergaya

Telefon pintar serba lengkap, bergaya

BIARPUN menawarkan harga yang kompetitif, telefon pintar Wiko mempunyai keupayaan setanding dengan telefon pintar jenama-jenama terkenal.


PADA masa ini, majoriti pengguna telefon bimbit telah beralih kepada telefon pintar sebagai medium komunikasi dan perhubungan.

Tidak seperti telefon bimbit biasa yang mempunyai fungsi terhad, telefon pintar yang menggabungkan fungsi PDA (pembantu digital peribadi) dan telefon mampu melakukan pelbagai tugasan menyamai sebuah komputer.

Penggunaan sistem operasi mudah alih seperti Symbian, Android, iOS atau Window Phone membolehkan pengguna melaksanakan pelbagai aplikasi menerusi telefon pintar.

Dengan pelbagai reka bentuk, fungsi dan ciri tambahan, tidak hairanlah telefon pintar menjadi semakin penting sehingga mampu memberi pulangan besar kepada syarikat-syarikat yang menerajui segmen ini.

Jika sebelum ini, pasaran telefon pintar dunia lebih terarah kepada produk-produk keluaran syarikat gergasi dari Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun, kini pengguna mempunyai lebih banyak pilihan menerusi kemunculan syarikat-syarikat telefon pintar dari China.

Syarikat-syarikat dari Eropah juga tidak terkecuali dalam persaingan ini dan salah satu daripada syarikat yang dilihat semakin pantas berkembang dan berjaya membina reputasi tersendiri dalam segmen ini ialah Wiko.

Ditubuhkan pada tahun 2011 di Marseille, Perancis, jenama itu komited untuk menawarkan produk yang memenuhi kehendak setiap lapisan pengguna tanpa berkompromi dari segi teknologi, reka bentuk, kualiti dan harganya.

Merupakan jenama kedua popular di Perancis dan kelima di Eropah, Wiko kini mula melebarkan sayapnya di 30 buah negara di dunia termasuk di Afrika, Asia Barat dan Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Inovasi

Membawa inspirasi sentuhan Perancis, jenama itu tidak terkecuali menjengah pasaran tempatan sejak tahun lalu menerusi beberapa model seperti Ufeel Prime, Ufeel Fab, Ufeel Go, Robby dan Jerry.

Menyedari pasaran telefon pintar dalam kalangan pengguna di negara ini yang sentiasa meningkat, Wiko baru-baru ini telah melancarkan tiga model terbaharunya iaitu Upulse, Kenny dan Harry.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Wiko Malaysia Mobile, Ken Ang berkata, pihaknya sentiasa komited mencari kelainan dalam setiap produk yang dihasilkan menerusi aktiviti kajian inovasi secara berterusan.

“Tujuan inovasi ini adalah untuk memberi peluang kepada setiap peringkat pengguna mengaplikasikan telefon pintar secara lebih ideal. Apa yang unik ketiga-tiga model ini dibangunkan hasil gabungan idea sasaran pengguna profesional dan juga remaja.

“Menerusi pendekatan itu, kami yakin dan percaya ia mampu mewujudkan fenomena kejayaan baharu untuk rangkaian produk Wiko,’’ katanya selepas majlis pelancaran ketiga-tiga model berkenaan di [email protected] di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menambah, Kenny dan Harry menawarkan keperluan komunikasi kepada golongan muda yang sentiasa mencari gajet bergaya, segar serta mempunyai fungsi lengkap.

Upulse pula katanya, menyediakan pengalaman terarah kepada pengguna yang mementingkan telefon pintar dengan nilai dan prestasi terbaik seiring dengan gaya hidup urban.

Harga kompetitif


Ken (tengah), Adrian (tiga dari kanan) dan barisan model menunjukkan barisan telefon pintar terbaharu Wiko semasa pelancarannya di [email protected], Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menurut Ken, beliau yakin ketiga-tiga model berkenaan mampu melonjakkan jualan jenama itu pada masa hadapan.

