STAILO

Musk masih laris walau usia hampir cecah 70 tahun

Musk masih laris walau usia hampir cecah 70 tahun

Pada usia 69 tahun, Maye Musk berjaya mengekalkan popularitinya sebagai seorang model melalui pengalaman, kemahiran dan penjagaan pemakanan.


MAYE MUSK membuktikan pada usia emas bukan titik noktah untuk bergelar model, malah pesonanya masih mampu memukau setiap mata yang memandang.

Nenek berusia 69 tahun itu yakin dan berani dengan penampilannya. Malah dia membiarkan rona perak rambutnya dibiarkan begitu sahaja.

“Bagi meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-60, saya berhenti mewarnakan rambut, potong pendek dan membiarkannya dengan warna perak bersinar semula jadi,” katanya yang kini bernaung di bawah IMG Models Worldwide.

Keunikan gayanya telah menarik minat banyak jenama-jenama terkemuka untuk mempromosikan produk mereka seperti Virgin America, Joe Fresh, papan iklan di Times Square, Elle Quebec, L’Officiel Azerbaijan.

Dia juga menghiasi majalah-majalah terkemuka seperti New York, Zoomer dan Vogue. Selain itu, Musk juga terlibat dalam muzik video serta iklan.

Musk yang memulakan kerjaya seawal usia 15 tahun di Petoria dan Johannesburg, Afrika Selatan tidak hanya berbekalkan wajah yang cantik bahkan dia sangat cemerlang dalam akademik.

“Walaupun sibuk sebagai model dan pada masa sama ibu kepada tiga orang cahaya mata, saya berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang Dietetik dari University Of The Orange Free State di Afrika Selatan.

“Saya bekerja keras dan tidak pernah membayangkan kerjaya sebagai model akan bertahan lebih lima dekad,” ujar finalis pertandingan ratu cantik Miss South Africa pada tahun 1969 itu.

Kempen

Selepas berpindah ke Toronto, Kanada pada usia 42 tahun dia meneruskan kerjaya sebagai model dengan mewakili Elite Modeling Agency.

Di Kanada, Musk berjaya memperoleh ijazah kedua dalam bidang Sains Pemakanan dari Universiti Toronto dan mengikuti peperiksaan untuk melayakkan diri sebagai pakar pemakanan di Kanada serta Amerika Syarikat.

Kelayakan dalam bidang tersebut dan berbekalkan semangat telah menjadi platform kepadanya untuk bercakap serta bertemu dengan orang ramai di seluruh dunia. Dia berkongsi tip kesihatan di laman web www.mayemusk.com.

Pada usia 50 tahun pula dia telah berpindah ke New York dan diberi tanggungjawab untuk menjayakan kempen utama untuk Clinique dan Revlon Vital Radiance.

Musk, anak kelahiran Regina, Saskatchewan, Kanada pada tahun 1948 dan mempunyai seorang kakak kembar.

Keluarganya berpindah ke Pretoria, Afrika Selatan pada tahun 1950. Ayahnya, Dr. Joshua Haldeman dan ibu, Wyn Haldeman merupakan pakar kiropraktik dan gemar mengembara.

Anak keempat daripada lima beradik itu sangat meminati bidang sains sejak kecil. Musk membesar menjadi wanita yang personaliti menarik.

Pada tahun 1970, dia berkahwin dengan Errol Musk seorang jurutera yang merupakan kenalannya semasa di sekolah menengah. Setahun kemudian Musk melahirkan cahaya mata sulungnya, Elon diikuti Kimbal dan Tosca.

Malangnya, rumah tangga yang dibina hanya bertahan sembilan tahun. Sebagai ibu tunggal dia terpaksa mencari wang tambahan kerana pendapatan sebagai model tidak menentu.

Bekerja keras


HIDUP Musk (dua dari kanan) bahagia didampingi tiga orang anaknya iaitu (dari kanan) Elon, Kimbal dan Tosca.


Dia bekerja dari rumah sebagai perunding pemakanan agar dapat memberi perhatian kepada anak-anak.

“Bergelar ibu tunggal tidak mudah, saya bekerja keras dan sering membawa anak-anak ke pertunjukan fesyen,” ceritanya.

Sejak kecil Musk sudah menerapkan sikap bekerja keras dalam diri anak-anak menerusi apa yang dilakukannya. Sehubungan itu, tidak hairanlah anak-anaknya kini berjaya dalam bidang masing-masing dan bergelar jutawan.

Elon, 46, merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla Motors.

Anak keduanya, Kimbal, 44, merupakan usahawan berjaya dan pemilik The Kitchen Cafe manakala Tosca, 43, adalah pembikin, penerbit serta pengarah filem berjaya.

Mengulas penglibatannya dalam bidang perunding pemakanan, Musk menjalankan perniagaan itu selama 45 tahun di lapan buah bandar dan tiga buah negara menerusi ceramah, perundingan, kaunseling dan penulisan.

Dia juga telah dilantik sebagai wakil pertama Perunding Pemakanan Afrika Selatan, Presiden Perunding Pemakanan Kanada dan menerima Anugerah Usahawan Pemakanan Cemerlang di Amerika Syarikat.

Musk juga memberi ceramah pemakanan kepada syarikat, persatuan, hospital dan universiti di seluruh dunia.

“Bagi meningkatkan kesedaran kesihatan kepada kanak-kanak, saya berkhidmat dengan LA Board of The Kitchen Community dengan mewujudkan taman sayur-sayuran di sekolah rendah seluruh negara,” tuturnya.

Pengetahuan Musk dalam bidang kesihatan dan pemakanan banyak membantu mengekalkan berat badannya.

Mungkin ramai orang beranggapan dia mempunyai tubuh langsing tetapi sebenarnya sekitar tahun 90-an, dia merupakan model bersaiz besar. Bagaimanapun, amalan pemakanan yang sihat membolehkan beratnya turun sehingga 50 kilogram.

“Saya mengamalkan pemakanan sihat sepanjang masa. Pengambilan makanan yang baik akan menjadikan kulit cantik,” jelasnya.

Dia sangat menggemari sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin seperti labu, ubi, bayam, brokoli dan kubis bunga.

“Di rumah, saya amalkan diet vegetarian bersama bijirin, yogurt, keju, kacang, buah, roti, nasi perang. Apabila di luar saya memilih ikan, daging dan ayam,” katanya.

Amalan pemakanan yang sihat membuatkan Musk tidak bergantung sepenuhnya kepada produk kecantikan.

“Jika anda makan dengan baik, seluruh badan dan rambut akan menjadi cantik secara semula jadi.

“Saya akan membasuh rambut setiap kali selesai penggambaran bagi memastikannya kekal bersih daripada kekotoran dan tidak menggunakan pengering rambut kerana ia akan merosakkan rambut,” ulas nenek kepada 10 orang cucu itu.

President IMG Models, Ivan Bart berkata, orang ramai mahu kelainan dalam dunia peragaan begitu juga umur dan saiz kerana ia sangat penting bagi mereka.

“Musk sangat berminat mempromosikan kecergasan dan kesihatan. Dia tidak mahu mendedahkan tubuh semata-mata sebaliknya ingin menyebarkan kesedaran kesihatan kepada orang ramai.

“Dia sangat meminati bidang peragaan dan melakukannya dengan penuh kecintaan malah suka mengadakan sesi penggambaran di studio,” katanya.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 31