TERKINI

Bekas Pengarah Kemas Selangor dituduh guna hasil aktiviti haram bayar deposit rumah 

Bekas Pengarah Kemas Selangor dituduh guna hasil aktiviti haram bayar deposit rumah 

19/06/2017 3:33pm


Mohd. Adnan dibawa ke mahkamah hari ini.


SHAH ALAM - Pengarah Pembangunan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Putrajaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengunakan hasil daripada aktiviti haram untuk membayar deposit sebuah rumah dua tingkat bernilai RM100,000 kira-kira dua tahun lalu. 

Tertuduh Mohd. Adnan Md. Daud, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Adnan yang juga bekas Pengarah Kemas Selangor telah menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu cek Malayan Banking Berhad (Maybank) bernilai RM100,000 bagi tujuan pembayaran deposit rumah dua tingkat di Jalan Setia Wawasan U13/31B, Presint 10, Seksyen U13 Setia Alam di sini.

Berdasarkan pertuduhan, daripada jumlah tersebut sebanyak RM86,053.22 diperolehi daripada hasil haram dan kesalahan itu didakwa dilakukan di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Kompleks PKNSM, Shah Alam.

Mohd. Adnan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana yang tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail yang mengendalikan kes tersebut memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Lissa Sukri yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan wang ikat jamin kepada RM10,000 dengan seorang penjamin memandangkan anak guamnya menangung ibu yang berusia 70 tahun, isteri serta enam orang anak termasuk seorang berumur dua bulan.

Katanya, anak guamnya juga kini menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Alor Setar kelmarin dan telah diikat jamin sebanyak RM80,000.

Hakim Ahmad Zamzani kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM90,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Alor Setar untuk dibicarakan bersama dengan kes lain yang dihadapi tertuduh.

Kes disebut semua 31 Julai ini. - K! ONLINE

Process time in ms: 16