TERKINI

Penduduk Kuala Langat teruskan tradisi 'ngodek jenang'

Penduduk Kuala Langat teruskan tradisi 'ngodek jenang'

19/06/2017 4:44pm




KUALA LANGAT - Kira-kira 70 orang penduduk Taman Seri Medan Jaya, Sijangkang di sini meneruskan tradisi masyarakat jawa dikenali 'ngodek jenang' atau acara mengacau dodol bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Jefrizal Mohd. Jaafar berkata, ngodek jenang merupakan tradisi turun temurun masyarakat Jawa namun kini ia disertai semua pihak yang tinggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang ini.

"Menariknya program ini turut disertai masyarakat pelbagai kaum dan ia bukan hanya sekadar mengacau dodol, tetapi mempunyai banyak hikmah antaranya meraikan keberkatan Ramadan dan Aidilfitri serta mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat," katanya ketika ditemui selepas program itu di Taman Seri Medan Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Nordin Selamat dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Langat, Asuma Beevi Mohd.Sali.

Jefrizal berkata, program bermula selepas penduduk mengerjakan solat tarawih kira-kira pukul 10.00 malam melibatkan 70 penduduk yang terdiri daripada pelbagai golongan.

"Golongan tua dan muda berkumpul beramai-ramai mengacau dodol daripada pukul 10.00 malam hingga pukul 5.30 pagi menjelang waktu Imsak kawasan Kuala Langat.

"Dodol-dodol yang siap dimasak dibawa pulang dan diagih-agih kepada penduduk taman ini sebagai juadah untuk sambutan Hari Raya Aidil Fitri, "katanya. - K! ONLINE

Process time in ms: 32