RENCANA UTAMA

Gangguan bekalan gas ancam hutan Pakistan

Gangguan bekalan gas ancam hutan Pakistan


PENDUDUK terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kayu api kerana kekurangan gas.


SETIAP kali tiba musim sejuk, suasana orang ramai beratur di luar kedai menjual kayu api merupakan satu pemandangan biasa di bandar raya Rawalpindi, Pakistan.

Rata-rata penduduk mahu mendapatkan bahan bakar itu selepas bekalan gas di rumah mereka terganggu.

Kekurangan gas menyukarkan kehidupan penduduk di bandar itu untuk memasak atau memanaskan badan pada waktu malam.

“Apa lagi yang boleh kami dilakukan jika bekalan gas berkurangan selain membakar kayu api untuk meneruskan kehidupan pada musim sejuk ini.

“Saya perlu membeli kayu api untuk memasak dan memanaskan air,” ujar Muhammad Razzaq, 50, yang merupakan seorang kakitangan kerajaan.

Suhu pada musim panas semakin rendah, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap kayu api semakin meningkat dan banyak penebangan hutan berlaku bagi menggantikan sumber gas itu.

Pakistan mengalami empat musim berlainan iaitu musim sejuk (Disember-Februari), musim bunga (Mac-Mei), musim panas (Jun-September) dan musim hujan (Oktober-November).

Pegawai Jabatan Perhutanan dan Pengurusan Hidupan Liar, Universiti Haripur, Riffat Naseem berkata, langkah sewajarnya perlu dilakukan bagi menyelamatkan hutan daripada terus dimusnahkan.

“Sehubungan itu, program-program pemuliharaan dan penanaman semula hutan sangat penting untuk menyelamatkan khazanah alam ini.

“Orang ramai akan menebang pokok-pokok ini secara berleluasa semata-mata bagi memenuhi tenaga domestik mereka selagi kerajaan tidak menemui jalan penyelesaian kepada masalah kekurangan gas,” katanya.

Menurut kajian Ekonomi Pakistan, penggunaan gas telah meningkat lebih 80 peratus dalam tempoh 20 tahun lalu.

Namun, hanya 30 peratus jumlah isi rumah yang mempunyai akses kepada gas dan dianggarkan sebanyak 164.2 billion liter sehari bahan api itu diperlukan untuk menampung keperluan penduduk.

Permintaan yang tinggi itu tidak dapat dipenuhi kerana pelaburan yang tidak mencukupi dalam penerokaan gas di Pakistan.

Namun, pakar-pakar melihat masalah kekurangan gas itu juga berlaku disebabkan oleh kelemahan penyelenggaraan rangkaian saluran paip gas, pengalihan saluran gas kepada loji kuasa untuk mengurangkan perbelanjaan import minyak dan menjadikannya sebagai bahan api murah untuk kenderaan.

Berdasarkan laporan Dasar Perhutanan Negara, kekurangan gas itu telah menimbulkan situasi cemas oleh pakar-pakar alam sekitar di seluruh dunia apabila 27,000 hektar hutan ditebang pada setiap tahun.

Tanam pokok


HANYA 30 peratus jumlah isi rumah yang mendapat bekalan gas.


Satu laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian mendedahkan, penebangan hutan purata 42,000 hektar setiap tahun sejak tahun 1990 telah mengurangkan kawasan hutan di negara itu.

Kini, hanya dua peratus negara itu diliputi kawasan hutan yang merupakan paling rendah di rantau tersebut.

Pemulihan segera perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu dan salah satunya adalah menerusi projek Billion Tree Tsunami di wilayah barat laut Khyber-Pakhtunkhwa yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

Arkitek Projek Khyber-Pakhtunkhwa, Malik Amin Aslam berkata, pihak pentadbir wilayah itu sedang merangka beberapa rancangan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kayu api.

“Wilayah itu menyokong pemasangan lebih 350 projek mikro hidro berasaskan komuniti dengan kos sebanyak RM2.05 bilion (AS$48 juta) untuk menyediakan bekalan elektrik di kawasan pedalaman.

“Projek itu 70 peratus sudah siap dan ia akan diperluas untuk pembangunan 1,000 unit mikro hibro menjelang tahun 2018,” katanya.

Projek-projek solar juga dilaksanakan untuk mengurangkan keperluan kayu api termasuklah menyediakan dapur memasak solar dan pemanas air di kawasan hutan sekitar daerah Chitral.

Tambahnya, program itu bermatlamat untuk memastikan pokok-pokok yang ditanam dapat tumbuh tanpa sebarang gangguan.

Pada masa yang masa, penduduk mempunyai dapur domestik menggunakan tenaga solar dan elektrik. Begitu juga pemanas air di dalam bilik mandi.

Biro Penyelidikan Kebangsaan Asian yang berpangkalan di Amerika Syarikat melaporkan, bekalan minyak dan gas domestik dijangka habis pada tahun 2025 sehingga 2030.

Menteri Persekutuan Untuk Petroleum dan Sumber Semula Jadi, Shahid Khaqan Abbasi berkata, projek-projek mengimport gas kini sedang diusahakan termasuk kerja-kerja pemasangan paip serta import gas asli cecair.

Pada bulan Februari lalu, kerajaan menandatangani perjanjian selama 15 tahun bersama Qatar untuk mengimport sehingga 3.75 juta tan gas asli cecair setahun.

– Reuters

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47