“Sejak dilancarkan pada peringkat global, Wiko sentiasa fokus untuk menghasilkan telefon pintar yang mampu memenuhi pelbagai keperluan pengguna dalam menjalani kehidupan harian.

“Tradisi ini bakal diteruskan oleh ketiga-tiga model terbaharu ini. Kami yakin dengan teknologi dan spesifikasi yang ditawarkan, ia mampu bersaing dengan jenama-jenama lain.

“Biarpun jenama ini masih baharu namun dengan harga kompetitif yang ditawarkan, kami yakin Wiko dapat menembusi sekurang-kurangnya tiga peratus pasaran telefon pintar di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Saluran dan Pengedaran Wiko Malaysia Mobile, Adrian Goh berkata, Kenny dan Harry merupakan dua model baharu dalam kategori Y yang menawarkan telefon pintar bernilai tinggi, ringkas dan penuh warna-warni.

Biarpun begitu, katanya, kedua-dua model tersebut dilengkapi spesifikasi teknologi yang cukup menarik terutama bagi pengguna yang baru berjinak-jinak dalam segmen telefon pintar.

“Kenny dan Harry disokong oleh pemproses Quad Core, storan sebanyak 16 Gigabait (GB) dan skrin sentuh bersaiz lima inci sesuai untuk pelaksanaan aktiviti permainan video, pelayaran web dan tontonan video.

“Selain itu, kedua-duanya turut dilengkapi memori terbina dalam (RAM) bersaiz 2GB dan 3GB serta bateri berkuasa 2,500mAh untuk prestasi unggul sepanjang hari.

“Tidak cukup dengan itu, masing-masing turut didatangkan dengan kamera bersaiz 13 megapiksel (MP) dan 8MP pada bahagian belakang dan 5MP pada bahagian hadapan untuk merakam imej pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Jelasnya, Upulse pula boleh disifatkan sebagai telefon untuk kategori premium dengan pemprosesan Quad Core, 3GB RAM dan storan sebanyak 32GB.

Imbasan jari

“Dengan skrin sentuh bersaiz 5.5 inci berdefinisi tinggi dan bateri berkuasa 3,000mAh, Upulse turut dilengkapi kamera bersaiz 13MP pada bahagian belakang dan 8MP pada bahagian hadapan.

“Bagi memastikan kesempurnaan imej yang dirakam, kamera belakangnya turut dilengkapi fungsi tambahan seperti pengesan Auto-Scene, Fast Auto-Focus, Live Filters dan peningkat fotografi Super Pix.

“Kamera hadapan juga mempunyai lampu pengimbas LED yang menawarkan mod HDR di samping fungsi panorama untuk merakam imej swafoto yang lebih luas,” ujarnya.

Andrian berkata, salah satu keistimewaan yang terdapat pada Upulse ialah inovasi pengimbasan jari yang berkemampuan mengimbas sehingga lima jari pengguna.

Katanya, inovasi tersebut tidak sekadar digunakan untuk mengunci telefon pintar daripada sebarang pencerobohan malah boleh melaksanakan pelbagai tugasan yang diinginkan.

“Pengguna boleh sesuaikan kelima-lima jari yang diimbas ini untuk melakukan lima tugas berbeza membabitkan fungsi atau aplikasi telefon pintar.

“Misalnya, ibu jari untuk mengunci telefon pintar, jari telunjuk untuk membuat panggilan telefon, jari tengah pula untuk mengambil gambar dan begitulah seterusnya.

“Menariknya, penggunaan teknologi enkripsi yang digunakan membolehkan telefon pintar hanya boleh diakses oleh pemiliknya sahaja,” katanya.

Ketiga-tiga model tersebut kini telah berada di pasaran dan boleh didapati di semua 26 pengedar Wiko yang sah di seluruh negara pada harga RM449 (Kenny); RM559 (Harry) dan RM799 (Upulse).

Process time in ms: 62