DUNIA

Indonesia kerah jet Sukhoi kawal sempadan dibolosi militan

Indonesia kerah jet Sukhoi kawal sempadan dibolosi militan


Agensi - INDONESIA menempatkan beberapa jet Sukhoi di sebuah pangkalannya di utara Pulau Borneo.


JAKARTA – Indonesia menempatkan beberapa jet pejuang Sukhoi di sebuah pangkalannya di utara Pulau Borneo untuk meningkatkan keselamatan sekiranya pembe­rontak Maute yang me­rampas bandar Marawi di selatan Filipina cuba melarikan diri ke selatan, kata seorang pegawai tentera kepada agensi berita Antara.

Kolonel Didik Kri­syanto yang merupakan ketua pangkalan udara di Tarakan, sebuah bandar pelabuhan di Kalimantan Utara berkata, tiga jet Sukhoi itu tiba pada Jumaat lalu dan akan terus berada di sana selama sebulan.

Kerahan itu dibuat bagi menghadapi kemungkinan pemberontak Islam Maute yang bertempur de­ngan tentera Filipina di Marawi melarikan diri ke Indonesia.

“Militan ini mungkin melarikan diri dan menyeberangi sempadan ke Indonesia,” Antara memetik Didik sebagai berkata.

Tentera Filipina berkata pada Jumaat lalu bahawa sebahagian militan yang menyerang Marawi di pada bulan lalu mungkin bercampur dengan pela­rian untuk me­larikan diri ketika pertempuran di bandar itu berlarutan selama hampir empat minggu.

Menurut Manila, dianggarkan 200 militan, kebanyakannya berasal daripada kumpulan pemberontak tempatan yang melafazkan taat setia kepada kumpulan Daesh dan sebilangan pejuang asing masih berada di Marawi. Mereka menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

Perkembangan di Marawi membimbangkan jiran Filipina seperti Indonesia dan Malaysia. Ketua daripada tiga negara itu dijangka bertemu di Tarakan semalam untuk majlis melancarkan rondaan bersama di laut.

Tarakan terletak di selatan Sabah di Borneo dan berhadapan dengan Pulau Mindanao, selatan Filipina. – Reuters

Process time in ms: 47